Isnin, 20 Januari 2014

Mangsa Bot Karam Cerita Detik Cemas

Operasi Mencari dan Menyelamat

MUKAH: “Bila melihat keadaan sungai bergelora teruk, saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Tiba-tiba dengan tidak diduga ombak setinggi tiga kaki memukul perahu kami,” kata Melajim Akim, 59, menceritakan detik cemas dalam tragedi bot karam yang membawa 27 penumpang yang hanya beberapa kilometer dari Pangkalan Feri Nanga Kecil, Daro.

Kejadian berlaku sekitar jam 1 petang itu mengorbankan tiga penumpang, tujuh masih belum dijumpai dan 17 terselamat. Semua mangsa terselamat dirujuk ke Hospital Daro untuk diberi rawatan lanjut dan mayat mangsa ditemui kelmarin dihantar ke bilik mayat hospital berkenaan.

Melajim yang merupakan juragan bot tersebut memberitahu, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan dia hanya mampu melihat rakan-rakan yang lain terkapai-kapai meminta pertolongan.

Namun, usaha membantu antara satu sama lain gagal akibat keadaan sungai yang bergelora dan hanya mampu menyelamatkan diri sendiri.

“Situasi bot pada ketika itu sangat mencemaskan, saya memang tidak dapat membayangkan detik cemas itu dengan keadaan perahu kami terjunam akibat pukulan ombak yang kuat.

“Oleh sebab itu, tiga penumpang yang duduk di bahagian hadapan bot tidak dapat menyelamatkan diri kerana peratusan untuk selamat memang rendah kerana sebelah hadapan bot kami terjunam terlebih dahulu,” jelasnya.

Melajim berkata bagaimanapun penduduk di kawasan Kampung Kut, Daro yang kebetulan melihat kejadian tersebut bergegas memberi bantuan.

Seorang lagi saksi kejadian, Aiman Sepawi, 23, memberitahu bahawa nasib mereka sangat baik kerana pada waktu itu penduduk di kawasan Kampung Kut memberi pertolongan segera kepada mereka yang masih terkial-kial minta pertolongan.

“Saya amat bersyukur kerana saya dan rakan-rakan lain masih terselamat dan penduduk di Kampung Kut memberi pertolongan segera kepada kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Daro, malam kelmarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan