Jumaat, 26 April 2013

120 Juta Kondom Ditarik Balik


ACCRA - Ghana menarik semula penghantaran 120 juta kondom buatan China yang diedarkan untuk tujuan kebajikan sempena kempen anti HIV/AIDS di negara tersebut, kata seorang pegawai kelmarin.

Pegawai itu berkata, penarikan semula itu dibuat selepas hasil ujian mendapati kondom tersebut dipenuhi lubang halus dan cenderung pecah.

Ketua agensi penguat kuasa kesihatan Ghana, Thomas Amedzro berkata, Pihak Berkuasa Ubat-ubatan dan Makanan Ghana sedang berusaha mendapatkan semula sebanyak 20 juta unit kondom tersebut yang telah diedarkan.

Menurutnya, kondom tersebut telah ditempah daripada sebuah syarikat China melalui orang tengah warga tempatan. - AFP

Misuari Disyaki Dalang Sabotaj

Nur Misuari


KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Malaysia sedang menunggu laporan penuh siasatan pasukan keselamatan Filipina mengenai 35 orang pengganas Sulu yang ditembak mati di Pulau Sibutu, Filipina pada Sabtu lalu yang didakwa cuba memasuki Sabah untuk melakukan sabotaj terhadap Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Siasatan itu turut merangkumi dakwaan bahawa kumpulan pengganas yang diketuai Jamalul Kiram III itu didalangi bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pembangkang di Malaysia..

“Kita juga sedang menunggu maklumat mengenai latar belakang Kalling Amirul yang mengetuai puak 34 lelaki untuk menceroboh pantai timur Sabah,” kata satu sumber semasa dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, jelas sumber tersebut, risikan pihak berkuasa menerima maklumat terdapat rancangan puak pengganas Sulu dari selatan Filipina yang sedang menunggu peluang untuk menceroboh Sabah ketika rakyat Malaysia memilih kerajaan.

“Mereka menaruh harapan untuk mengganggu proses pilihan raya dan seterusnya bercita-cita menawan Sabah,” kata sumber itu.

Semasa krisis di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah dahulu pada Februari lalu, Nur Misuari turut didakwa mempunyai peranan dalam insiden tersebut.

“Semua maklumat mengenai Nur Misuari belum jelas. Pihak berkuasa negara ini masih menunggu maklumat lanjut daripada pasukan keselamatan negara jiran,” kata beliau.

Sementara itu, pada majlis ramah mesra bersama Angkatan Tentera Malaysia di George Town semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan laporan akhbar bahawa 35 orang pengganas Sulu yang diketuai pemimpin kanannya, Kalling Amirul ditembak mati oleh Tentera Laut Filipina di Pulau Sibutu. Kematian pengganas itu berlaku pada hari penamaan calon PRU-13.

Menurut beliau, siasatan dan maklumat risikan mengesyaki kumpulan pengganas yang mati ditembak itu dalam rancangan memasuki Sabah dan menimbulkan kekacauan pada PRU-13.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada angkatan tentera Filipina khususnya Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai Filipina yang telah memberi kerjasama dalam mencegah kemasukan pengganas ke Malaysia.

Video Muzik Psy Cipta Rekod Di YouTube





Jom Tengok  PSY - Gentleman

SEOUL - Video muzik terbaharu bintang rap Korea Selatan, Psy yang berjudul Gentleman mencipta rekod baharu di laman perkongsian sosial, YouTube.

Hanya dalam tempoh 24 jam sahaja, video muzik itu telah mencatatkan 20 juta kali tontonan sekali gus mengatasi rekod lama penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber yang berusia 19 tahun.

Video muzik Bieber yang berjudul Boyfriend mencatatkan sebanyak lapan juta kali tontonan dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik pada Mei 2012.

Setakat ini, video muzik Gentleman itu telah ditonton lebih 58 juta kali di laman tersebut sejak dimuat naik pada 13 April lalu.

"Sebanyak 51 juta kali tontonan dalam tempoh 40 jam!," kata Psy terkejut menerusi laman Twitternya. Dalam video terbaharu itu, Psy memakai kaca mata hitam, menari tarian goyang pinggul.

Sebelum ini dia memperkenalkan tarian menunggang kuda menerusi video muzik Oppa Gangnam Style yang turut mencipta rekod YouTube apabila ia mencatatkan lebih satu bilion sejak dimuat naik pada pertengahan tahun lalu.

Video muzik terbaharu Psy itu menunjukkan dia membuat gurauan terhadap beberapa wanita. Salah satu adegan muzik video itu menunjukkan seorang wanita terjatuh selepas kerusi yang mahu diduduknya ditarik oleh Psy.

Psy turut menyanyikan lagu tersebut semasa dia membuat konsert di Seoul pada Sabtu lalu. - Agensi

Ikan Paus Pembunuh Berenang Di Utara New Zealand


WELLINGTON - Sekumpulan ikan paus pembunuh spesies pseudo orca dilihat berenang di luar pantai Paihia di kawasan Bay of Islands di Pulau Utara, New Zealand pada Sabtu lalu.

Ikan paus tersebut kerap berenang bersama ikan lumba-lumba bottlenose.

Kepulauan itu memang terkenal sebagai destinasi pelancongan dalam kalangan pelancong asing dan tempatan yang mahu melihat ikan lumba-lumba dan paus. - Agensi

Tukang Cuci Mata




CHENGDU - Seorang tukang gunting rambut menggunakan sebilah logam kecil untuk mencuci mata seorang pelanggan di sebuah taman di Chengdu, wilayah Sichuan, China pada 12 April lalu.

Mencuci mata merupakan amalan tradisional penduduk China yang dipercayai akan menyebabkan penglihatan menjadi lebih terang. Tukang gunting rambut itu, Liu Deyuan menyediakan perkhidmatan mencukur rambut termasuk membersihkan mata pada harga lima yuan (RM2.45).

Deyuan menggunakan logam kecil itu yang dimasukkan ke dalam mata di tepi kelopak semasa dia membersihkan mata tersebut. Dia menyediakan perkhidmatan itu sejak tujuh tahun lalu. - Agensi

Anak PM Turun Padang Promosi Konsep 1Malaysia

Norashman

SUNGAI BESAR - Kemunculan anak lelaki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Norashman di Pasar Awam Sekinchan, Sekinchan di sini pagi ini mengejutkan orang ramai terutama peniaga di situ. Kehadiran beliau di kawasan itu bertujuan untuk mempromosikan konsep 1Malaysia.

Norashman yang berkebolehan berbahasa Mandarin mengambil peluang bertemu serta beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga di situ terdiri daripada masyarakat Cina selama sejam bermula pukul 7.30 pagi.

Beliau ditemani calon Pilihan Raya Umum ke-13 Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, Kek Seng Hooi. - KOSMO

Ke$ha Mahu Dikenali Penyanyi Berpakaian Paling Hodoh


LOS ANGELES – Penyanyi terkenal, Ke$ha mempunyai matlamat semasa dia menghadiri Anugerah MTV di bandar Culver pada Ahad lalu. Matlamat penyanyi itu adalah untuk menduduki senarai teratas selebriti yang memakai pakaian paling hodoh.

Penyanyi lagu Tik Tok itu memakai baju berwarna putih dan seluar yang lebar di bahagian kaki selain topi berwarna hitam. Wajahnya turut disolek pucat dan dia memakai gincu bibir berwarna hitam.

Bintang berusia 26 tahun itu menyifatkan penampilannya sebagai kanak-kanak pada era tahun 1970-an. 

Ke$ha mendakwa, ibunya amat bangga dengannya apabila dia dikritik kerana memilih pakaian itu. Menurutnya, falsafah fesyennya ialah berseronok, membuat kesilapan dan sanggup mengambil risiko. – AP





Timbalan Ketua Pengarah Kastam Ditembak Mati

Al-Fatihah

KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim disahkan meninggal dunia selepas ditembak oleh penunggang motosikal di lampu isyarat Lebuh Wawasan dari arah Dengkil bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pagi tadi.

Beliau yang sedang dalam perjalanan ke pejabat di Putrajaya dipercayai mengalami kecederaan selepas terkena dua das tembakan di tengkuk dan pipi.

Shaharuddin dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia kira-kira 9.20 pagi ini. - KOSMO