Sabtu, 11 Januari 2014

Tiga Orang Dalam Pesawat Cessna Ditemui Selamat

Operasi menyelamat mangsa pesawat Cesna yang dilaporkan hilang petang Jumaat

KUALA LUMPUR - Tiga individu yang menaiki pesawat Cessna 172 yang terhempas berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam setelah dilapor hilang Jumaat petang ditemui selamat kira-kira 5 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini berkata ketiga-tiga mangsa itu ditemui dengan bantuan masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

Beliau berkata dua orang cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Selayang pada pukul 7.45 pagi untuk rawatan.

"Maklumat penuh mengenai mereka belum kami peroleh," katanya. 

Pesawat itu dilapor terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika di kawasan Batu Caves kira-kira 5.15 petang semalam.

Bagaimanapun juruterbang pesawat itu dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) yang hanya dikenali sebagai Kapten Saiful dilapor berjaya menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memaklumkan lokasi, sebelum terputus panggilan dipercayai kehabisan bateri telefon. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan