Khamis, 16 Januari 2014

Warga Brunei Dakwa Ditetak Di Tudan Diminta Lapor Polis


MIRI: Polis meminta warga Brunei yang telah ditetak menggunakan senjata tajam dalam satu rompakan pada siang hari di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Tudan baru-baru ini, supaya membuat laporan polis di sini.

Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Mun Kock Keong berkata, jika dakwaan itu benar, maka mangsa boleh tampil ke hadapan untuk membuat laporan polis di sini.

Katanya, dengan adanya laporan polis yang dibuat di sini, maka ia membolehkan pihak berkuasa di sini melakukan siasatan berhubung kes tersebut.

“Bagaimanapun sehingga kini, kami (polis Miri) masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung kes rompakan itu yang didakwa berlaku di Tudan,” katanya ketika dihubungi dari sini, semalam.

Menurut Mun, tanpa laporan polis yang dibuat maka pihaknya tidak dapat mengenal pasti sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya.

“Jika mangsa tidak tampil ke hadapan (untuk melaporkan kes), bagaimana polis hendak melakukan siasatan kes tersebut?” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau meminta mangsa untuk turun ke Miri dan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut, sekali gus membantu pihak polis melakukan siasatan.

Dakwaan berhubung kes rompakan berkenaan agak mengelirukan kerana didakwa di dua tempat dan dua negeri berasingan.

Akhbar rasmi Brunei, Borneo Bulletin pada minggu lepas menyiarkan berita mengenai kes berkenaan yang berlaku di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Tudan, dekat sini, manakala sebuah lagi akhbar tempatan di Sabah menyiarkan berita yang sama namun mendakwa ia berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, insiden yang menimpa mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangannya, telah mengejutkan ramai pelawat dari negara itu dan turut diperdebatkan di laman sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan