Rabu, 22 Januari 2014

PATI Mula Ditahan Dalam Operasi Khas

205 ditahan oleh Jabatan Imigresen melibatkan pemeriksaan ke atas 495 warga asing

KUCHING: Seramai 205 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen sempena Ops Bersepadu 6P Fasa Kedua yang dijalankan serentak di seluruh negeri semalam.

Jurucakap Jabatan Imigresen berkata, operasi tersebut yang bermula dari jam 12 tengah malam di Kuching, Sibu, Miri, Limbang dan Bintulu melibatkan pemeriksaan ke atas seramai 495 warga asing menerusi 22 operasi.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi (semalam), sebanyak 22 operasi dijalankan serentak iaitu di Kuching (16), Sibu (1), Bintulu (3) dan Miri (2) dengan memeriksa seramai 495 warga asing.

“Daripada jumlah tersebut seramai 205 orang telah ditangkap kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di Bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Manakala 290 warga asing lagi dibebaskan kerana didapati mempunyai pas yang sah untuk tinggal serta bekerja di negeri ini.

“Daripada jumlah tangkapan itu, warganegera Indonesia seramai 177 orang, Filipina tujuh orang, Pakistan seorang dan warganegara lain seramai 20 orang.

“Mereka ditangkap dari pelbagai sektor yakni sektor pembinaan, perkhidmatan, perkilangan dan lain-lain,” katanya sambil menambah operasi tersebut turut disertai anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru menurut beliau, kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Semujan, Serian dan Bekenu, Miri serta lokap tahan polis sementara siasatan lanjut dijalankan.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Hamfatullah Syawal Hamdan, operasi di seluruh negeri itu akan dijalankan bagi tempoh tiga bulan bermula semalam.

“Pemeriksaan akan dijalankan ke atas setiap warga asing yang bekerja di Sarawak untuk memastikan mereka tidak melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” kata Hamfatullah kepada pemberita.

Antara pelbagai kesalahan yang dipantau oleh jabatan itu adalah visa tamat tempoh, permit kerja tamat tempoh atau permit kerja yang tidak selari dengan syarikat di mana mereka bekerja sekarang.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!






Tiada ulasan:

Catat Ulasan