Ahad, 28 April 2013

Tiga Sahabat Lemas Ditelan Kepala Air

Rakaman melalui telefon bimbit seorang saksi kejadian

KUALA KANGSAR - Dua remaja perempuan dan seorang remaja lelaki yang mandi di kawasan perkelahan Batu Hampar di Kampung Paya Lintah, Padang Rengas dekat sini ketika hujan lebat petang kelmarin mati lemas dihanyutkan arus deras kepala air. Kejadian berlaku pada pukul 5.20 petang.

Mereka yang maut ialah Muhamad Khairul Safuan Tajudin, 18, Farah Anisah Ahmad Rafi, 17, dan Nor Aida Azhar, 17. Abang kembar kepada Muhamad Khairul Safuan iaitu Muhamad Khairul Azwan, 18, bagaimanapun terselamat dan mengalami cedera ringan.

Mayat Muhamad Khairul Safuan ditemui sejam kemudian tersangkut di celah pokok buluh kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi dia dihanyutkan.

Mayat Farah Anisah pula ditemui pada pukul 10.30 malam kelmarin kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, manakala mayat Nor Aida ditemui pada pukul 7.30 pagi semalam kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia dihanyutkan.

Muhamad Khairul Azwan yang terselamat berkata, mereka pergi ke kawasan itu bersama tujuh rakan lain.

"Hujan agak lebat ketika itu. Ketika kami bersiap-sedia untuk pulang, arus deras tiba-tiba datang dan menghanyutkan adik saya.

"Saya sendiri sempat berpaut pada pokok buluh di tebing sungai. Saya kemudian menyedari dua rakan kami iaitu Farah Anisah dan Nor Aida turut hilang," katanya. - KOSMO

Gaya Sama, Pembunuh Berbeza


KUALA LUMPUR - Polis menolak andaian sesetengah pihak yang mengaitkan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya dengan satu lagi kes dengan modus operandi sama di Taman Billion, Cheras di sini kelmarin.

Kes kedua itu melibatkan seorang tauke kedai gunting rambut, R. Karikaalan, 29, yang maut akibat kecederaan parah di badan setelah ditembak oleh dua lelaki yang menaiki motosikal.

Sewaktu kejadian, mangsa bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di di Taman Puchong Hartamas kira-kira pukul 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, kedua-dua kes berkaitan tidak berkaitan langsung antara satu sama lain. Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kedua-dua kes tersebut.

"Setakat ini, masih belum ada tangkapan terhadap mana-mana suspek kerana siasatan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Shaharuddin, 58, yang maut ditembak oleh dua lelaki disyaki pembunuh upahan sewaktu sedang berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, Putrajaya dekat sini. Mangsa yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke pejabatnya di Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Presint 2, maut sewaktu sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Sabtu, 27 April 2013

‘Wabak’ Gwiyomi


Ilhon BTOB

Suka atau tidak, selepas klip video Gangnam Style nyanyian Psy menjadi fenomena pada tahun lalu, terbaru ‘wabak’ Gwiyomi pula nampaknya semakin menjadi-jadi dan tiba-tiba menjadi topik utama dan ikutan sekarang ini.

Saban hari mesti akan muncul video baru dan masing-masing nampaknya ‘terjebak’ untuk menunjukkan kecomelan mereka kepada seluruh dunia dengan melakukan aksi Gwiyomi. Itulah trend terbaru sekarang dapat dilihat terutama sekali di laman sosial yang membabitkan video termasuklah Facebook, Twitter, YouTube, Keek dan banyak lagi. 

Gwiyomi adalah aksi mengira dengan cara yang comel dan mula menjadi ikutan selepas anggota kumpulan K-Pop terkenal Ilhon daripada BTOB mencipta aksi berkenaan sebelum memuat naik ke YouTube.

Bermula dari situ, Gwiyomi mula popular terutama dalam kalangan selebriti Korea Selatan sehingga satu pertandingan diadakan antara mereka untuk melakukan versi Gwiyomi tersendiri.

Melihat kepada kegilaan terutama sekali golongan muda-mudi, memang sah Gwiyomi bakal mengulangi gelombang Gangnam Style itu tersendiri. Nampaknya bukan saja fanatik kepada artis K-Pop, kini seluruh dunia seolah angau dengan apa juga jenis video yang muncul dari negara itu. 

Di Malaysia sendiri, beberapa video Gwiyomi turut menjadi bualan tidak terkecuali versi pelakon jelita Nora Danish bersama dua rakannya di YouTube. Selain Nora Danish, dua lagi pelakon yang turut menunjukkan aksi Gwiyomi tersendiri mereka menerusi laman sosial Keek adalah Nazim Othman serta pelakon jelita baru Wawa Zainal. 

Paling mencuri perhatian semestinya seorang selebriti YouTube yang mula menempa nama menerusi video parodi Sayang nyanyian Shae. Terkenal dengan gelaran Bobo, meskipun baru memuat naik video ‘teaser’, jumlah tontonan sudah cukup tinggi.  Mempunyai akaun rasmi tersendiri yang diberi nama OfficialBoboMY, sehingga semalam video ‘teaser’ berkenaan sudah berjaya mengaut tontonan sebanyak kira-kira 390,000. 

Wabak "gwiyomi" merebak di sekitar negara Asia terutamanya, selain cukup menjadi ikutan di Thailand dan Filipina, sekarang ini wabak itu semakin merebak dan melanda Malaysia, Singapura, Hong Kong dan juga Taiwan.

Gwiyomi - Nora Danish

Gwiyomi - Wawa Zainal

Gwiyomi - Nazim Othman

Gwiyomi - Bobo

Wabak " Gwiyomi "

Rampasan Dadah Dipercayai Motif Pembunuhan

Lakaran kenderaan mangsa ditembak ditempat kejadian

Kesan tembakan di kereta

Dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. 

Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (Pekastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharudin Ibrahim, 58, mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 3 di sini, jam 8.15 pagi semalam. 

Mangsa yang duduk di bahagian depan penumpang kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak dekat oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa menghala ke Lebuh Wawasan di sini. 

Kejadian berlaku ketika kereta mangsa yang dibawa pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa. 

Mangsa yang cedera parah di leher dan kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya (HPJ) jam 9.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebaik melihat mangsa cedera parah ditembak, pemandunya membawanya terus ke Unit Kecemasan HPJ tetapi disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Chin Wah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumah anaknya di Dengkil menuju ke pejabat beliau di Putrajaya.

Beliau berkata, siasatan mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik dan polis masih menyiasat punca dan motif sebenar kejadian selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasat. 

Menurut sumber, pembunuhan Shaharuddin dipercayai ada kaitan dengan beberapa kes rampasan dadah oleh KDRM sejak awal tahun ini antaranya 73 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM14 juta yang cuba diseludup ke negara ini melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India pada 15 Mac lalu.

Katanya, mangsa yang disifatkan pegawai yang jujur, amanah dan beretika dianggap ancaman besar oleh sindiket penyeludupan bahan larangan ke negara ini.

Menurutnya, sebaik mengetuai Bahagian Cukai Dalam Negeri (CDN) import/eksport dalam Perkhidmatan Teknik (PERTEK), Shaharuddin menerima pelbagai ancaman termasuk ugutan bunuh.

“Berikutan penguatkuasaan undang-undang yang begitu ketat, kumpulan atau sindiket tempatan dan antarabangsa yang menyeludup dadah, rokok, mercun, minuman keras dan senjata api mulai berasa terancam.

“Bukan hanya ancaman daripada sindiket, kumpulan yang cuba menyeludup masuk barang yang tidak diisytiharkan atau lari dari cukai turut mengancam nyawa setiap kakitangan KDRM,” katanya semalam.

Sebelum dilantik Timbalan Ketua Pengarah KDRM pada 18 Ogos 2011, Allahyarham yang juga anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan adalah Pengarah KDRM Kelantan. - BH

Bakal Pengantin Mati Ditembak


KUALA LUMPUR - Hasrat seorang bakal pengantin lelaki untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan tidak kesampaian apabila dia mati ditembak ketika berhenti di lampu isyarat bulatan Cheras-Kajang di Taman Billion di sini semalam.

Kejadian pada 11.30 pagi itu mengakibatkan tauke kedai gunting rambut, R. Karikaalan, 29, maut dua jam kemudian ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas terkena dua das tembakan di badan.

Insiden itu turut mengakibatkan ibu mangsa, 60, yang menaiki kenderaan pelbagai guna Nissan Grand Livina dipandu Karikaalan cedera selepas terkena dua das tembakan di tangan kanannya.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan ke rumah kenalan dan saudaranya untuk mengedarkan kad jemputan kahwin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang menghampiri kereta mangsa telah melepaskan 10 das tembakan menggunakan pistol jenis semi automatik.

BR1M Lebih Baik Daripada Menurunkan Harga Petrol

BR1M  Miri.Net - Terima Kasih PM

BAGAN SERAI – Dasar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) jauh lebih baik daripada janji pembangkang untuk menurunkan harga petrol sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program BR1M lebih berkesan kerana ia memberi manfaat secara langsung dan menyeluruh kepada golongan sasaran iaitu rakyat bawahan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, dasar menurunkan harga petrol lebih mengundang kepada ketirisan kepada golongan tidak layak seperti orang kaya dan warga asing.

“Kalau kurang harga minyak, siapa untung? Orang kaya yang bawa kereta besar, pelancong, pekerja asing, orang jual minyak di (negara) seberang yang untung.

“Apabila kita beri BR1M, rakyat miskin yang dapat manfaatnya,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 15,000 penduduk pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Dataran UMNO Bahagian Bagan Serai di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, calon BN bagi Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat; calon BN DUN Selinsing, Sharudin Ahmad dan calon BN DUN Semanggol, Zulkarnain Ismail.

Najib berkata, BR1M juga memberi manfaat kepada golongan peniaga setempat ekoran wang yang diberikan menerusi program tersebut akan dibelanja penerima untuk membeli barang keperluan.

BRIM 2.0 yang membabitkan dana RM3 bilion mengagihkan bantuan sekali bayar sebanyak RM500 kepada keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan pula menerima sebanyak RM250.

Gadis Gantung Diri Dalam Bilik

Anggota polis sedang mengusung mayat mangsa

KOTA KINABALU: Seorang gadis yang merupakan pelajar tingkatan empat ditemui mati dan dipercayai membunuh diri di dalam biliknya dalam satu kejadian di Kampung Likas, di sini Khamis lepas.

Norsarina Azmi, 16, difahamkan menggantung dirinya dengan menggunakan tali yang digantung pada dinding siling sebelum ditemui oleh kakaknya yang berusia 19 tahun kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih melakukan siasatan berhubung motif insiden berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terjadi dalam kes ini dan mayat gadis terbabit telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi tujuan bedah siasat,” katanya. - UTUSAN BORNEO

Jumaat, 26 April 2013

Sempat SMS Suami Ketika Diculik


JOHOR BAHRU - Kepantasan seorang suri rumah yang diculik mencatat nombor plat kereta dan jenis kenderaan lalu menghantar pesanan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya, berjaya membantu polis memberkas penculik tersebut semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun itu berhadapan detik cemas apabila diculik sekumpulan Ah Long yang menuntut hutang berjumlah RM500.00 yang dipinjam suaminya.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, wanita itu telah dibawa lari dari rumahnya di Taman Suria Muafakat selama kira - kira dua jam sebelum ditemui selamat pada jam 6.45 petang semalam.

"Polis menerima maklumat daripada suami mangsa yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis selepas menerima SMS daripada isterinya.

"Mangsa sempat menghantar SMS kepada suaminya dan memberitahu jenis serta nombor plat kenderaan tersebut minta diselamatkan.

"Mangsa juga telah diugut untuk dibawa lari ke Kuala Lumpur sekiranya suaminya gagal membayar hutang tersebut," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Johor Bahru Selatan sebentar tadi.

Susulan daripada itu, ujar Zainuddin, polis mengeluarkan arahan ke semua pejabat polis daerah untuk mengesan suspek.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan, polis berjaya mengesan kenderaan suspek di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah pukul 6.45 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai beberapa senjata digunakan untuk menakutkan mangsa seperti rotan, kayu, besi dan buku lima," ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 kerana menculik dan melakukan ugutan serta pemerasan.-KOSMO