Selasa, 14 Januari 2014

Penduduk Tubau Dikejutkan Dengan Penemuan Tengkorak Dan Tulang Manusia

Gambar Hiasan

BINTULU: Penduduk kawasan Tubau di Sebauh dikejutkan dengan penemuan tengkorak dan rangka tulang manusia bersebelahan semak di simpang masuk sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Bintulu-Bakun, di sini pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata polis di Tubau menerima panggilan daripada penduduk tempatan yang ketika itu dalam perjalanan dari rumah ke kebun sekitar jam 9.55 pagi.

Jelasnya sejurus dimaklumkan, pegawai penyiasat dari Bintulu terus bergegas ke lokasi rangka tulang dan tengkorak ditemui bagi menjalankan siasatan terperinci.

“Sesampai di sana, polis menemui rangka tulang dan tengkorak dengan baju kemeja warna merah dan seluar jeans dipercayai adalah pakaian digunakan mangsa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Siasatan dilakukan sekitar penemuan rangka tulang terbabit turut menemui sebuah motosikal dan bungkusan plastik dipercayai milik mangsa.

“Sebaik sahaja polis membuka bungkusan plastik yang turut berada tidak jauh dari rangka tulang ditemui, kami menemui sebuah dokumen daftar kelahiran milik Doni Usa yang beralamat di Uma Nyaving, Sungai Asap Belaga,” jelasnya.

Sejurus itu, polis Bintulu terus menghubungi Balai Polis Sungai Asap bagi mengesahkan jika terdapat mana-mana individu bernama Doni Usa di daerah berkenaan.

Hasil siasatan terperinci, sememangnya terdapat individu bernama Doni yang berasal dari Uma Nyaving dan polis Sungai Asap terus menghubungi ahli keluarga mangsa sebagaimana alamat yang tertera di dokumen daftar kelahiran itu bagi membolehkan mereka memastikan sama ada rangka ditemui adalah rangka Doni atau sebaliknya.

Hasil pengecaman dibuat oleh ahli keluarga mangsa mendapati rangka yang ditemui itu sememangnya rangka tulang Doni berdasarkan pakaian, dokumen pengenalan diri dan motosikal yang digunakan oleh mangsa.

Menurut ahli keluarganya, Doni meninggalkan rumah panjang mereka sejak 25 Disember lalu kerana ingin mencari pekerjaan di kem pembalakan berdekatan.

Oleh sebab itu, keluarganya tidak terlalu risau akan dirinya memandangkan hasratnya yang ingin keluar mencari pekerjaan.

Madang berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat memastikan faktor sebenar menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan