Khamis, 10 Januari 2013

Lelaki Hilang Ditemui Mati

Sepasang kasut milik Fadzil yang ditemui di tepi telaga

CHANGLUN - Misteri kehilangan seorang lelaki lembam sejak lebih dua minggu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan sudah mereput di dalam sebuah telaga tinggal di Kampung Padang Halban di sini kelmarin.

Mayat Fadzil Hussain, 56, ditemui pada pukul 11 pagi oleh seorang pekerja kontrak, Mohd. Nizam Abdul Hamid, 35, yang ingin membuang air kecil di kawasan semak berhampiran telaga tersebut.

Telaga sedalam tiga meter dan mempunyai air paras pinggang orang dewasa itu terletak kira-kira 500 meter dari rumah Fadzil.

Kata Mohd. Nizam, sebelum menemui mayat itu, dia sedang melakukan kerja-kerja memasang pagar sebuah sekolah tidak jauh dari telaga tinggal tersebut.

"Ketika ternampak objek seperti mayat itu, saya sangka ia sampah yang diikat dengan baju tetapi apabila diamati betul-betul ia merupakan mayat tanpa kepala bersandar pada dinding di dalam telaga berkenaan.

"Tengkoraknya pula berada bersebelahan badan lelaki itu dan ia mungkin terjatuh kerana mayat sudah mereput," ceritanya yang terus memaklumkan penemuan itu kepada pihak sekolah dan polis.


Sonamu Mungkin Badai Mukah

Menunjukkan peta pergerakan Sonamu yang dijangka membadai Mukah esok

KUCHING: Penduduk di beberapa kawasan terutama berhampiran pantai di Bahagian Mukah diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan Ribut Tropika Sonamu yang diramal membadai pada 11 Januari.

Susulan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha berkata, ribut yang sebelum ini diramal akan membadai Terengganu kini berada kira-kira 400 kilometer dari pantai Mukah.

Misnu berkata, kawasan lain yang mungkin turut menjadi sasaran ribut berkenaan yang setakat semalam masih bergerak dalam kelajuan 60 kilometer sejam ialah Bahagian Bintulu dan Sibu.

Kawasan-kawasan terbabit kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan bilik gerakan di Pejabat Residen masing-masing mula diaktifkan dan beroperasi 24 jam.

Manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diletakkan di barisan hadapan bagi berdepan sebarang kemungkinan kesan ribut.

“Kedudukan ribut ini sekarang berada sangat hampir dengan Mukah,” katanya sambil menambah kelajuan ribut setakat pagi semalam ialah 60 kilometer sejam, dan ia boleh meningkat atau menurun.

Misnu pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan menghadapi ancaman Ribut Tropika Sonamu di sini semalam turut menasihati orang ramai atau nelayan agar tidak ke laut sehingga 13 Januari.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab pada sidang media yang sama menasihati orang ramai agar tidak memandang remeh amaran dan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Menurutnya, Sonamu akan menyebabkan laut bergelora dengan ombak yang tinggi dan berbahaya kepada bot-bot nelayan.

“Ribut berkenaan juga disertai dengan angin kencang dan hujan lebat manakala kawasan yang rendah mungkin dilanda banjir,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam kenyataan semalam berkata hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di beberapa bahagian di Sarawak bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah, katanya sambil menambah daerah yang terlibat ialah Kuching, Samarahan, Betong, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan angin timur laut dari 60 km/j dan ombak melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tio-man, Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan.

Amaran kategori kedua iaitu angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter pula dikeluarkan untuk kawasan perairan Sarawak (Rajang, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Reef South.

Angin kencang dan laut bergelora itu dijangka berterusan sehingga Ahad, 13 Januari dan keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai serta perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan angin 40-50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku sehingga 13 Januari di perairan Sarawak (Kuching), Sabah (Sandakan), Bunguran dan Sulu.

Kawasan pantai di Sarawak (Kuching) turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut, dan dijangka berterusan sehingga Jumaat, 11 Januari. Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - UTUSAN BORNEO


Rabu, 9 Januari 2013

Lelaki Maut Digilis Kereta

Mangsa yang maut digilis kereta ketika tertidur di atas jalan raya

MIRI: Seorang lelaki yang dipercayai mabuk dan tertidur di atas jalan raya, maut digilis kereta dalam kejadian yang berlaku dini hari di pekan Batu Niah.

Mangsa yang dikenali sebagai Thomas Sangkai Simon, 20, berasal dari Saratok dan rakannya, dipercayai tidak berdaya untuk pulang ke rumah kerana pengaruh alkohol selepas sesi minum.

Mangsa telah berbaring di atas jalan raya manakala rakannya pula berbaring di atas bangku sebuah perhentian bas yang terdapat di situ, yang terletak berhampiran simpang masuk ke sebuah rumah panjang iaitu Rumah Usek, kira-kira 10 kilometer dari pekan Batu Niah.

Pada jam 3.45 pagi, sebuah kereta yang lalu di Jalan Batu Niah telah terlanggar lalu menggilis mangsa yang masih tertidur di jalan tersebut. Manakala rakannya yang tertidur di perhentian bas masih tidak menyedari kejadian yang berlaku.

Pemandu kereta tersebut kemudiannya terus Balai Polis Batu Niah untuk menyerah diri dan melaporkan kejadian tersebut.

Mangsa yang digilis meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian badannya dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat. Rakannya yang masih dalam keadaan mabuk juga turut dibawa ke hospital.


Sabtu, 5 Januari 2013

Bayi Perempuan Di Perkarangan Rumah

Lokasi bayi berkenaan ditemui

TUARAN: Seorang penduduk di penempatan Desa Sri Tamu, Kampung Laya-Laya di sini terkejut dengan penemuan seorang bayi perempuan cukup sifat yang diletakkan di perkarangan rumahnya dalam satu kejadian kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, pengadu yang merupakan lelaki tempatan dan berusia 32 tahun itu telah dimaklumkan oleh bapanya bahawa dia terdengar tangisan bayi di perkarangan rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superitendan Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian terbabit serta menjelaskan bahawa pengadu kemudiannya telah pergi memeriksa keadaan sekeliling dan berjaya menemui sebungkus karung di berhampiran halaman rumah.

“Ketika didekati, pengadu mendapati terdapat bayi perempuan cukup sifat yang urinya belum dipotong lengkap berbalut dengan tuala di dalam karung terbabit.

“Atas dasar kemanusiaan, pengadu kemudiannya pergi menyusukan bayi itu terlebih dahulu sebelum melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis,” katanya.

Menurut beliau, bayi berkenaan telah dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk menerima rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

“Kita difahamkan bayi perempuan yang seberat 2.6 kilogram itu telah menerima rawatan lanjut di hospital,” katanya.

Sementara itu, Zaharudin meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar tampil membantu siasatan kes.

“Masyarakat yang mengetahui mengenai kejadian ini bolehlah berhubung dengan Inspektor Zahiruddin Zakaria di talian 088-794313 untuk menghulurkan maklumat,” katanya sambil menambah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.


Remaja Ditemui Mati Tergantung

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang remaja beru­sia 14 tahun ditemui mati tergantung di bilik tidur oleh bapanya sendiri ketika dia hendak menghantar anaknya itu ke sekolah pada jam 12.20 tengah hari semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Alexander Ajang Wan, sepatutnya memulakan persekolahan sesi petangnya di Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Sebelum itu, mangsa lang­sung tidak menunjukkan tanda-tanda yang pelik dan mencurigakan apabila ba­panya meminta dia bersiap untuk pergi ke sekolah.

Bagaimanapun, setelah 20 minit tidak muncul di tingkat bawah rumah mereka, bap­anya naik ke tingkat atas un­tuk mencari anaknya di bilik tidur, namun terkejut apabila dia mendapati mangsa sudah tidak bernyawa lagi dan dalam keadaan tergantung.

Mangsa dipercayai meng­gantung dirinya dengan menggunakan kain tualanya dari jeriji tingkap bilik ti­durnya.

Menurut ibu saudara mang­sa yang ditemui di kediaman mereka semalam, mangsa masih dalam keadaan yang ce­ria pada sebelah pagi sebelum kejadian, malah pada tengah malamnya mereka gembira meraikan Tahun Baharu 2013 di rumah mereka.

Malah, katanya, mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu juga tidak mempunyai se­barang masalah atau berselisih faham dengan ibu bapa atau adik-beradik yang lain.

Mayat mangsa kemudian­nya dibawa ke hospital untuk bedah siasat menggunakan kenderaan polis.


Mayat Lelaki Ditemui Dalam Parit

Penemuan mayat di belakang gerai sayuran

TUARAN: Penduduk di Kampung Rangalau, Kiulu dekat sini gempar seketika dengan penemuan mayat seorang pemandu lori di dalam parit berhampiran gerai sayuran dalam satu kejadian pagi kelmarin.

Mangsa merupakan lelaki tempatan dan dikenali sebagai Peter Eternius Kisong, 44, ditemui terbaring di dalam parit oleh beberapa penduduk kampung yang secara kebetulan melalui lokasi terbabit.

Difahamkan, mangsa telah pergi minum minuman keras di gerai itu bersama tiga lagi rakannya pada malam Khamis lepas sebelum mayatnya ditemui terlentang di dalam parit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superitendan Zaharudin Rasip berkata susulan penemuan itu, sepasukan anggota telah digegaskan ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan dan siasatan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah mati di tempat kejadian dan turut terdapat beberapa kesan kecederaan di kepala mangsa yang dipercayai dipukul menggunakan senjata tumpul.

“Kita menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 8.40 pagi yang mengatakan menemui mayat seorang lelaki di parit berhampiran gerai sayuran yang terletak di Jalan Batu 4, Kampung Rangalau, Kiulu.

“Hasil siasatan ke atas mayat mangsa, polis mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan kita percaya mangsa telah dipukul menggunakan benda tumpul.

“Mayat mangsa bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat,” katanya.

Zaharudin berkata, susulan daripada insiden itu, polis berjaya menahan tiga lelaki berumur lingkungan 20 hingga 50an untuk membantu siasatan kes.

“Susulan daripada kejadian itu, kita telah menahan tiga lelaki di dua lokasi berasingan iaitu Kampung Logub dan Kampung Rangalau Baru antara jam 10 dan 11.45 pagi kelmarin.

“Kesemua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan kes dan polis meminta kepada orang yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil ke Balai Polis Tuaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada orang ramai agar tidak melakukan perkara di luar kawalan terutamanya ketika meminum minuman keras.

“Polis ingin menasihatkan agar orang ramai mengawal diri sekiranya meminum minuman keras agar mengelak daripada kejadian tidak diingini berlaku selain menggangu kententeraman awam lain,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.


Khamis, 3 Januari 2013

Lelaki Terakam Gambar Objek Terbang

Rakaman yang dibuat menggunakan telefon bimbit Mohamad Nazri

KUCHING: Seorang lelaki mendakwa terakam gambar satu objek terbang di ruang angkasa Putrajaya pada malam tahun baharu lepas.

Mohamad Nazri Zainurain, 31, rakyat negeri ini yang berkhidmat sebagai eksekutif kanan UKM Holdings Sdn Bhd di Kajang, Selangor berkata beliau terakam objek itu kira-kira 10 minit sebelum tengah malam menggunakan telefon bimbit pintarnya (Samsung Note 2).

Menurutnya rakaman objek itu menyerupai objek terbang yang tidak dikenali (UFO) sedang terbang di atas sebuah tasik berhampiran Menara Kementerian Belia dan Sukan, Menara Wisma Tani dan jambatan terbiar.

“Saya tidak pasti sama ada itu benar-benar UFO atau objek lain. Saya perlukan lebih banyak bukti dan penjelasan,” katanya.

Mohamad Nazri memberitahu, gambar itu dirakam dari tingkat bawah salah satu jambatan utama di Putrajaya.

“Ketika itu saya bersama kawan-kawan menunggu untuk menyaksikan permaian bunga api bagi menyambut tahun baharu (2013).

“Kami hanya menyedari kehadiran objek itu apabila kami melihat imejnya terakam dalam telefon bimbit saya.

“Saya mengambil beberapa gambar tetapi objek itu hanya muncul dalam satu foto yang diambil.

Kami tidak melihat objek terbang ketika kami berada di sana,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memastikan kedudukan dan saiz sebenar objek itu kerana ia hanya dilihat dalam rakaman kamera telefon bimbit pintarnya.

“Saya tidak pasti jarak objek itu dari kedudukan kami tetapi di dalam gambar yang terakam ia seperti sedang terbang merentasi Tasik Putrajaya,” tambahnya.


Selasa, 1 Januari 2013

Lindungi Anjing Dan Kucing Liar

Gambar Hiasan

MIRI: Masalah pembiakan anjing liar dan kucing liar yang tidak terkawal mendapat perhatian sekumpulan pencinta-pencinta haiwan di sini yang meminta kerjasama penduduk Miri untuk memainkan peranan memberikan tempat berteduh kepada haiwan-haiwan berkenaan.

Mereka berharap, pelaksanaan Program Haiwan Peliharaan di Setiap Rumah akan membolehkan haiwan-haiwan ini dijaga dengan baik dan diberi kasih sayang oleh pemilik mereka.

Program digerakkan oleh pencinta-pencinta haiwan di sini termasuk ahli-ahli Pertubuhan Kebajikan Haiwan Piasau (PAWS), Zero Stray Dogs and Cats dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Miri serta Majlis Bandaraya Miri di bawah Pasukan Petugas Khas Haiwan Peliharaan.

Usaha ini turut mendapat sokongan padu Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesihatan dan Masyarakat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri Dr Uma Devi yang juga merupakan pengasas program berkenaan .

“Usaha pertama kami ialah memberi pendidikan dan kesedaran umum tentang tanggungjawab mereka untuk menjaga dan menyayangi haiwan.

“Kami berharap cara ini dapat mengurangkan masalah anjing dan kucing liar di sini sekali gus mengurangkan beban pihak berkuasa tempatan dalam mengatasi masalah ini,” jelasnya semasa dialog berhubung isu itu semalam.

Menurut beliau, kajian mendapati haiwan peliharaan boleh dijadikan sebagai entiti anti stres (tekanan) yang baik untuk manusia.

Uma memberitahu, untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin, kerjasama penting agar haiwan-haiwan peliharaan tidak diabaikan dan dizalimi.

“Ahli-ahli program ini mahu bekerjasama dengan pihak Majlis Bandaraya Miri dan pencinta-pencinta haiwan di sini dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak dan pertubuhan lain tentang kepentingan menjaga kebajikan dan menyayangi haiwan seperti anjing dan kucing,” jelasnya.

Pelaksanaan program juga diharap dapat mendidik masyarakat tentang undang-undang dan peraturan berhubung haiwan liar oleh MBM serta saluran mengadu tentang penderaan haiwan kepada pihak berkuasa.

Datuk Bandar MBM Lawrence Lai menyokong pelaksanaan program ini yang diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan persekitaran bandar raya Miri.

“Kami tidak mahu haiwan-haiwan berkeliaran bebas di tempat awam seperti restoran dan taman kerana dikuatiri akan menyerang pengunjung.

“Dalam usaha mewujudkan sebuah bandar raya yang hijau, kami harus mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan,” jelasnya.