Selasa, 21 Januari 2014

Empat Ekor Anak Buaya Sangkut Di Pukat Nelayan

Gambar Hiasan

LIMBANG: Lain yang mahu ditangkap, lain pula yang terkena, itulah pengalaman ‘biasa’ yang dialami seorang nelayan di sini apabila empat ekor anak buaya tersangkut pada pukat panjang yang dipasang di muara Sungai Pandaruan di sini kelmarin.

Sunting Pasang, 70-an berkata, kejadian itu disedari pekerjanya pada jam 9 pagi Ahad lalu ketika sedang asyik mengangkat pukat untuk mengambil hasil tangkapan ikan.

Katanya tiga ekor anak buaya sudah dilepaskan kembali manakala seekor lagi baharu dilepaskannya semalam.

“Saya memang kerap melihat anak buaya tersangkut di pukat setiap kali mengangkat pukat ketika mengambil hasil tangkapan,” katanya di sini semalam.

Sunting berkata, selain anak buaya dia juga sudah lali menyaksikan ‘ibu buaya’ yang agak besar menyangkut di pukatnya.

“Sebelum ini, memang ada buaya besar tersangkut di pukat. Namun dengan pertolongan rakan-rakan, kami berjaya melepaskan buaya itu daripada terus terperangkap pada pukat kami,” katanya.

Sunting berkata, anak-anak buaya terbabit dibawa pulang turut dipamerkan di pasar ikan.

“Saya sempat bergurau kepada pembeli-pembeli ikan untuk menyerahkan anak buaya sebagai haiwan peliharaan. Namun, mereka enggan dan faham itu hanya gurauan untuk pelanggan setia saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekalan ikan sekarang agak berkurangan akibat angin kencang dan laut bergelora yang melanda negeri ini.

“Bekalan ikan juga berkurangan di pasaran kerana hasil tangkapan ikan tidak sebanyak dahulu, akibat angin kuat yang sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan kami sebagai nelayan,” katanya.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!








Tiada ulasan:

Catat Ulasan