Jumaat, 10 Januari 2014

Kalimah Allah: Masyarakat Kristian di S’wak Digesa Tidak Terpengaruh Hasutan


KUCHING: Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof menggesa masyarakat Kristian di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan hasutan oleh kumpulan tertentu berhubung isu kalimah Allah.

Menurut Fadillah dalam kenyataan akhbarnya di sini, semalam kerajaan negeri telah memberi jaminan apa yang berlaku di Selangor tidak akan berlaku di Sarawak.

“Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah menyatakan dengan jelas bahawa larangan ke atas penggunaan kalimah Allah seperti apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak diguna pakai di Sarawak,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Petra Jaya.

Katanya rakyat Sarawak sudah hidup bersama dalam keadaan harmoni walaupun merangkumi pelbagai kaum malahan sebelum penubuhan Malaysia lagi dan apa yang berlaku sekarang boleh menjejaskan tahap toleransi di kalangan pelbagai kaum di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan di bawah Artikel 11 (3) (A) seseorang itu ada hak untuk mengurus agama masing-masing dan ia juga jelas menyatakan penyebaran ajaran agama lain dilarang kepada Muslim,” tegasnya.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman yang bertanggungjawab dalam perkara ini turut menyatakan kerajaan tidak akan mengikuti langkah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam perkara berkaitan agama lain. Agama jatuh di bawah pelaksanaan undang-undang negeri, katanya.

“Di Sarawak hubungan yang amat baik di kalangan penduduk pelbagai kaum sudah wujud sekian lama dan merupakan contoh yang baik bukan sahaja kepada negeri lain tetapi seluruh dunia,” tegasnya.

Daud juga berkata keadaan itu menyokong pembangunan yang pesat di seluruh negeri sejajar dengan dasar politik pembangunan yang didukung oleh Ketua Menteri. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan