Sabtu, 11 Januari 2014

Angin Kencang, Laut Bergelora Dijangka Berterusan 20 Jan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Angin kencang dengan kelajuan sehingga 60kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga melebihi 5.5 meter yang berlaku di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 20 Jan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan semalam berkata, kawasan perairan Kelantan dan Terengganu yang mengalami keadaan ini juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Keadaan itu juga berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Keadaan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60kmsj dan ketinggian ombak mencecah 4.5 meter juga dilaporkan di perairan Pahang, Johor Timur, Sabah (pedalaman, pantai barat, Kudat dan Sandakan, Labuan dan Sarawak.

Kawasan pantai Pahang dan Johor Timur juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut bagi tempoh itu.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.

Angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sabah (Tawau, Semporna dan Lahad Datu) sehingga 20 Jan dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan