Selasa, 7 Januari 2014

Pengeluaran Denda Parkir Lebih Masa Perlu Penjelasan


MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling Sie Kiong meminta Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperjelaskan kepada pengguna berhubung isu mengeluarkan terlalu banyak notis denda parkir lebih masa kepada pengguna kenderaan di sini, yang disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’.

Katanya pengguna kenderaan di sini perlu tahu dan diperjelaskan dengan tindakan oleh warden tempat letak kereta yang mengeluarkan notis denda berkenaan dalam selang masa yang terlalu pendek dan dianggap tidak wajar hingga menyebabkan notis denda yang diterima oleh pengguna kenderaan, ‘bertimbun’ di depan cermin kenderaan mereka.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam, beliau memberitahu ramai pengguna kenderaan mengadu berhubung cara dan pengurusan pihak Miri Parking Systems Sdn Bhd (MPS) mengendalikan notis denda kompaun tersebut, sejak ia mengambil alih operasi berkenaan daripada MBM mulai 2 Januari lalu.

“Sumber memberitahu jika kenderaan mereka diletakkan di kawasan letak kereta lebih masa, menyebabkan mereka diberikan notis denda letak kereta lebih masa dan jika kereta masih di situ maka wajar bagi warden mengeluarkan notis seterusnya berdasarkan masa terakhir notis pertama dikeluarkan, tetapi sebaliknya bagi keadaan di sini,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, seorang pengguna yang meletakkan keretanya lebih masa telah diberikan notis denda lebih masa pada jam 10.50 pagi dan lima minit kemudian seorang lagi warden turut mengeluarkan notis yang sama iaitu yang kedua pada jam 10.55 pagi dan keadaan tersebut telah menyebabkan pengguna menerima notis denda dalam jumlah yang banyak jika terlebih masa dalam setengah jam atau satu jam.

Menurut Alan, objektif pelaksanaan Sistem Kupon Parkir bukanlah bertujuan untuk mendenda pengguna, sebaliknya bagi memudahkan perjalanan trafik dan mengelak pengguna meletak kereta secara sembarangan dalam kawasan letak kereta yang sudah ditetapkan oleh MBM.

Selain daripada itu, kata-nya ia juga bertujuan me-nyediakan tempat parkir yang selesa untuk pengguna dan mengawal kawasan parkir agar ia dapat digunakan dengan baik dan adil oleh semua pengguna kenderaan.

Justeru menurut Alan, cara yang dilakukan oleh kakitangan atau warden parkir MPS menunjukkan mereka kekurangan latihan dalam menjalankan penguatkuasaan seumpama itu dan oleh yang demikian katanya, mereka wajar menjalani latihan terlebih dahulu.

Sementara itu, MBM dalam kenyataan maklum balas yang dikeluarkan di sini semalam, berkata pihaknya akan bekerja-sama dengan MPS untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut yang berlaku pada hari pertama operasi mereka.

Menurut jurucakap MBM, siasatan awal mereka mendedahkan apa yang berlaku pada hari pertama operasi adalah satu kesilapan yang diakui oleh pihak kontraktor terbabit dan sehubungan itu MBM katanya ingin memohon maaf terhadap kesilapan tersebut dan masalah yang timbul.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa MBM dan MPS akan mengambil langkah mengatasi masalah dan memperbetulkan kesilapan yang berlaku.

Sehubungan itu sebarang pertanyaan berhubung masalah parkir tersebut, pihak MBM meminta pemilik kenderaan datang terus ke pejabat MPS yang terletak di tingkat bawah Bangunan Letak Kereta Bertingkat MBM dalam tempoh masa 14 hari atau menghubungi talian 085-418743 ataupun 418734.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan