Jumaat, 26 April 2013

Psy Perkenal Tarian Pinggul




SEOUL - Bintang rap Korea Selatan, Psy kelmarin mendedahkan tarian goyang pinggul dalam video muzik terbaharunya yang berjudul Gentleman di laman YouTube.

Psy juga menyanyi dan melakukan gerakan tarian tersebut semasa dia membuat persembahan yang disaksikan 50,000 orang di sebuah stadium di sini kelmarin. Video muzik penyanyi berusia 35 tahun itu kini mencatatkan lebih 13 juta tontonan selepas dimuat naik sejurus konsert Psy bermula di stadium tersebut.

Video muzik penyanyi itu yang berjudul Oppa Gangnam Style telah mencatatkan lebih satu bilion tontonan sejak dimuat naik pada pertengahan tahun lalu.

Pada sidang akhbar sebelum konsertnya bermula, Psy menyatakan, dia mahu penduduk Korea Utara turut berkongsi kegembiraan dan keseronokan semasa bergembira dengan muziknya.

Dia membuat kenyataan itu ketika mengulas tentang krisis di Semenanjung Korea yang semakin memuncak selepas Korea Utara mengancam mahu melancarkan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan Jepun. Ancaman itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melancarkan sekatan pengimportan barang mewah ke Korea Utara kerana negara itu melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.

"Pada malam ini, kita dan 50,000 rakyat Korea...kita akan menyanyi bersama-sama dengan kuat. Kami akan menjerit dan kita amat dekat dengan mereka (penduduk Korea Utara) supaya mereka boleh mendengar. Adalah diharapkan menerusi Gangnam Style dan Gentleman, video muzik serta reka tari saya, mereka (penduduk Korea Utara) akan turut terhibur bersama-sama," kata Psy.

Dalam video muzik itu, Psy membuat gurauan terhadap wanita-wanita antaranya dia bertindak menarik kerusi semasa mereka mahu duduk. - Agensi



Bieber Dikritik Kerana Komennya



AMSTERDAM, Belanda - Penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber mencetuskan kemarahan di internet selepas dia menulis mesej di dalam buku pelawat di Muzium Anne Frank di sini pada Jumaat lalu.

Dalam mesej itu, Bieber berharap Anne Frank yang merupakan seorang remaja perempuan berketurunan Yahudi yang mati semasa kejadian pembunuhan beramai-ramai kaum itu akan menjadi peminatnya jika dia masih hidup.

Mesej tersebut yang disiarkan di laman Facebook muzium berkenaan telah mencetuskan kemarahan dan mendapat reaksi yang negatif daripada orang ramai. Jurucakap Bieber enggan memberikan sebarang komen berhubung kejadian tersebut.

"Anne seorang gadis yang hebat. Adalah diharapkan, dia akan menjadi seorang peminat Bieber," tulis Bieber dalam buku pelawat tersebut yang kemudian disiarkan di laman Facebook muzium tersebut.

Pengarah Pusat Maklumat dan Dokumentasi Israel Belanda, Esther Voet berkata, komen Bieber itu dianggapnya sebagai bodoh.

"Ia menunjukkan anda dan bintang-bintang yang terkenal tidak selalu mempunyai darjah kecerdasan otak yang hebat," katanya kepada agensi berita AFP.

Salah seorang pengkritik komen itu di Facebook, Tania Saez Pinto yang marah berkata, komen seperti itu tidak pernah dibacanya.

Pinto juga menyindir dengan menyatakan, Anne merupakan seorang yang bijak sehingga dia tidak akan membeli albumnya.

Seorang juruhebah radio untuk program Weekend Edition Saturday yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Scott Simon berkata, Anne akan tertawa jika mengetahui komen itu. Kejadian pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi itu berlaku pada Perang Dunia Kedua atas arahan pemimpin Jerman, Adolf Hitler.

Anne dan keluarganya bersembunyi di sebuah apartmen kecil di Amsterdam semasa pendudukan tentera Jerman ketika Perang Dunia Kedua berlaku. Dia yang terkenal kerana menulis sebuah diari semasa kejadian pembunuhan tersebut telah meninggal dunia akibat penyakit tifus di kem tahanan Bergen-Belsen pada tahun 1945 ketika berusia 15 tahun.

Diari itu kemudian diterbitkan selepas peperangan tersebut berakhir. - Agensi

Belanja RM14 Juta Untuk Suri


Suri - Cutenyer...

BINTANG dalam filem Mission: Impossible - Ghost Protocol, Tom Cruise tidak kisah berbelanja besar semata-mata untuk melepaskan rindu kepada anak kesayangannya, Suri.

Menurut sumber, aktor berumur 50 tahun itu akan menyewa sebuah jet peribadi bagi meraikan hari jadi ketujuh anak perempuannya itu. Tom berbelanja £3 juta (RM14 juta) untuk membawa Suri dari New York ke Hollywood.

"Tom mengenepikan soal wang dalam hal yang melibatkan anaknya itu. Dia akan melakukan apa sahaja demi Suri. Mungkin kedengaran agak hebat, tetapi dia benar-benar akan membawa Suri menaiki jet peribadi untuk bertemunya.

"Itulah yang akan berlaku sekiranya ibu bapa anda seorang bintang terkemuka Hollywood," ujar sumber rapat Tom kepada thesun.co.uk.

Sebelum ini Tom pernah beberapa kali menyewa jet untuk bertemu anaknya itu setelah berpisah dengan bekas isterinya yang merupakan seorang pelakon, Katie Holmes.

Suri yang kini tinggal dengan ibunya di New York bakal mendapat akses penuh menaiki jet peribadi tersebut pada hari lahirnya pada 18 April nanti.

Shah Rukh Khan Disaman RM56.9 Juta


NEW DELHI - Seorang pengarah filem dan pelakon veteran India, Manoj Kumar memfailkan saman sebanyak AS$18.5 juta (RM56.9 juta) ke atas aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan.

Kumar memfailkan saman itu kerana Shah Rukh tidak memotong satu adegan yang memalukannya dalam sebuah filem berjudul Om Shanti Om yang disiarkan di Jepun pada tahun 2007. Kumar memfailkan saman itu kepada Shah Rukh dan Eros International yang menjadi penerbit filem tersebut.

Menurut media India, tuntutan saman itu difailkan di sebuah mahkamah di Mumbai.

Pada tahun 2008, sebuah mahkamah di Mumbai mengarahkan adegan filem tersebut dipotong. Shah Rukh kemudian meminta maaf berhubung adegan tersebut.

Kumar menyatakan, filem tersebut yang disiarkan di Jepun tidak memotong adegan itu baru-baru ini.

"Saya telah memaafkan mereka sebelum ini tetapi tidak kali ini. Mereka (Shah Rukh dan pihak Eros International) tidak menghormati saya," kata Kumar.

Kumar yang berusia 75 tahun pernah menjadi pelakon utama dalam beberapa buah filem pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Filem komedi Om Shanti Om menampilkan Shah Rukh dan Deepika Padukone sebagai pelakon utama. Pengarah filem tersebut, Farah Khan berkata, versi filem yang silap mungkin telah diedarkan di Jepun. - AP

Cinta Justin Bieber Dan Selena Gomez


BERPISAH atau tidak? Itu persoalan yang kini ligat berlegar dalam fikiran peminat-peminat penyanyi sensasi Justin Bieber dan Selena Gomez. Ini kerana, pasangan yang telah mengumumkan perpisahan mereka beberapa bulan lalu ini telah ditangkap bercium baru-baru ini.

Ciuman antara Gomez dan Bieber itu pula disifatkan sebagai bukan ciuman biasa, sebaliknya ciuman ghairah seperti pasangan yang sedang mabuk bercinta.

Gomez dan Bieber 'ditangkap' bercium serta berpegangan tangan di Oslo, Norway. Ia juga merupakan satu kejutan kerana Gomez dikatakan sanggup 'terbang' ke Norway demi Bieber yang sedang menjalani siri konsert jelajahnya di sana.

Gomez sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia tidak akan kembali ke pangkuan penyanyi tersebut kerana letih dengan sikap keanak-anakkan Bieber.

Selain itu, satu sumber lain pula mendakwa, Bieber telah meletakkan gambar Gomez pada paparan skrin telefon bimbitnya.

Adakah ini membuktikan bahawa mereka telah kembali menjalin hubungan cinta, atau sebelum ini pasangan selebriti tersebut memang tidak pernah berpisah?

Hanya Gomez dan Bieber sahaja yang tahu tentang sandiwara cinta mereka ini.

Anak Lembu Berkaki Lima di AS


BURTON, Texas - Seekor anak lembu yang berkaki lima dilahirkan di ladang milik Charles Harmel di sini pada 9 Mac lalu.

Seorang pakar pembedahan haiwan, Dr. Lee Panko kemudian membuat pembedahan bagi membuang kaki kelima itu. Kaki kelima itu terdapat di atas badan dekat kepala haiwan tersebut.

Menurut Panko dari Hospital Veterinar Brenham di Brenham, Amerika Syarikat (AS), ia merupakan kejadian yang jarang berlaku.

Menurutnya, dia tidak pernah menyaksikan anak lembu berkaki lima itu sebelum ini. - Agensi

35 Pengganas Sulu Ditembak Mati Tentera Laut Filipina


GEORGE TOWN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan laporan akhbar bahawa 35 orang pengganas Sulu ditembak mati oleh Tentera Laut Filipina di Pulau Sibutu, Filipina pada Sabtu lepas, yang merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Berdasarkan siasatan dan maklumat risikan, kumpulan pengganas itu berhasrat untuk memasuki Sabah, dan mengadakan pencerobohan dan kekacauan menjelang PRU13 ini, katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Filipina khususnya Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai Filipina yang telah memberi kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia, khususnya ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan Pasukan Keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas Kiram, yang diketuai pemimpin kanannya Kalling Amirul, dalam pertempuran sengit di Pulau Sibutu, Filipina pada Sabtu lepas, ketika kumpulan itu merancang strategi untuk menceroboh dan menyerang pantai timur Sabah bagi merencatkan proses PRU13.

Dalam pertempuran itu, dua anggota keselamatan Filipina terbunuh, dan pasukan keselamatan Filipina juga telah merampas lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel Garand.

Beliau juga memberi jaminan keselamatan pengundi di seluruh Malaysia, khususnya yang berada di Sabah, terjamin dan mereka boleh menjalankan hak mereka dengan selamat pada 5 Mei ini. - Bernama

Khamis, 25 April 2013

OKU Dirogol, Ibu Lapor Polis


SARIKEI: Seorang ibu ke­pada anak orang kurang upaya (OKU) dari Jalan For­tuna di sini tampil membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sarikei petang kelmarin kerana khuatir anaknya telah dirogol.

Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei DSP Dominic Josip ketika dihubungi pember­ita semalam mengesahkan ada menerima laporan terbabit.

“Berdasarkan laporan yang diterima, pada mulanya ibu mangsa menyangka anaknya yang berusia 17 tahun itu sakit setelah beberapa bulan tidak datang haid.

“Berikutan itu, ibu mangsa telah membawa mangsa ke sebuah klinik di sini untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Setelah pemeriksaan, dok­tor di klinik terbabit menda­pati mangsa telah mengand­ung dan terus memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa,” kata Dominic.

Tambah Dominic, sejurus dimaklumkan tentang kepu­tusan pemeriksaan tersebut, ibu mangsa telah bertindak membuat laporan polis.

“Dalam laporan tersebut juga, ibu mangsa memaklum­kan tentang seorang suspek yang disyaki bertanggungja­wab ke atas perbuatan terse­but yang juga jiran mereka.

“Berikutan dengan laporan tersebut, pihak polis telah bertindak menahan suspek yang berusia 51 tahun dan tahanan reman ke atasnya te­lah kita buat bermula hari ini (semalam) bagi menjalankan siasatan.

“Pada masa yang sama, pada petang kelmarin kita turut menghantar mangsa ke hospital bagi mengesahkan tentang status kandungan­nya.

“Hasil dan keputusan yang kita perolehi daripada pihak hospital telah mengesahkan bahawa mangsa telah men­gandung 21 minggu,” ka­tanya. Menurut Dominic lagi, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.