Jumaat, 17 Januari 2014

Operasi Cari Mangsa Lemas Diteruskan


KOTA SAMARAHAN: Operasi mencari dan menyelamat dua lelaki yang dikhuatiri lemas di laut berdekatan Kampung Jemukan, Asajaya diteruskan hari ini selepas usaha tersebut terpaksa ditangguhkan semalam.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Riduan Ili berusia 52 tahun dan anak saudaranya Amir Shaari berusia 14 tahun. Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Ladong itu bersama lima lagi rakan mereka turun ke laut untuk mencari kerang pada hari Rabu lepas iaitu sekitar jam 7 pagi.

Bagaimanapun, sekitar tengah hari, bot yang dinaiki mangsa bersama rakan mereka itu dipukul ombak menyebabkan Riduan terjatuh ke dalam laut.

Amir kemudian segera terjun untuk menyelamatkan bapa saudaranya itu namun kedua-dua mereka hilang ditelan ombak. Rakan-rakan mangsa kemudian terus ke darat untuk mendapatkan bantuan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kemudian dijalankan sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan