Sabtu, 18 Januari 2014

Mayat Remaja Terjun Laut Cuba Selamatkan Pakcik Ditemui

Gambar Hiasan

KOTA SAMARAHAN: Seorang remaja yang dilaporkan hilang se­lepas cuba menyela­matkan bapa saudaranya yang terjatuh ke dalam laut berdekatan Kam­pung Jemukan, Asajaya ditemui lemas pagi semalam.

Menurut jurucakap bomba, mayat Amir Sahari, 14, ditemui oleh beberapa anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menyertai operasi mencari dan menyela­mat kedua-dua mangsa sekitar jam 10 pagi se­malam.

“Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa yang dikhuat­iri lemas itu pada hari ini (semalam) berjaya menemui mayat seorang daripada mangsa (Amir) iaitu beberapa meter dari tempat kejadian sekitar jam 10 pagi tadi (pagi semalam).

“Bagaimanapun usaha untuk mengesan seorang lagi mangsa masih di­jalankan sehingga arahan seterusnya,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Ladong itu bersama lima lagi rakan mereka pergi ke laut untuk men­cari kerang pada hari Rabu lepas, sekitar jam 7 pagi.

Bagaimanapun, sekitar tengah hari, bot yang dinaiki mangsa bersama dengan rakan mere­ka itu dipukul ombak menyebabkan bapa sau­dara Amir yang dikenali sebagai Riduan terjatuh ke laut.

Amir kemudian seg­era terjun ke laut untuk menyelamatkan bapa saudaranya itu namun kedua-dua mereka hilang ditelan ombak. Rakan-rakan mangsa itu kemudian terus ke darat untuk mendap­atkan bantuan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh anggota bomba dan JPAM kemudian dijalankan sebaik sahaja mendapat laporan ber­hubung kejadian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan