Isnin, 20 Januari 2014

Banduan Ditemui Mati Dipercayai Menggantung Diri

Gambar Hiasan

KUCHING: Seorang banduan berusia 39 tahun yang dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun lapan bulan, ditemui mati di bilik kurungannya awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Pauzi Bujang yang mengesahkan insiden itu berkata, dia yang ditemui tidak bernyawa oleh warden penjara dipercayai menggantung diri dengan menggunakan cadar tilam.

“Dia yang menjalani hukuman sejak April 2011 selepas dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata, dijumpai dalam keadaan tergantung pada jam 1.25 pagi 19 Januari 2014 oleh warden penjara,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Pauzi menjelaskan, lelaki berbangsa Cina itu dipenjarakan pada 2011 tetapi kemudiannya dimasukkan ke Hospital Kota Sentosa kerana didapati mengalami skitzofrenia atau sakit jiwa.

Bagaimanapun, dia dikeluarkan dari hospital tersebut pada Oktober lalu selepas doktor mengesahkan keadaannya beransur baik.

Lelaki yang beralamat di Jalan Kuching-Serian itu yang mempunyai tingkah laku antisosial, diasingkan daripada banduan lain dan tinggal secara bersendirian di dalam bilik kurungannya.

Tingkah lakunya yang antisosial itu turut menyukarkan pihak polis pada awal penahananya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai diri serta keluarganya.

Justeru, polis menyeru sesiapa yang mengenali atau mempunyai ahli keluarga berbangsa Cina dalam penjara dan berumur 39 tahun untuk menghubungi pihak penjara dengan segera.

Mayatnya akan ditempatkan di Bilik Mayat Hospital Umum Sarawak selepas bedah siasat sementara menunggu untuk dituntut oleh keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan