Shamsul Anuar Nasarah
SHAH ALAM - Kerajaan hanya perlu melanjutkan tempoh pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang akan diberikan kepada pemohonan pada Februari ini hanya sekiranya keadaan betul-betul memerlukan.
Menurut ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, tindakan itu wajar dilakukan bagi ‘mengajar’ sikap segelintir masyarakat Malaysia yang sering menunggu saat-saat akhir dalam melakukan sesuatu perkara.
Tambahnya sekiranya kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran BR1M 3.0 sekarang, rakyat akan menunggu sehingga hari akhir tempoh lanjutan tersebut dan perkara itu jelas menunjukkan lanjutan tempoh tersebut tidak memberi sebarang faedah.
“Kerajaan perlu lihat Februari ini (bulan tamat pendaftaran BR1M) selepas itu, sekiranya masih ada yang tidak mendaftar barulah perlu tengok semula.
“Tetapi kelonggaran hanya kepada golongan seperti warga emas dan golongan yang betul-betul susah supaya mereka boleh mendaftar walaupun sudah melebihi tempoh tersebut," Katanya.
Disember lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan mengumumkan, permohonan BR1M 3.0 akan dibuka sehingga 31 Januari ini.
Menurut kenyataan itu, penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.
Manakala bagi pemohon baharu pula, boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan secara percuma mulai tarikh tersebut.
Bagaimanapun, semalam, Pemuda Pas menggesa supaya kerajaan melanjutkan tempoh permohonan bantuan tersebut.
Naib Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohd Farkhan Md Zain berkata, memandangkan 70 peratus daripada 9,000 pemohon baharu yang belum berdaftar maka kerajaan disarankan melanjutkan tempoh tamat pada hujung bulan ini.
"Bagaimanapun, kerajaan juga diharap dapat memberikan BR1M secara berperingkat kepada mereka yang telah mendaftar bermula Februari 2014 sekurang-kurangnya untuk meringankan beban kewangan berikutan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat baru-baru ini.
"Meskipun ia bukanlah jalan penyelesaian yang tepat, namun bantuan tersebut sewajarnya dihargai," katanya.
Mengulas perkara sama,Shamsul yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong menambah, sekiranya kerajaan lanjutkan tempoh tersebut, dikhuatiri rakyat akan menunggu saat akhir untuk membuat pendaftaran.
"bagi saya melanjutkan tempoh pendaftaran BR1M tersebut tidak akan memberi sebarang manfaat, sekiranya masih ramai rakyat yang bersikap kita tunggu ‘last minute’ baru daftar," katanya lagi. SINAR HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan