Selasa, 28 Ogos 2012

Bapa Tekad Tinggalkan 3 Anak

Nurul Safiza (kiri) menjaga dua adiknya, Muhammad Nurhan dan Nur Masyita Amiera 

JOHOR BAHRU – Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia bersama keluarga bekas isteri keduanya, Karsini Kaslam, 25, tekad meninggalkan tiga anaknya bersendirian di Flat Taman Kempas di sini.

Lelaki itu dipercayai menuju ke Lampung, Indonesia bersendirian untuk menyelamatkan anaknya yang kini didakwa di bawah cengkaman bapa angkatnya.

Dia dipercayai berbuat demikian lantaran kecewa kerana mendakwa sudah terlalu lama menunggu janji pihak tertentu untuk membawa anak kesayangannya pulang ke pangkuannya.

Namun, sebelum bertekad meninggalkan tanah air, niat itu terlebih dulu telah disuarakan Nordi, 57, kepada wartawan Kosmo! melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat sejam sebelum dia berangkat ke negara seberang.

Berikut adalah beberapa petikan SMS yang dihantar kepada Kosmo!:

Nordi: Mungkin esok (24 Ogos lalu), saya akan tinggalkan tiga anak saya.

Kosmo!: Apa maksud pakcik?

Nordi: Saya pergi sahut cabaran bapa angkat Siti Norzana. Tunggu berita Interpol, macam tunggu buah tak gugur.

Kosmo!: Pakcik sudah beli tiket kapal terbang?

Nordi: Saya keluar melalui jalan belakang.

Nordi dipercayai meninggalkan rumah dan tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, di Flat Taman Kempas di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 24 Ogos lalu menggunakan perkhidmatan feri.

Membuktikan tindak-tanduknya bukan main-main, dia menghubungi Kosmo! semula menggunakan talian dari Indonesia kira-kira pukul 3.45 petang pada hari yang sama.

“Saya sudah berada di Lampung, saya sudah bersedia berjuang walau apa juga rintangan untuk selamatkan Zana, tolong tengok-tengokkan anak saya,” katanya ringkas.

Nordi sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.

Misi itu, bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang tiga daripada mereka manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke negara ini.

Dalam pada itu, Nordi ketika ditanya bagaimana nasib ketiga-tiga anaknya yang ditinggalkannya, jawabnya: “Saya serah kepada Allah. Tiada siapa menjaga mereka, sudah kehendak takdir, terpaksa saya terima dugaan ini. Untuk seminggu dua (duit belanja) cukup, seterusnya, entahlah.” - KOSMO


Kambing Panjat Pokok Di Maghribi

Beberapa ekor kambing memanjat pokok 

RABAT - Senario beberapa ekor kambing memanjat sebuah pokok argan di sebuah kawasan gurun dekat Essaouira, barat Maghribi mendapat sambutan hebat di laman perkongsian video YouTube.

Haiwan itu memanjat pohon berkenaan untuk memakan buahnya yang manis.

Pokok yang dapat hidup pada musim kemarau itu digunakan oleh penduduk Maghribi untuk menghasilkan sejenis minyak bagi pembuatan kosmetik dan ubat.

Minyak argan merupakan antara minyak termahal di dunia dengan komoditi tersebut dijual pada harga sekitar AS$300 (RM939) seliter.


Peniaga Wanita Nyaris Jadi Mangsa Samun


SHAH ALAM - Cubaan empat lelaki untuk menyamun seorang peniaga wanita di Taman Paling Jaya, Semenyih, awal pagi semalam gagal dengan tindakan pantas wanita berusia 45 tahun berkenaan memecut kenderaannya untuk menyelamatkan diri.

Dalam insiden kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, wanita itu yang berada dalam keretanya untuk pulang ke rumah selepas berniaga, dihampiri empat lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi.

Dua daripada suspek kemudian keluar daripada kereta tersebut dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa sebelum memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dipercayai untuk menyamunnya.

"Terkejut dengan tindakan itu dan bimbang akan dicederakan suspek, mangsa kemudian segera memecut keretanya untuk menyelamatkan diri," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Katanya, mangsa telah memandu keretanya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Bertindak berdasarkan maklumat, katanya, empat lelaki yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 26 tahun ditahan di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang, Selangor pada kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Mohd. Adnan berkata, polis antara lain menjumpai dua bilah parang, sebilah pisau dan sebatang kuku kambing daripada suspek.

"Polis sedang menyiasat sama ada kumpulan penjenayah ini terlibat dalam kes samun di sekitar Lembah Klang," katanya. - BERNAMA


Kabaret Guna Robot Wanita Pikat Pelanggan

Dua wanita memakai bikini (kiri) mengendalikan robot perempuan setinggi 3.6 meter 

TOKYO - Di sebuah restoran yang terletak di daerah hiburan di sini, empat buah robot wanita mengenyit mata dan melambaikan tangan sambil bergerak mengikut rentak gendang tradisi Jepun dan lagu Lady Gaga.

Suasana itu menandakan bermulanya persembahan di 'Restoran Robot' yang merupakan sebuah restoran kabaret berteknologi tinggi di Jepun. Sebahagian besar robot industri di dunia digunakan di negara itu.

Pemilik restoran berkenaan menyatakan, dia berbelanja 10 bilion yen (RM391.2 juta) dan menunggu selama tiga tahun untuk keempat-empat robot itu disiapkan.

"Semuanya kecuali komponen utama robot ini dihasilkan dan dipasang oleh kami," kata jurucakap kabaret berkenaan, Watanabe.

Katanya, robot wanita itu memiliki ketinggian 3.6 meter. Robot yang ditempah khas tersebut mempunyai ciri-ciri raut wajah yang dikawal oleh penari kelab berkenaan.

Bahagian bawah tubuh robot tersebut dilengkapi beberapa tempat duduk seperti karakter siri kartun popular Jepun, Gundam.

Bahagian tubuh atas robot itu dihiasi dengan pakaian dalam pahlawan wanita futuristik. Robot tersebut turut dirias dengan rambut berwarna perang, coklat dan merah bersama mata biru atau hijau. Setiap robot tersebut dikawal oleh dua penari wanita berbikini. Penari-penari itu akan duduk di kerusi yang terletak di bahagian perut robot berkenaan.

Mereka akan mengawal raut wajah dan kaki robot berkenaan dengan menggunakan kayu bedik sepanjang persembahan robot wanita itu berlangsung.

Konsep di sebalik pembukaan restoran itu adalah bergaduh, wanita yang lincah dan robot-robot tersebut adalah sebahagian daripada tema restoran ini.


Perintah Ikat Jamin Bukan Bererti Lepaskan Nor Afizal


PUTRAJAYA - Walaupun pemain boling kebangsaan, Nor Afizal Azizan dikenakan perintah ikat jamin berkelakuan baik selama lima tahun kerana merogol seorang gadis bawah umur, hukuman itu tidak bererti dia dilepaskan daripada kesalahan yang dilakukannya, kata Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman setebal 14 muka surat yang dikeluarkan di sini hari ini, presidennya, Tan Sri Md. Raus Sharif berkata, mengikut perintah ikat jamin di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah, seseorang yang dikenakan perintah itu sebenarnya disabitkan kesalahan dan sabitan itu direkodkan.

"Ia akan menjadi sebahagian daripada rekod jenayah orang berkenaan dan akan kekal sepanjang hayatnya,” kata Raus bagi menjelaskan salah tanggapan tentang Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah yang diguna pakai dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, sebenarnya, Nor Afizal, yang kini berusia 21 tahun, ditangguh daripada menjalani hukuman penjara dan perlu berkelakuan baik selama lima tahun.

"Sekiranya dia berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun itu, dia akan terlepas daripada hukuman bagi kesalahannya. Sekiranya dia tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dalam ikat jaminnya, dia akan ditangkap semula dan dikenakan tindakan sejajar dengan kesalahan rogol yang asal,” katanya. - BERNAMA


Jurutera Bina Robot Kumbang

Hidung robot RX-03 boleh mengeluarkan asap

TOKYO - Seorang jurutera Jepun, Hitoshi Takahashi membina sebuah robot berbentuk seperti seekor kumbang gergasi dinamakan Kabutom RX-03.

Robot sepanjang 11 meter dengan berat 17 tan itu diperkenalkan kepada orang ramai dalam satu demonstrasi di sini semalam.

RX-03 boleh bergerak dengan menggunakan enam kakinya. Dijana enjin diesel berkuasa tinggi, robot berkenaan turut mengeluarkan asap daripada hidungnya.


Suami Isteri Dan Dua Rakan Didakwa Edar Dadah


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri, masing-masing warga Singapura dan China didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin seberat 88.4gram, dua minggu lalu.

Dua rakan mereka warganegara Singapura dan Vietnam turut didakwa terhadap pertuduhan yang sama mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tan Meng Kiat, 39, warga Singapura dan isterinya warga China, Meng Bei Bei, 25, manakala rakan mereka Kwok Pin Hwee, 31, warga Singapura dan Le Thi Thuy Nga, 28, warga Vietnam dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat Blok 10-9-3A, Jalan 1C/149, Petaling Indah Condominium, pada 4.30 petang, 13 Ogos lalu.

Pin Hwee, turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 611.5gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin. - BERNAMA


Kekayaan David Beckham

David Beckham

KACAK dan tangkas di padang bola ternyata membuat nilai diri David Beckham melambung tinggi. Selain menerima bayaran yang cukup lumayan menerusi pekerjaan sebenarnya sebagai pemain bola sepak kelab LA Galaxy dengan bayaran sekitar RM7 juta sebulan, Beckham memperoleh pendapatan luar biasa sebagai duta beberapa produk.

Menurut laporan, dengan hanya menjadi model iklan dan duta produk untuk jenama Armani, Adidas, Samsung dan Diet Coke pada tahun lalu, Beckham berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM60 juta.

Malah Beckham turut berkongsi pendapatan lumayan bersama isterinya, Victoria melalui wangian ciptaan mereka serta jenama yang dijual di bawah payung H&M.

"Jumlah pendapatan lumayan yang diperoleh oleh Beckham membuktikan bahawa dia masih popular, berkuasa, berpengaruh dan kuat untuk dijadikan model atau duta produk. Malah untuk tahun ini, pendapatan Beckham dijangka menjadi lebih tinggi walaupun ramai yang berpendapat kariernya sebagai pemain bola sepak sudah hampir berkubur," ujar seorang sumber kepada The Sun.

David Beckham & Victoria Beckham On Their Wedding Day.  July 5th 1999
David Beckham dan Victoria Beckham

0110_victoria-david-beckham-family-bbc-sports_sm.jpg
Keluarga bahagia David Beckham