Gambar Hiasan
BINTULU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam kenderaannya oleh orang awam disyaki akibat serangan jantung di pusat bandar ini semalam.
Lelaki berbangsa Iban berusia 60 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 1 petang oleh orang awam yang melalui kawasan itu. Mangsa dipercayai sedang menunggu seseorang berdekatan sebuah kedai di situ.
Salah seorang orang awam berkata, sebelum itu lelaki itu dilihat terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam keretanya.
“Dia seperti pengsan. Saya ingat dia pengsan lalu saya mengetuk cermin keretanya berkali-kali tetapi tidak ada tindak balas,” katanya ditemui di lokasi kejadian semalam.
Berikutan itu, pihaknya menghubungi ambulans Hospital Bintulu untuk mendapatkan bantuan dan kakitangan perubatan memeriksa keadaan mangsa mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Polis Bintulu turut bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan dan seterusnya memaklumkan kepada keluarga mangsa.
Abang kepada mangsa semasa ditemui berkata, pada pagi sebelum kejadian adiknya itu tidak menghadapi masalah apa-apa kelihatan baik sahaja dan beliau percaya kemungkinan dia menghadapi serangan jantung.
Sementara itu, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan