Isnin, 20 Januari 2014

Ahli Keluarga Mangsa Bot Karam Tunggu Perkembangan Semasa

Sanak saudara mangsa berkumpul di Hospital Daro

MUKAH: Ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam bot karam setakat ini masih menunggu dengan penuh sabar perkembangan semasa daripada anggota penyelamat yang giat mencari mangsa yang masih hilang. Pusat beroperasi pasukan penyelamat berlokasi di Kampung Saai, Daro.

Ketua Polis Daerah (KPD) Matu Daro DSP Wagner Lisa Libut berkata proses mencari mangsa yang hilang sedang giat dijalankan sekitar jam 6 pagi yang menggunakan bot dan helikopter anggota penyelamat.

“Setakat ini, proses mencari mangsa yang hilang berjalan lancar yang turut disertai pelbagai agensi penyelamat termasuk bomba, JPAM, RELA dan sukarelawan yang terdiri daripada penduduk Kampung Saai,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa Zubir Abu Bakar, 31, berkata sebelum kejadian dia menelefon ayahnya sekitar jam 7 pagi untuk bertanyakan khabar, namun ayahnya menjawab dan memberitahu sedang berzikir pada majlis orang kahwin dan tidak mengaktifkan telefon selepas itu.

“Selepas ayah saya tidak mengaktifkan telefon, saya masih cuba untuk menghubunginya namun tetap gagal untuk dihubungi dan pada sebelah petang sekitar jam 2 petang saya dikejutkan dengan berita buruk yang menyatakan bahawa bot yang dinaiki oleh ayah saya karam,” katanya.

Dalam pada itu Hashim Kipli, 54, memberitahu bahawa salah seorang mangsa yang masih hilang tersebut adalah isterinya Kalsom Mat, 50.

Hashim berkata dia tidak bersama isterinya kerana dia berada di Kapit. Sebelum kejadian isterinya ada menghubunginya sekitar jam 12 tengah hari.

“Bila saya cuba menghubungi isteri saya semula sekitar jam 1 petang, langsung tidak diangkat panggilan telefon saya.

“Pada jam 2.15 petang saya menerima panggilan daripada anak saya yang menyatakan perahu dinaiki isteri saya karam. Selepas mendengar kejadian tersebut, saya rasa tidak tenteram dan pada jam 5.30 petang saya bergegas dari Kapit dan tiba di Kampung Saai pada jam 1.15 pagi.

“Sekitar jam 2 pagi bagi menunggu air surut, saya mengambil inisiatif bersama penduduk Kampung Saai cuba mencari isteri saya yang masih hilang dengan berjalan kaki di tebing sungai tempat kejadian,” katanya.

Selain itu, Madihi Riji, 30, berkata sehari sebelum kejadian tersebut dia berbual dengan ayahnya Riji Dalol,60, melalui telefon untuk bertanya khabar ayahnya.

“Saya yang bekerja di Sibu menghubungi ayah saya sehari sebelum kejadian ini untuk bertanya khabar ayah saya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan