Selasa, 21 Januari 2014

Seorang Lelaki Rentung Dalam Kebakaran

Mayat mangsa diusung keluar oleh pihak polis bagi dibawa ke HUS untuk tindakan selanjutnya

KUCHING: Seorang lelaki rentung manakala seorang lagi cedera parah dalam kejadian kebakaran yang menjejaskan sekurang-kurangnya sembilan keluarga di Taman Kali, Jalan Resak di sini, awal pagi semalam.

Mangsa Admon Jo James, 26, dari Tebedu, dekat sini, mati di tempat kejadian selepas gagal menyelamatkan diri.

Menurut Ketua Bomba Zon Kuching Tiong Ling Hii, mangsa yang dipercayai mabuk selepas sesi minum bersama rakannya sedang tidur ketika insiden sekitar jam 12.45 pagi itu berlaku.

“Mangsa ditemui dalam keadaan rentung oleh pihak bomba sekitar jam 2.25 pagi ketika menjalankan kerja ‘overhaul’,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, awal pagi semalam.

Mayat pekerja syarikat pengiklanan itu dicam oleh ahli keluarganya melalui rantai leher yang dipakai oleh mangsa.

Manakala seorang lagi mangsa, Mohd Norhiezam Abdullah, 35, dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak selepas melecur di bahagian kaki dan cedera di tangan akibat terkena kaca selepas terjun dari tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri.

Lelaki yang berasal dari Kampung Tambirat Lot di Kota Samarahan itu masih menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, menurut salah seorang penyewa, Fabian Toyon dari Serian, insiden itu hanya disedarinya selepas merasai bahang panas dan ternampak cahaya terang.

“Apabila saya menjenguk ke luar tingkap, saya lihat api telah marak di sebelah bilik saya,” katanya sambil menambah biliknya bersebelahan dengan bilik Norhiezam.

Mereka sekeluarga, termasuk dua anaknya yang masing-masing berusia tiga tahun dan tujuh bulan kemudiannya bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.

“Api marak begitu cepat… belum sampai 30 minit, kediaman kami musnah. Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan motosikal sahaja… mujur kami sekeluarga selamat,” kata mekanik berusia 27 tahun itu.

Fabian memberitahu, rumah yang disewanya itu mempunyai empat bilik di bahagian bawah termasuk bilik stor dan enam bilik di tingkat atas dan sebuah bilik tidak berpenghuni.

Sebuah rumah persendirian yang terletak bertentangan dengan rumah sewa itu turut musnah 100 peratus dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tabuan Jaya Tawang Linggem memberitahu, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.05 pagi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 pagi.

“Pihak kami mengalami kesukaran kerana pili bomba terdekat terletak 700 meter dari lokasi kebakaran selain berhadapan dengan masalah tekanan air rendah,” katanya.

Operasi yang disertai oleh 24 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, Batu Lintang dan Padungan itu berakhir jam 2.45 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!








Tiada ulasan:

Catat Ulasan