Rabu, 5 September 2012

Hospital Swasta Cekik Darah Ditegur

KUCHING: ADUN Pending Violet Yong menegur tindakan sebuah hospital swasta di sini yang didakwa mengambil kesempatan terhadap pemegang kad insurans perubatan yang mendapatkan khidmat rawatan daripada mereka, dengan me-ngenakan caj yang jauh lebih tinggi berbanding caj asal.

Dakwaan itu dibuktikannya semalam dengan merujuk kes anak Wong Thai Hong, Jacklyn Wong dari taman perumahan Stampin Tengah di sini, yang menjadi mangsa serangan anjing pada 28 Ogos lepas pada sekitar jam 6 pagi.

Ketika kejadian, Wong telah merujuk anaknya untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta di sini dan pihak hospital kemudian mengarahkan anaknya supaya bermalam untuk satu malam bagi rawatan susulan yang rapi.

Selepas anaknya dibenarkan keluar hospital, Wong kemudiannya dikejutkan dengan jumlah caj yang dikenakan oleh pihak hospital untuk rawatan anaknya itu iaitu sebanyak RM4,699, jumlah yang dianggapnya amat tidak munasabah.

“Anak Wong merupakan pemegang kad insurans perubatan dan disebabkan itu pihak hospital ini telah mengambil kesempatan untuk mengenakan caj yang tinggi.

“Saya berharap hospital swasta ini menghentikan polisi mereka ini kerana ini adalah perbuatan menindas orang,” kata Violet dalam sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Violet menambah, tindakan pihak hospital berkenaan juga akan menyebabkan syarikat insurans menaikkan kadar premium mereka dan ia pastinya akan menjejaskan orang awam.

“Mereka (hospital swasta) tidak sepatutnya melakukan begini. Saya berharap mereka akan menghentikannya,” katanya.

Berhubung kes itu, Violet berkata beliau akan mengemukakannya kepada Tribunal Tuntutan pengguna Malaysia untuk memfailkan tuntutan.

Selain itu, beliau juga akan mengajukannya kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.


Lelaki Peras Ugut Ibunya Sendiri Direman Tiga Hari

SIBU: Seorang lelaki dilan­jutkan tempoh reman selama tiga hari sehingga Rabu ini oleh Mahkamah Majistret berhubung kes tuduhan pem­erasan ugut, semalam.

Lelaki berusia 33 tahun itu direman di bawah Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan po­lis berhubung kes panggilan palsu yang dibuatnya kepada ibunya yang mendakwa dia telah diculik dan meminta sejumlah wang tebusan demi keselamatan dirinya.

Pada 30 Ogos lalu, seorang ibu telah membuat laporan polis mendakwa anak lelak­inya (suspek) telah diculik di Kuching.

Suspek yang juga seorang pemandu lori memberitahu bahawa jarinya akan dipotong satu persatu jika dia tidak mendapatkan wang tebusan sebanyak RM26,000.

Bertindak atas laporan tersebut, sekumpulan ang­gota polis telah menyerbu sebuah rumah di Jalan Arang di Kuching pada malam tersebut.

Ketika polis menyerbu rumah itu, mereka men­dapati empat lelaki sedang asyik menonton televisyen dan suspek pula dalam kead­aan seperti biasa dan tidak menampakkan bahawa dia sedang diculik.

Polis kemudian menahan kesemua lelaki tersebut yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 39 tahun dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 384, Kanun Keseksaan iaitu tuduhan pemerasan ugut.


Selasa, 4 September 2012

Angkara Pemandu Lori Pitam

Anggota JPAM memapah Mat Rashid yang masih lemah akibat pitam 

Mohamad Har menunjukkan keretanya yang rosak teruk selepas dirempuh lori

MELAKA - Puncanya dikatakan pemandu lori yang tiba-tiba pitam menyebabkan sebuah keluarga terpaksa berdepan detik cemas apabila kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki dilanggar kenderaan terbabit ketika menunggu giliran untuk mengambil tiket di Plaza Tol Ayer Keroh.

Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika pemandu kereta, Mohamad Har Md. Ali, 53, dari Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh dalam perjalanan untuk menghantar seorang anak perempuannya ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di Serdang, Selangor.

Ekoran rempuhan itu, kereta yang dinaiki lima beranak tersebut terinjak ke depan sebelum melanggar pula sebuah lori lain yang juga sedang berbaris untuk mengambil tiket di plaza tol berkenaan.

Mohamad Har mendakwa, dia kerugian ratusan ringgit apabila kereta miliknya itu rosak teruk di bahagian belakang dan depan.

Mengimbau semula kejadian itu, pekerja swasta itu mendakwa, sebelum kejadian, dia beratur di belakang sebuah lori satu tan itu untuk mengambil tiket.

Katanya, tanpa disangka, dia dan anak-beranak terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dan ternampak sebuah lori telah melanggar belakang keretanya melalui cermin.

"Kami bertambah panik apabila kereta kami terinjak ke depan dan melanggar pula lori di depan saya ekoran rempuhan tersebut. Dua kenderaan berat itu hanya mengalami kerosakan kecil.

"Saya difahamkan, pemandu lori yang merempuh saya gagal mengawal lori kerana dia tiba-tiba pitam," ceritanya yang mempunyai pengalaman memandu selama 30 tahun ketika ditemui semalam.

Tambahnya, selain dia, isterinya, Hamlah Haron, 49, dan tiga anak berusia sembilan, 11 dan 19 tahun yang turut berada di dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.


Cara Keji Sambut Hari Merdeka

Sekumpulan 28 individu mengadakan pesta liar sambil khayal dadah di Pulau Tioman

KUANTAN - Sekumpulan 28 individu dari ibu negara menyambut perayaan ambang Merdeka dengan cara keji apabila masing-masing melakukan tarian ghairah sambil berpesta dadah dalam satu parti liar di tepi pantai Teluk Juara di Pulau Tioman, Jumaat lalu.

Perbuatan memalukan ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 dengan semangat patriotik itu dapat dihidu pihak berkuasa sebelum mereka melakukan serbuan tepat pukul 12 tengah malam 31 Ogos lalu.

Mereka yang datang secara berpasangan dan berasingan berusia 22 hingga 45 tahun tersebut langsung tidak menyedari kehadiran pihak polis kerana sedang khayal dadah selain mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati, empat lelaki memiliki pil khayal serta serbuk dipercayai dadah.

"Sebaik mendapat maklumat awam, sepasukan polis dikerah ke pulau berkenaan untuk memantau. Selepas memastikan mereka berkelakuan seperti yang didakwa, kita telah membuat serbuan dalam keadaan peserta parti itu tidak menyedarinya kerana khayal dadah.


Sami Buddha Tuntut Etnik Rohingya Dihantar Ke Negara Lain

Sejumlah sami Buddha berarak dalam perhimpunan anti-Rohingya di Mandalay, Myanmar

YANGON, Myanmar – Beratus-ratus sami Buddha di Myanmar semalam menyertai perhimpunan bagi menyokong cadangan Presiden Thein Sein untuk menghantar etnik Rohingya yang beragama Islam ke negara lain.

Perhimpunan yang berlangsung itu merupakan petunjuk terkini sentimen anti-Rohingya yang mendalam di negara itu. Ia berlaku selepas satu keganasan melibatkan pergaduhan antara etnik Rakhine yang bergama Buddha dengan Rohingya pada bulan Jun lalu.

Dalam kejadian itu, seramai 80 orang terbunuh dan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal. Pada Julai lalu, Sein mencadangkan agar Myanmar menghantar semua etnik Rohingya ke negara yang berminat menerima mereka. Cadangan tersebut ditentang sebuah agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Myanmar menyifatkan etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Namun, Bangladesh juga didakwa tidak menerima etnik tersebut sekali gus menyebabkan mereka tiada kerakyatan. PBB menganggarkan kira-kira 800,000 masyarakat Rohingya tinggal di Myanmar. Keganasan yang berlaku pada Jun lalu adalah disebabkan dakwaan bahawa seorang wanita etnik Rakhine telah dirogol oleh penduduk Rohingya. – Agensi


Hotel Dan Terminal Runtuh Dalam Beberapa Saat

Operasi meletupkan Hotel Three Gorges dan terminal Pelabuhan Chongqing 

CHONGQING - Selama bertahun-tahun Hotel Three Gorges dan sebuah terminal penumpang setinggi 32 tingkat menjadi mercu tanda bandar raya ini, barat daya China.

Namun, kedua-dua bangunan tinggi itu menyembah bumi serentak dalam masa cuma beberapa saat dalam satu letupan terkawal.

Akhbar MailOnline melaporkan bahawa hotel dan terminal berkenaan diletupkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan sebuah hab pengangkutan, pelancongan dan perdagangan.

Orang ramai menyaksikan perubahan landskap yang berlaku di depan mata mereka itu dari jauh. - Agensi


Insiden Bot Karam Di Guinea, 30 Dikhuatiri Maut

Gambar Hiasan

CONAKRY 2 Sept. - Sekurang-kurangnya 30 orang dikhuatiri lemas selepas sebuah bot yang membawa lebihan penumpang, karam di persisiran pantai Guinea, lewat kelmarin.

Pegawai pasukan penyelamat, Lanfia Camara berkata, pihaknya masih berusaha mencari penumpang yang masih hidup walaupun tidak meletakkan harapan yang tinggi.

"Kami tidak pasti dapat menemui penumpang yang masih hidup selepas berada di dalam air lebih 15 jam tanpa sebarang bantuan.

"Kesemua penumpang dipercayai tidak memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot terbabit yang membawa kira-kira 60 orang," katanya


Ogos - Bulan Dua Kali Mengambang Penuh

Fenomena bulan biru dilihat di langit semasa upacara penghormatan terakhir Neil Armstrong 

LONDON - Fenomena bulan purnama menyinari langit lebih daripada sekali dalam sebulan dapat dilihat di serata dunia. Menurut akhbar MailOnline, bulan mengambang penuh pada 2 dan 31 haribulan sepanjang Ogos lalu. Dikenali sebagai bulan biru, fenomena yang berlaku itu telah menarik perhatian ahli astronomi dan orang ramai di seluruh dunia. Kejadian luar biasa itu diramalkan berlaku sekali lagi pada Mei 2015.

Menurut akhbar berkenaan, nama bulan biru tiada kaitan dengan keadaan fizikal bulan dengan maksud istilah tersebut hilang ditelan zaman.

Warna biasa bulan semasa bersinar di langit adalah putih. Namun, bulan pernah berwarna biru selama dua tahun apabila Gunung Berapi Krakatoa meletus di Indonesia pada 1883.

Warna biru tersebut ekoran abu mikroskopik gunung berapi yang melitupi angkasa dan hanya membenarkan sebahagian gelombang cahaya menembusi atmosfera bumi. - Agensi