Selasa, 28 Ogos 2012

Manusia Pertama Ke Bulan Meninggal Dunia

Neil  Alden , Edwin Aldrin (kiri) dan Michael Collins (tengah) di Pejabat Oval di White House

WASHINGTON - Manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, Neil Alden Armstrong meninggal dunia pada usia 82 tahun, kata keluarga bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS) berkenaan kelmarin.

Armstrong menjalani pembedahan pintasan jantung awal bulan ini selepas dua hari beliau menyambut hari jadinya pada 5 Ogos lalu bagi membuka beberapa arteri yang tersumbat.

Sebagai komander kapal angkasa Apollo 11, Armstrong merupakan manusia pertama menjejakkan kaki di bulan pada 20 Julai 1969 diikuti oleh angkasawan, Edwin Aldrin.

Selain beliau dan Aldrin, misi ke bulan yang dilancarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat itu disertai oleh seorang lagi angkasawan, Michael Collins.

Peristiwa bersejarah tersebut ditonton oleh 500 juta orang di kaca televisyen di seluruh dunia.

Semasa kali pertama melangkah di permukaan bulan yang berdebu, Armstrong berkata, "Langkah kecil ini (dirinya) merupakan langkah besar buat manusia sejagat.".

Ungkapan tersebut kekal sebagai antara petikan bahasa Inggeris paling terkenal sehingga hari ini. Ketika itu, Armstrong berusia 38 tahun.

Walaupun telah merealisasikan impian manusia yang mendambakan untuk menyentuh bulan sejak berkurun lamanya, Armstrong enggan meninggi diri berhubung pencapaian terhebat itu. Malah, beliau agak kecewa dengan sanjungan besar yang diterimanya.

"Kita semua mahu diktiraf bukan kerana sesuatu pencapaian sahaja tetapi berdasarkan usaha yang kita lakukan pada setiap hari," kata Armstrong dalam temu bual bersama program televisyen terbitan CBS,60 Minutes, pada 2005.

Beliau juga pernah ditanya tentang perasaannya apabila mengetahui bahawa tapak kakinya di bulan akan kekal selama ribuan tahun.

"Saya berharap seseorang akan pergi ke bulan suatu hari nanti dan membersihkan tapak-tapak kaki saya," katanya. Misi ke bulan itu merupakan misi angkasa lepas terakhir buat Armstrong.

Beliau kemudian dilantik sebagai pentadbir bahagian aeronautik di NASA tetapi meninggalkan agensi berkenaan pada tahun berikutnya untuk mengajar kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Cincinnati.

Beliau kekal di pusat pengajian tinggi berkenaan hingga tahun 1979 sebelum bersara untuk menjadi seorang petani dan penternak.

Sepanjang tempoh tersebut, Armstrong memencilkan diri dan hanya bersetuju menerima beberapa undangan temu ramah atau syarahan.

Dilahirkan di Wapakoneta, dalam negeri Ohio pada 5 Ogos 1930, Armstrong meminati kapal terbang sejak kecil lagi dan pernah bekerja di sebuah lapangan terbang berdekatan semasa meningkat remaja.

Beliau mengambil kelas penerbangan ketika baru berusia 15 tahun dan memperoleh lesen juruterbang pada hari jadinya yang ke-16.

Sebagai seorang juruterbang Tentera Laut AS, beliau pernah menyertai 78 misi penerbangan dalam Perang Korea.

Armstrong kemudian belajar Kejuruteraan Aeronautik di Universiti Purdue sebelum memperoleh ijazah Sarjana Sains di Universiti California Selatan.

Selepas berkhidmat sebagai juruterbang tentera laut dari 1949 hingga 1952, Armstrong menyertai agensi angkasa lepas AS yang ketika itu dikenali sebagai Jawatankuasa Penasihat Nasional Bagi Aeronautik (NACA) pada 1955.

Beliau berkhidmat sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NACA dan kemudian NASA sepanjang tempoh 17 tahun.

Sebagai juruterbang penyelidikan untuk Pusat Penyelidikan Penerbangan NASA di California, beliau menerbangkan banyak pesawat perintis berkelajuan tinggi AS.

Armstrong mendapat status angkasawan pada 1962 dan menerajui misi Gemini 8 untuk berlabuh di angkasa lepas sebelum diberikan kepercayaan untuk mengetuai pengembaraan manusia ke bulan.

Bekas angkasawan itu tinggal di sebuah kawasan di Cincinnati bersama isterinya, Carol.

"Kami ingin berkongsi kesedihan untuk memberitahu bahawa Neil Armstrong meninggal dunia susulan komplikasi daripada pembedahan pintasan jantung," kata keluarganya dalam satu kenyataan.

"Armstrong merupakan seorang suami, ayah, adik beradik dan rakan yang penyayang," tambah kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan Presiden AS, Barack Obama dan Edwin Aldrin turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga angkasawan legenda itu.

"Armstrong merupakan antara wira AS yang paling unggul. Apabila beliau dan dua lagi angkasawan berlepas menaiki roket Apollo 11 pada 1969, mereka membawa bersama aspirasi seluruh rakyat negara ini," kata Obama.

Aldrin pula berharap beliau, Armstrong dan Collins dapat bertemu pada tahun 2019 sempena sambutan 50 tahun misi Apollo 11 ke bulan.

"Amat dikesali kerana harapan ini tidak akan tercapai. Semangat Armstrong akan kekal bersama kita semua," ujar Aldrin.

"Saya akan merindui sahabat saya ini dan saya tahu rakyat AS dan penduduk di seluruh dunia akan terasa kehilangan perintis aviasi dan angkasa lepas ini," tambahnya.


Chong Wei, Mew Choo Bakal Kahwin Tahun Depan



KUALA LUMPUR - Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menamatkan zaman bujangnya dengan bekas pemain perseorangan badminton wanita negara, Wong Mew Choo, tahun depan.

Pemenang pingat perak Olimpik London itu berkata, beliau kini bersedia berkahwin dengan Wong yang dikenalinya sejak 2001 ketika mereka bersama-sama mengikuti kem latihan badminton negara.

Bagaimanapun, Chong Wei enggan menyatakan tarikh atau tempat yang dipilih untuk meraikan majlis bersejarah itu memandangkan semuanya masih dalam perancangan.

"Mungkin saya akan mengundur diri tahun depan kerana pertandingan penting sudah berakhir dan mula merancang memandangkan saya bukan lagi muda,” katanya kepada pemberita. - BERNAMA


36 Maut Bas Langgar Lori Tangki

Keadaan sebuah bas dan lori selepas kemalangan di sebuah lebuh raya di Yan'an, Beijing 

BEIJING - Seramai 36 orang terbunuh apabila sebuah bas dua tingkat melanggar belakang sebuah lori tangki di sebatang lebuh raya di utara China semalam, lapor media negara berkenaan.

Agensi berita rasmi Xinhua menyatakan, rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.

Menurut Xinhua, ketika kejadian sekitar pukul 2 pagi semalam (waktu tempatan), lori tangki tersebut sedang membawa bahan kimia metanol di sebatang lebuh raya dekat bandar Yan'an dalam wilayah Shaanxi.

Agensi berita tersebut memberitahu, seramai 39 orang berada di dalam kedua-kedua kenderaan itu semasa kejadian dengan hanya tiga orang yang terselamat. Mangsa-mangsa yang terselamat kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk menerima rawatan.

Keselamatan jalan raya merupakan masalah serius di China. Menurut Xinhua, kelemahan penyelenggaraan jalan raya dan sikap pemandu yang lalai menyebabkan 70,000 kematian dan 300,000 kecederaan dilaporkan berlaku di China itu pada setiap tahun.


Isnin, 27 Ogos 2012

Lelaki Mati Leher Dikelar

Polis menjalankan siasatan di rumah Ghadzali 

GEORGE TOWN - Seorang lelaki tergamam apabila kedatangan ke rumah sahabat baiknya dikejutkan dengan penemuan mayat rakannya itu yang menjadi mangsa pembunuhan kejam di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau di sini semalam.

Mayat Ghadzali Ahamad, 53, ditemui kira-kira pukul 10 pagi semalam dalam keadaan kedua-dua belah tangan terikat serta kesan kelar di leher bersama tompokan darah.

Difahamkan, sebelum ditemui, rakan mangsa berasa curiga apabila mangsa tidak keluar selepas dipanggil berkali-kali.

Dia datang ke rumah mangsa untuk membawa lelaki itu ke Hospital Balik Pulau bagi mendapatkan rawatan susulan berhubung penyakit asma yang dihidapinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, rakan mangsa yang menyangka dia masih tidur menunggu hampir 10 minit sebelum dia mendapati pintu dan tingkap tertutup selepas membuat pemeriksaan di sekeliling rumah.


Pertandingan Makan Embrio Itik Di New York

Peserta dalam pertandingan makan embrio itik pertama di New York

NEW YORK - Satu pertandingan memakan telur mengandungi embrio anak itik yang sempurna kali pertama diadakan di Amerika Syarikat (AS) kelmarin

Dikenali sebagai balut, telur berkenaan merupakan antara makanan menjijikkan di dunia. Acara ekstrem tersebut dianjurkan oleh restoran Maharlika yang menjual masakan Filipina di sini.

"Telur ini direbus dan dihidangkan bersama secubit garam dan cuka tebu,

"Apabila kulit telur dipecahkan, anda mula dengan meminum cairan di dalamnya sebelum memakan janin anak itik. Jika anda bertuah, anda akan menemui embrio itik yang mempunyai sedikit bulu dan paruh kecil," kata pemilik bersama restoran berkenaan, Miguel Trinidad.

"Telur ini merupakan sumber protein yang hebat dan dapat menguatkan tenaga batin anda," tambahya.

Menampilkan 10 peserta, pertandingan sulung itu dimenangi oleh seorang lelaki, Wayne Algenio. Dia memakan sebanyak 18 telur embrio dalam tempoh lima minit.

Algenio yang memenangi tali pinggang hitam bersadur emas berjanji akan mempertahankan kejuaraannya pada tahun depan.


Pelesit Rempit Maut Ketika Berlumba Di Klang

Mayat Sattindran terbaring di tengah jalan

KLANG - Seorang pemuda dipercayai pelesit rempit terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori di Persiaran Raja Muda Musa di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi, mangsa, S. Sattindran, 20, maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya tercampak sejauh kira-kira 60 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Difahamkan, sebelum tragedi itu, Sattindran dan seorang rakannya yang menaiki motosikal lain sedang berlumba apabila mereka dilihat beberapa kali melalui jalan tersebut.

Bagaimanapun, selepas motosikal ditunggangi Sattindran merempuh belakang lori, rakan mangsa terus melarikan diri.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd. Rahman berkata, mangsa mati di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.


Tiga Maut Jejambat Runtuh Di China

Sebuah trak terbalik di jejambat yang runtuh

BEIJING - Tiga orang terbunuh dan lima lagi cedera apabila jejambat sebanyak lapan lorong runtuh di timur laut China semalam, sembilan bulan selepas siap dibina, lapor agensi berita China News Service.

Jejambat itu merupakan sebahagian daripada laluan ke sebuah lapangan terbang di bandar Harbin. Ia dibuka pada November tahun lalu selepas dua tahun siap dibina dengan kos AS$300 juta (RM930.39 juta).

Kenderaan terhumban dari sebuah jejambat yang runtuh di Harbin

Dua orang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati kemudian. Pihak berkuasa akan menyiasat reka bentuk dan ciri-ciri pembinaan semasa melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.

Ribuan orang memberi komen tentang runtuhan itu di laman Sina Weibo.

"Cuba bayangkan beberapa pegawai korup mengambil empat perlima daripada dana projek," kata seorang pengguna laman itu.


Temuduga Untuk Jadi Calon Isteri Lelaki Kaya

Menunggu giliran untuk ditemu duga

BEIJING - Sejumlah wanita muda di China yang bergaya dengan pelbagai fesyen dan kasut duduk di atas bangku dan memegang dokumen mengandungi maklumat tentang berat badan serta ketinggian mereka.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 wanita yang menghadiri proses tapisan kendalian para kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di sini untuk menjadi 50 calon yang dibenarkan berkenalan dengan 32 lelaki kaya. Lelaki kaya itu mungkin bakal menjadi suami mereka.

Seorang peserta wanita menyatakan, dia sanggup menangis di dalam sebuah kereta BMW daripada duduk di tempat duduk belakang basikal.

Terdapat juga seorang lagi peserta wanita yang mahu meminta wang sebanyak AS$31,000 (RM96,069) sebagai syarat untuk berjabat tangan dengan seorang lelaki.

Wanita-wanita itu perlu berumur 20 hingga 28 tahun, mempunyai ketinggian 165 sentimeter, cantik dan lemah lembut dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan kolej.

Pada Ahad lalu, wanita-wanita itu dinilai oleh pihak pengendali temu duga seperti bagaimana mereka mengendalikan tekanan dan apakah yang mereka mahu daripada seorang lelaki.

Kelab itu mengenakan syarat kepada para lelaki kaya yang mahu menyertai proses pencarian jodoh itu perlu mengesahkan kekayaan mereka dan membayar yuran sebanyak AS$31,000