Selasa, 14 Januari 2014

Suspek Pecah Rumah Pelajar Mati Dibunuh Ditangkap

Dua anggota polis mengiringi dua orang suspek ke Balai Polis Pusat Miri selepas mereka ditangkap semalam.

MIRI: Seorang wanita dan seorang lelaki warga Bangladesh antara sembilan individu berjaya diberkas polis dalam serbuan di beberapa buah rumah di kawasan Tudan dan Permyjaya di sini semalam kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Senadin.

Tangkapan ke atas mereka dilakukan oleh sepasukan polis dari Miri serta Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuching yang meng-adakan operasi khas seawal jam 7 pagi.

Semasa tangkapan, polis turut merampas tiga motosikal dipercayai digunakan mereka semasa melakukan jenayah pecah rumah dan sebuah silinder gas.

Menurut sumber, silinder gas berkenaan dipercayai dicuri dari sebuah rumah di Senadin dan kemudian dijual dengan harga RM70 kepada sebuah syarikat pengedar gas di Taman Tunku.

Polis dengan dipandu arah lelaki Bangladesh itu pergi ke premis berkenaan untuk merampas silinder gas ter-sebut bagi dijadikan barang kes.

Difahamkan, lelaki Bangladesh terbabit merupakan pekerja di syarikat pengedar gas berkenaan manakala wanita tersebut adalah teman wanita kepada salah seorang suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas semua suspek.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada semua suspek ditangkap ada kaitan dengan kes rompak dan bunuh ke atas seorang pelajar sebuah universiti swasta di sini pada 4 Januari lalu.

“Masih terlalu awal untuk mengesahkan perkara itu. Buat masa ini, biarlah polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes pecah rumah ke atas mereka,” katanya.

Berikutan tangkapan itu, semua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk soal siasat lanjut.

Pada 4 Januari lalu, seorang penuntut di Curtin University Sarawak dikenali sebagai Mu Tshun Vui, 19, berasal dari Sandakan, Sabah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di rumah sewanya di Jalan Jati 1, Senadin di sini.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan mencari suspek yang terlibat. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan