Jumaat, 10 Januari 2014

Pekerja Asing Kahwini Wanita Tempatan Harus Daftar Perkahwinan

Gambar Hiasan

KUCHING: Pekerja asing beragama Islam yang mengahwini wanita tempatan harus mendaftar perkahwinan mereka mengikut undang-undang sedia ada.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Putit Matzen berkata tiada pihak berkuasa boleh menyekat perkahwinan orang Islam yang disempurnakan oleh pemimpin agama mereka tetapi ia mesti dilakukan secara sah mengikut undang-undang syariah atau undang-undang sesebuah negara.

“Mereka akan berdepan masalah apabila sudah mempunyai anak dan juga status kewarganegaraan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan e-Munakahat sempena Hari Integriti Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak di sini semalam.

Putit menambah, beliau jarang mendengar atau menerima aduan berhubung berlakunya perkahwinan membabitkan pekerja asing dan wanita tempatan di ladang-ladang di negeri ini bagaimanapun jika ada pasangan berkenaan mesti mematuhi undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, beliau berharap pasangan berkenaan mendaftar perkahwinan mereka dengan pihak berkuasa bertanggungjawab bagi mengelak sebarang implikasi pada kemudian hari dan didenda.

“Sila daftar perkahwinan anda secara rasmi mengikut undang-undang negara ini supaya tidak susahkan anda sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa syarikat perladangan di sini, terdapat beberapa pekerja asing beragama Islam di situ menikahi wanita tempatan dan akad nikah disempurnakan oleh pemimpin agama di kampung-kampung menyebabkan kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan