Selasa, 4 September 2012

Pelajar Botakkan Kepala Kerana Protes

Pelajar wanita berkepala botak memegang sepanduk di Pusat Yirenping Beijing 

BEIJING - Sekumpulan pelajar perempuan membotakkan kepala mereka dalam satu tunjuk perasaan di ibu kota China, di sini.

Tindakan itu dibuat bagi membantah diskriminasi gender yang didakwa berlaku dalam peperiksaan kemasukan ke pusat pengajian tinggi di China.

Menurut mereka, markah lulus bagi pelajar wanita untuk peperiksaan tersebut iaitu gaokao, di bandar raya Guangzhou, dalam wilayah Guangdong telah diubah untuk lebih memihak kepada pelajar lelaki.

Tindakan itu didakwa dilakukan bagi meningkatkan bilangan pelajar lelaki di pusat-pusat pengajian tinggi di bandar raya berkenaan. 


Mangsa Culik Terharu Dengan Penghormatan Yang Diberikan



SRI AMAN: Ketika lagu menyambut hari jadi dinyanyikan buat George Lipih Ambo, rakyat Malaysia yang diculik dalam satu kejadian di Teluk Guinea, Nigeria itu terus menitiskan air mata kerana amat terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh keluarga dan saudara-mara terhadap dirinya.

Apatah lagi kehadiran Menteri Muda Pemodenan Pertanian merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Mong Dagang, orang yang bertanggungjawab membebaskan dirinya daripada diculik selama 19 hari oleh lanun, turut menyanyikan lagu hari jadi buat dirinya.

Malam Sabtu lalu keluarga George telah mengadakan majlis kesyukuran dan hari jadi ke-42 buat dirinya di kediaman adik iparnya, Jersey Suntek, Pakit B, Sri Aman.

Mong ketika berucap pada majlis itu mengucapkan terima kasih kepada Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat Datuk Mohd Khairun, Duta Malaysia di Afrika dan Sea Trucks Group yang berusaha gigih membebaskan George.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada individu dan pihak yang terbabit dengan saya membebaskan George sehingga dia balik ke pangkuan keluarga kesayangannya dengan selamat,” katanya.

Dalam kejadian itu pengawal kapal mereka sempat berbalas tembakan dengan kumpulan lanun tersebut sebelum ditewaskan dan kapal mereka kemudiannya ditawan.

George serta tiga lagi rakan setugasnya, masing-masing dari Thailand, Indonesia dan Iran yang turut berada di atas kapal berkenaan ditahan dan dibawa ke sebuah hutan di pinggir pantai untuk dijadikan tebusan.

Selain itu Mong turut menasihati anak-anak gadis Sarawak yang masih menuntut mahupun bertugas di bandar agar jangan mudah terpengaruh dengan janji manis orang asing yang berada di negara ini.

“Di sini saya menasihati anda semua agar jangan termakan kata-kata manis orang asing untuk mengelak daripada ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan anda sebagai keldai dadah,” katanya.


Lelaki Koma Jatuh Dari Pokok Durian


Gambar Hiasan 

KUCHING: Aktiviti riadah sebuah keluarga di dusun durian di Muara Tuang semalam berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki berusia 54 tahun koma setelah terjatuh dari pokok durian.

Menurut ahli keluarga mangsa, mangsa yang memanjat pokok durian itu terjatuh ketika cuba menjatuhkan raja buah tersebut.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh penduduk kampung menggunakan lori miliknya.

Keadaan mangsa kemudian dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di unit rawatan rapi HUS.


Penambang Temui Mayat Berhampiran Jeti Ban Hock

Tebingan Kuching digemparkan dengan penemuan mayat dipercayai warga asing

KUCHING: Seorang penambang dikejutkan dengan penemuan mayat dalam keadaan kembung berhampiran jeti Ban Hock di Tebingan Kuching, pagi semalam.

Dalam penemuan sekitar jam 7 pagi itu, penambang berkenaan kemudian menunda mayat tersebut ke jeti berhampiran pondok polis pelancong di Tebingan Kuching.

Perkara itu dimaklumkan kepada pengawal keselamatan, yang seterusnya menyampaikan maklumat itu kepada polis pelancong.

Pegawai penyiasat daripada Balai Polis Sentral segera bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada polis pelancong.

Berdasarkan siasatan awal dengan mengambil kira keadaan mayat, lelaki dipercayai warga asing itu telah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari lepas.

Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat. Polis sedang menyiasat kes tersebut.


Penipuan Alat Timbang Dibanteras

Wan Uzir (dua kiri) menguji ketepatan alat penimbang yang digunakan oleh peniaga

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Neg­eri, Koperasi dan Kepeng­gunaan (KPDNKK) se­malam mengesan 16 kes penipuan alat timbang dan sukat di negeri ini mem­babitkan rampasan bernilai RM27,000. 

Dalam operasi yang di­adakan secara serentak di seluruh negeri itu semalam, KPDNKK dengan kerjasama Metrologi Corporation Ma­laysia Sdn Bhd turut menge­luarkan 33 amaran.

Menurut Pengarah KP­DNKK Sarawak Wan Ah­mad Uzir Wan Sulaiman, kebanyakan daripada 16 kes semalam membabitkan tamat tempoh dan peniaga perlu mengambil semula alat tim­bang yang dirampas dengan bayaran kompaun RM300.

“Operasi ini tertumpu di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan kami akan merampas terus alat-alat penimbang sama ada jenis elektronik atau neraca yang didapati telah tamat tempoh atau tidak tepat.

“Di bawah akta ini, jika peniaga enggan atau gagal men­jelaskan bayaran kompaun, mereka boleh dikenakan denda RM4,000 atau penjara tiga tahun.

“Jadi, kami tidak mahu mendengar alasan popular daripada para peniaga iaitu lupa, kerana tidak ada lagi amaran untuk operasi seterus­nya dan kami akan merampas terus alat-alat timbang dan sukat yang melanggar akta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas operasi semakan alat timbang dan sukat di Pasar Tamu Satok di sini semalam.

Turut serta pada operasi tersebut ialah Pegurus Ca­wangan Metrology Malaysia Sdn Bhd Amirul Husaini A. Hamid serta pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNKK yang lain.

Kesemua 16 kes semalam dikenal pasti di Bintulu dan Kuching masing-masing tu­juh dan sembilan kes, dan dijangka bertambah hasil dari­pada operasi yang dilakukan di bahagian-bahagian lain di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDNKK pada operasi itu semalam turut merampas sebanyak 351 unit cakera padat cetak rompak bernilai RM1,755 daripada se­buah premis yang beroperasi di sekitar Satok di sini.

Rampasan di luar jangkaan oleh KPDNKK itu turut men­yaksikan premis berkenaan diarahkan tutup serta-merta kerana menjual cakera padat cetak rompak secara terbuka di tempat awam.

Pada masa yang sama satu lagi kes membabitkan kegaga­lan meletak tanda harga turut dikenal pasti oleh KPDNKK menerusi operasi yang diad­akan di Pasar Tamu Satok itu semalam.


Lelaki Parah Ditetak Oleh Anak Saudaranya

Mangsa dibawa ke HUS dengan menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut

KUCHING: Seorang lelaki dari Kampung Pinang Jawa, Gita parah setelah ditetak oleh anak saudaranya yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Dalam insiden sekitar tengah hari, mangsa yang berusia 34 tahun sedang tidur di dalam bilik apabila dikejutkan dengan bunyi bising di ruang tamu.

Ketika mangsa keluar untuk memeriksa, suspek dikatakan terus menetak bahagian belakang badan mangsa menggunakan objek tajam.

Serangan turut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, kedua-dua belah lengan, dada dan perut. Suspek yang dalam lingkungan usia 20-an terus melarikan diri selepas kejadian tersebut.

Ahli keluarga mangsa memberitahu, punca serangan tidak diketahui tetapi suspek dipercayai sedang khayal ketika kejadian.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan.


Lima Lelaki Cederakan Lelaki Lain Ditahan

Polis membawa salah seorang suspek ke lokasi serangan berlaku bagi tujuan siasatan

KUCHING: Polis menahan lima lelaki dari BDC di sini dipercayai terlibat dalam kes mencederakan seorang lelaki lain sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala mangsa.

Tiga daripada suspek itu ditahan sekitar jam 3 petang Sabtu manakala dua lagi pada jam 1 pagi semalam. Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 16 tahun hingga 20 tahun ditahan di kawasan perumahan mereka di BDC, di sini.

Mereka dikatakan menyerang mangsa pada 29 Ogos lepas di kawasan perumahan sama. Punca serangan belum dapat dipastikan.

Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan.


Pengawal Keselamatan Melecur Disimbah Minyak Kerosin

Lelaki warganegara Bangladesh itu disorong ke wad kecemasan setelah tiba di HUS

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan melecur di badan setelah disimbah dengan minyak kerosin oleh pencuri yang cuba memecah masuk tapak penyimpanan minyak lama di kawasan Pending, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, lelaki warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 30-an itu sedang meronda di kawasan itu berseorangan apabila terserempak dengan seorang pencuri.

Mangsa yang terbakar setelah disimbah dengan kerosin segera membuka pakaiannya dan berguling-guling di atas tanah bagi memadamkan api yang mula marak.

Mangsa yang mengalami kesan lecur di tangan, kaki dan belakang kemudian segera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh rakan sekerja untuk menerima rawatan lanjut.