Selasa, 14 Januari 2014

Warga Emas Maut Dalam Kemalangan

Keadaan kedua-dua buah kenderaan selepas kemalangan

SERIAN: Seorang warga emas maut di tempat kejadian setelah terbabit dalam kemalangan di Jambatan Panchor, Batu 27, Jalan Kuching-Serian, dekat sini.

Mangsa yang berusia 75 tahun yang hanya dikenali sebagai Awang, memandu Proton Saga bersendirian ketika insiden sekitar jam 10 pagi itu berlaku.

Kemalangan membabitkan kereta Saga di laluan perlahan manakala Perodua Myvi di laluan laju, itu berlaku ketika kedua-dua pemandu menuju ke arah Kuching.

Berikutan impak tersebut, Myvi berkenaan seterusnya terlanggar tiang lampu.

Difahamkan, pemandu Saga tersebut menukar laluan secara tiba-tiba, mengakibatkan wanita berkenaan gagal mengelak. Pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan.

Warga emas itu difahamkan tersepit di tempat duduknya dan berjaya dikeluarkan oleh sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan namun gagal diselamatkan.

Pemandu Myvi itu pula yang merupakan seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian kaki. Wanita berkenaan dibawa ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan manakala mayat warga emas tersebut akan dibedah siasat. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan