Selasa, 14 Januari 2014

Jaga imej Miri

Bandaraya Miri

MIRI: Kes rompakan yang berlaku siang hari dan membabitkan warga asing pada hujung minggu lepas, sedikit sebanyak telah mencalar imej bandar raya ini ketika ia berdepan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) dan Tahun Melawat Sarawak 2014.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling meminta pihak berkuasa keselamatan di sini supaya mempertingkat dan mengetatkan lagi kawalan keselamatan sepanjang masa, ekoran penjenayah nekad turut berani melakukan rompakan siang hari, walaupun dilihat oleh beberapa saksi.

Malah katanya, polis perlu lebih bertegas dan menunjukkan hasil usaha mereka memandangkan terdapat banyak kes yang masih belum diselesaikan.

“Pelawat khususnya warga jiran, Brunei, bukan sahaja perlu berwaspada malah mungkin takut mahu datang ke Miri, apabila berlaku kes-kes rompakan seperti itu, khususnya penjenayah yang menyasarkan warga asing.

“Seperti yang kita maklum, pelawat asing terutama dari Brunei merupakan kumpulan pelancong yang banyak menyumbang kepada ekonomi Miri,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes seorang pelajar universiti antarabangsa di sini, baru-baru ini yang dibunuh dan dirompak di rumah sewanya, diikuti dengan kes warga Brunei yang ditetak di bahagian tangan dan paha ketika dirompak di tempat letak kereta sebuah pasar raya, yang berlaku pada siang hari.

Menurut Ling, jika tiada usaha ke arah itu (mempertingkatkan keselamatan) maka ia boleh menjejaskan kempen dan promosi TMM 2014 dan Tahun Melawat Sarawak di sini dan juga imej Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan. “Ini akan memberi kesan yang tidak baik untuk industri pelancongan di Miri selain ‘menakutkan’ pelawat Brunei dan pelancong asing yang datang ke sini,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, jika polis tidak mengambil langkah tegas menangani jenayah yang kerap berlaku termasuk pecah rumah dan kecurian kenderaan selain ragut, ia boleh menghilangkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai dan juga pelancong terhadap kewibawaan pihak polis di sini.

Pada masa yang sama beliau mahu lebih banyak balai polis dibina di lokasi-lokasi strategik di sekitar bandar raya ini.

Sementara itu dalam kes yang berlaku Sabtu lalu, seorang warga Brunei parah selepas dirompak di tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini. Mangsa mengalami dua kesan tetakan ketika insiden tersebut yang berlaku siang hari.

Sementara itu dalam sebuah laman sosial di sini, orang ramai memperdebatkan isu berkenaan kerana mangsa tidak dibantu oleh sesiapa pun walaupun ada saksi yang melihat, diyakini kerana mereka bimbangkan keselamatan diri, setelah melihat perompak tersebut bersenjata.

Malah dalam laman sosial berkenaan juga orang ramai turut mempertikaikan anggota polis dan RELA yang berada di situ kerana dianggap tidak menjalankan tanggungjawab mereka, meronda dan mengawal keselamatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan