Rabu, 22 Januari 2014

Buka Akaun Bagi Lancarkan Pengagihan BR1M 3.0


MIRI: Penduduk kawasan Baram dinasihat untuk membuka akaun bagi melancarkan pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata perkara itu digalakkan untuk mempercepatkan proses penerimaan bantuan tersebut.

“Saya amat menggalakkan penduduk di pedalaman Baram membuka akaun terlebih dahulu untuk penerimaan BR1M 3.0 nanti,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, setelah akaun dibuka mereka juga harus mengemas kini maklumat akaun ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bagaimanapun, sesiapa yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian (membuka akaun) tidak harus bimbang kerana bantuan tetap diberikan kepada mereka yang layak.

“Tidak harus bimbang, bukannya tidak ada akaun bermakna tidak diberi BR1M, jangan salah faham… bantuan tetap diberikan,” jelasnya.

Katanya, ini akan dilaksanakan melalui pengagihan bantuan berkenaan secara manual seperti sebelum ini iaitu wang akan diberikan secara tunai.

Mengenai kemas kini akaun dan maklumat peribadi secara talian pula, Dennis mengakui perkara berkenaan sebenarnya sukar sedikit dilaksanakan oleh penduduk pedalaman.

“Kita maklum kerana ramai yang masih asing dengan kemudahan Internet dan juga aksesnya, jadi setakat ini hanya melalui pejabat LHDN terdekat,” kata beliau. Dennis juga menasihati penduduk agar jangan lalai mengenai tarikh tutup permohonan BR1M 2014.

Maklumat umum mengenai pembayaran dijangka akan dibuat bermula Februari dan dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala individu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650.


Semua Ada Disini!! Jom Klik!!








Tiada ulasan:

Catat Ulasan