Rabu, 5 September 2012

Suami Isteri Syaki Anak Terjatuh Di taska, Buat Laporan Polis

KUCHING: Sepasang suami isteri terpaksa membuat laporan polis terhadap sebuah taska selepas mengesyaki anaknya terjatuh sehingga menyebabkan pendarahan dalaman pada otaknya semasa dalam jagaan taska tersebut.

Ibu mangsa yang berusia 30-an, yang enggan dikenali berkata insiden tersebut berlaku di sebuah taska yang terletak di Stutong, di sini selepas mereka menghantar anaknya yang baharu berusia lima bulan untuk dijaga.

Bagaimanapun menurut beliau, pada 2 Ogos lepas, dia telah menerima panggilan telefon daripada taska tersebut dan telah dimaklumkan bahawa anaknya tidak sihat dan perlu dibawa mendapatkan rawatan segera.

“Badan anak kami menggigil dan dia juga sering muntah- muntah menyebabkan kami terpaksa menghantar dia ke klinik untuk diperiksa namun selepas diperiksa, kami diberitahu bahawa anak kami tidak demam mahupun keracunan makanan,”katanya.

Selepas beberapa hari, keadaan anak mereka dilihat tidak berubah menyebabkan mereka menghantar semula anak mereka ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

“Pelbagai ujian telah dijalankan dan saya telah diberitahu bahawa anak saya mengalami kecederaan pada bahagian kepalanya disyaki akibat terjatuh dari ketinggian sekurang-kurangnya tiga kaki,”katanya.

Menurutnya, perkara tersebut telah mengejutkan mereka sekeluarga kerana sepanjang anaknya di bawah jagaan mereka, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku dan mereka mengesyaki ia berlaku semasa anaknya di bawah jagaan taska tersebut.

Justeru, mereka telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu agar siasatan lebih lanjut dapat dijalankan. Siasatan polis masih dijalankan.


Beberapa Bahagian Di Miri Terputus Bekalan Air, Elektrik Dan Gas


MIRI: Beberapa bahagian di bandar raya Miri termasuk kawasan perumahan di Lutong, Pujut dan Pujut terputus bekalan air, elektrik dan gas paip sejak malam kelmarin.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin iaitu Datuk Sebastian Ting berkata, beliau tidak percaya perkara itu boleh berlaku secara serentak membabitkan tiga kemudahan asas iaitu air, gas dan elektrik.

“Saya difahamkan pagi ini bahawa kawasan Lutong dan Pujut tiada bekalan elektrik, Senadin tiada bekalan air manakala di seluruh bandar raya tiada gas. Ini merupakan kali pertama berlaku di Miri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau berkata, pihak pengurusan tertinggi ketiga-tiga kemudahan tersebut perlu mengambil langkah proaktif dan lebih efisien untuk memastikan masalah ini tidak berulang.

“Perkhidmatan yang efisien perlu diberi keutamaan sepanjang masa oleh pihak atasan kemudahan berkenaan.


Lelaki Bertarung Nyawa Selepas Dilibas Taji

Suspek diiringi masuk ke dalam van polis untuk dibawa ke Balai Polis Sarikei 

SIBU: Seorang lelaki kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu kerana cedera di bahagian leher, dada, belakang dan perutnya selepas dilibas dengan taji dalam satu pergaduhan di rumah kongsi di pekan Tanjung Manis malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku sekitar lebih jam 9.00 malam, apabila mangsa berketurunan Bumiputera itu terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang suspek yang juga berumur dalam lingkungan 30-an.

Suspek dikatakan melarikan diri bersama isterinya dengan menaiki sebuah motosikal ke Sibu selepas insiden pergaduhan itu.

Suspek juga dipercayai menggunakan senjata tajam untuk mencederakan mangsa yang cedera di bahagian leher, dada, belakang dan perutnya.

Sejurus selepas kejadian, keluarga mangsa terus memaklumkan perkara itu kepada pihak polis dan menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Sibu.

Bertindak daripada maklumat, polis telah mengadakan sekatan jalan di antara kawasan Bawang Assan dan Sibu.

Nyata jangkaan polis tepat apabila suspek bersama isterinya berjaya ditangkap semasa cuba melarikan diri ke Sibu menaiki sebuah motosikal sekitar jam 11.00 malam.

Suspek bersama isterinya juga berumur dalam lingkungan 30-an kemudiannya ditahan manakala sebuah motosikal turut dirampas. Suspek dihantar ke Sarikei tengah hari semalam kerana kes tersebut telah dilaporkan di Sarikei.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.


Bekas Banduan Ditahan Kerana Pecah Rumah

Bekas banduan ditahan semula oleh polis

MIRI: Seorang bekas banduandari Penjara SimpangRenggam ditahan semulaoleh sepasukan polis dariCawangan Pencegah Jenayah(CPJ) di sini kerana disyakiterbabit dalam beberapa kespecah rumah.

Suspek yang berusia 40tahun, yang dibebaskan tahunlepas, ditahan polis ketikadia hendak masuk ke dalamkeretanya di kediamannya diTaman Merbau di sini, padajam 2 petang, 2 Septemberlalu.

Polis yang mengesyakisuspek ada menagih dadah telahmenyerahkannya kepadacawangan narkortik untukdiperiksa dan hasil ujian airkencing mendapati suspekpositif dadah.

Suspek yang ditahan seharidi unit narkortik diserahkembali kepada CPJ untuksiasatan kes berkaitan jenayahekoran penemuan dua ‘pendrive’ dalam beg yang dibawanyaketika dia ditahan.

Salah satu daripada ‘pendrive’ terbabit telah dikenalpasti oleh pemiliknya yangjuga seorang pengadu yangtelah membuat laporan polisberhubung kes pecah rumahnyadi Taman Boulevard,pada 29 Ogos lalu.

Manakala satu lagi masihbelum dikenal pasti pemiliknyanamun polis percayaia adalah daripada salah satulagi kes pecah rumah yangberlaku di sekitar kawasanperumahan tersebut.

Dengan tertangkapnyasuspek polis percaya ia boleh membantu menyelesaikanbeberapa kes pecah rumahyang disyaki berkaitan dengansuspek.

Suspek kini ditahanuntuk siasatan lanjut.


‘Bomoh’ Penipu Dicekup Polis


SIBU: Seorang ‘bomoh’ berumur dalam lingkungan 70-an berjaya dicekup polis di Pasai Siong selepas dia didakwa menipu wang tunai RM70,000 milik seorang lelaki warga emas di sebuah rumah di pekan Kanowit.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa telah berjumpa dengan seseorang yag memperkenalkan dirinya sebagai bomoh yang kononnya mempunyai kuasa ghaib yang mampu melipat ganda wang mangsanya.

Mangsa yang teruja setelah melihat bomoh tersebut menunjukkan kehebatan kuasanya melalui satu demonstrasi sebelum itu telah bersetuju untuk berjumpa semula dengan bomoh itu di sebuah rumah di Kanowit pada 30 Ogos lalu.

Seperti yang dijanjikan, mangsa telah membawa wang tunai sebanyak RM70,000 ke sebuah rumah yang ditunjukkan oleh ‘bomoh’ tersebut di mana upacara memuja dilakukan di situ.

Mangsa dikehendaki meletakkan keseluruhan wang tunai itu ke dalam satu bekas dan kemudiannya dibalut dengan kain.

Selepas upacara itu siap dilakukan mangsa kemudiannya dikehendaki membawa pulang bekas yang dibalut dengan kain tersebut pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun mangsa tidak boleh membuka bekas itu sehingga dia berada di rumah.

Apabila mangsa membuka bungkusan itu semula di rumah, dia hanya mendapati ia hanya mengandungi sebuah buku nota di dalamnya.

Menyedari dia telah ditipu mangsa kemudiannya membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Bertindak daripada itu, polis telah berjaya menahan suspek di Pasai Siong pada 2 September lalu. Suspek telah direman selama empat hari bermula 3 September lalu.


Remaja Hilang Dompet, Telefon Bimbit Ditipu Dua ‘Polis’

KUCHING: Seorang remaja kehilangan dompet dan tel­efon bimbit kelmarin, setelah terpedaya dengan dua lelaki yang menyamar sebagai ang­gota polis.

Insiden sekitar jam 9 malam di kawasan Pending itu ber­laku ketika remaja berusia 16 tahun bersama sepupunya dalam perjalanan balik ke rumah sewa setelah membeli barang di kedai runcit ber­hampiran.

Bagaimanapun, laluan mereka disekat oleh dua lelaki bermotosikal yang memper­soalkan kehadiran mereka di kawasan komersial tersebut.

Menurut mangsa, pem­bonceng motosikal tersebut turun dan menghampiri mereka serta mempersoalkan kehadiran mereka di situ, sambil menunjukkan ‘kad kuasa polis’.

Lelaki berkenaan dikatakan meminta kad pengenalan mangsa dan sepupunya na­mun lelaki berusia 19 tahun itu tidak membawa dompet bersamanya.

Sambil meminta mangsa menyerahkan telefon bim­bit, lelaki-lelaki berkenaan mengarahkan mereka untuk mengambil kad pengenalan sepupu mangsa di rumah, sementara diikuti ‘polis’ berkenaan dari belakang.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki tersebut kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian. Menyedari dirinya ditipu, mangsa seterusnya membuat laporan untuk tindakan se­lanjutnya.


Penunggang Motosikal Kritikal Terbabit Dalam Kemalangan

Lelaki dari Sadong Jaya dirujuk ke unit penjagaan rapi HUS 

KUCHING: Seorang penung­gang motosikal berada dalam keadaan kritikal setelah terba­bit dalam kemalangan ber­hampiran sebuah universiti tempatan di Jalan Meranek, Kota Samarahan, awal pagi semalam.

Kemalangan sekitar jam 11 malam itu berlaku ketika lelaki dari Sadong Jaya itu terlanggar anjing dan kemu­diannya terhumban ke jalan raya.

Mangsa yang berusia 26 tahun itu mengalami be­berapa kecederaan di tubuh, termasuk kecederaan teruk di bahagian kepala. Lelaki berkenaan dikatakan dalam perjalanan balik setelah berkunjung ke rumah rakan­nya di Desa Ilmu.

Mangsa dikejarkan ke Pusat Jantung Sarawak, sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 2 pagi bagi rawatan lanjut.

Sementara itu, mangsa jatuh dari pokok durian Ahad lepas yang berada dalam keadaan kritikal menghembuskan na­fas terakhirnya kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.

Mangsa yang dikenal pasti Kipol Dennis, 54, yang telah berkahwin dan dikurniakan anak perempuan itu cuba me­luangkan masa untuk aktiviti riadah, bersama keluarga ter­masuk bapanya di dusun durian, di Muara Tuang.

Bagaimanapun mangsa terjatuh ketika cuba men­jatuhkan raja buah tersebut.

Manakala dalam kes be­rasingan, seorang warga Indonesia terpaksa menerima beberapa jahitan di bahagian tangan setelah digigit ular sawa ‘peliharaannya’, malam Ahad lepas.

Mangsa yang bekerja di kedai perabot di Kota Sentosa tersebut, menemui ular sawa berkenaan di sebuah jalan di Kota Samarahan beberapa hari lepas dan berhasrat menyimpannya.

Sekitar jam 8 malam se­malam ketika mangsa cuba membuka sangkar untuk memberinya makan, ular berkenaan bertindak agresif dan menggigit tangan kan­annya.

Rakan sekerja mangsa yang terdengar jeritan mangsa bergegas ke tempat kejadian untuk membantunya dan seterusnya membunuh ular tersebut.

Mangsa dikejarkan ke HUS oleh rakannya untuk menerima rawatan.


Remaja Cuba Bunuh Diri Ditahan

Remaja tersebut menunggu untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching

KUCHING: Usaha seorang remaja yang mencetuskan drama dengan cuba mem­bunuh diri di sebuah asrama wanita syarikat pertanian di Semenggok, Batu 10 sia-sia kerana bukan sahaja bekas kekasihnya enggan kembali kepadanya malah dia turut ditahan polis kerana memas­uki kawasan larangan.

Dalam insiden sekitar tengah malam itu, pemu­da berusia 19 tahun dari Tebedu itu dikatakan pergi ke asrama tersebut setelah tidak berpuas hati dengan tindakan kekasihnya yang mahu memutuskan hubun­gan mereka.

Bagaimanapun, setelah gadis tersebut enggan ter­makan pujuk rayu agar kembali bersamanya, dia kemudian mengeluarkan objek tajam dan mengugut untuk membunuh diri.

Bimbang dengan tindakan dan keselamatan lelaki terse­but, gadis berkenaan ke­mudiannya menghubungi pengawal keselamatan dan insiden itu seterusnya dimak­lumkan kepada pihak polis. Polis peronda tiba ke lokasi tidak lama kemudian.

Walaupun tindakan cuba membunuh diri itu berjaya dihalang, namun suspek ditahan kerana memasuki kawasan larangan.

Polis turut menyita objek tajam yang digunakan suspek dalam cubaan membunuh diri. Laporan polis telah dibuat dan kes itu sedang disiasat.