Selasa, 14 Januari 2014

BR1M Ke Akaun Bank Disambut Baik


KUCHING: Masyarakat di bandar raya ini yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menyambut baik usaha kerajaan menambah baik penyaluran bantuan itu ke akaun bank. Rata-rata penerima memuji usaha kerajaan itu yang disifatkan mesra rakyat.

Menurut Drahman Mohd,34, penyaluran BR1M ke akaun bank lebih mudah kerana penerima tidak lagi perlu beratur panjang seperti sebelum ini.

Dia yang juga seorang peniaga berkata, langkah kerajaan itu dilihat lebih efisien bagi mengelak penerima terpaksa bersesak dan pada masa sama berebut-rebut.

“Saya memang menyambut baik usaha kerajaan ini dalam menambah baik proses penyaluran BR1M,” katanya.

Sebelumk ini, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata penerima BR1M diminta memaklumkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika belum berbuat demikian sebelum 31 Januari bagi proses pembayaran.

Menurut Ahmad Husni, mulai tahun ini kerajaan akan menyalur bantuan itu ke akaun bank penerima bagi mengelak mereka beratur panjang seperti pada pemberian BR1M sebelum ini.

“Penerima BR1M yang tidak ada akaun ini tidak ramai, kira-kira 10 peratus sahaja…sejak program BR1M dilaksana dua tahun lepas, kita mahu adakan penambahbaikan, kita akan masukkan ke dalam akauan bank,” ujar Ahmad Husni.

Sementara itu, Siti Zubaidah Hussin,46, pula menyifatkan pemberian BR1M menerusi akaun bank merupakan langkah bijak dan pada masa sama tidak membebankan rakyat.

“Sebelum ini penerima terpaksa bersesak dan menunggu lama untuk mendapatkan BR1M. Namun sekarang penerima tidak lagi perlu beratur panjang. Ini merupakan langkah bijak kerajaan untuk memudahkan proses pemberian BR1M,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan