Khamis, 16 Januari 2014

Dua Lelaki Cedera Dalam Pergaduhan

Mangsa menunjukkan kecederaan yang dialami dalam pergaduhan itu.

LUBOK ANTU: Satu kejadian pergaduhan berlaku di antara dua lelaki yang tinggal di Rumah Sebangki Panjai, Lubok Antu, Sri Aman pada petang Isnin lepas.

Pergaduhan dipercayai bermula apabila seorang guru yang berasal dari rumah panjang itu hendak pergi ke sungai berdekatan untuk memasang pukat sekitar jam 6.15 petang.

Sebelum sempat berbuat demikian, tiba-tiba guru tersebut didatangi seorang lelaki dari rumah panjang sama yang menyerangnya setelah meletakkan kenderaan Proton Saga warna hitam di halaman rumahnya.

“Lelaki terbabit kemudiannya memberi isyarat tangan yang tidak menyenangkan hati ke arah saya sebaik sahaja dia melangkah keluar dari kenderaan Proton Saga warna hitamnya.

“Selepas memberikan isyarat tangan tersebut, lelaki berkenaan terus meluru dan bertindak menampar serta menumbuk mata kiri saya,” kata guru itu kepada pemberita mengenai kejadian yang amat dikesalinya itu.

Tindakan lelaki berkenaan menyebabkan kedua-dua mereka bergelut di kawasan rumah panjang itu sehingga menyebabkan guru mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan.

Penduduk rumah panjang yang terkejut melihat kejadian tersebut bertindak segera meleraikan kedua-dua mereka.

“Saya tidak tahu punca lelaki berkenaan bertindak demikian. Tambahan pula saya tidak mempunyai perselisihan faham dengannya sebelum ini.

“Apa yang saya tahu ialah segala pertanyaan mengenai punca serangan kepada lelaki itu dibalas dengan tampar dan tumbuk,” katanya.

Sehubungan itu, guru tersebut tampil ke Balai Polis Lubok Antu untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 7.05 malam sebelum ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan