Isnin, 6 Mei 2013

Barisan Nasional Kembali Berkuasa

Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri masing-masing meraikan kejayaan BN 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menerima mandat pertamanya daripada rakyat untuk menerajui negara sebagai perdana menteri keenam selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) malam tadi.

Keputusan muktamad pilihan raya umum bagi kesemua 222 kerusi Parlimen masih belum diumumkan sepenuhnya, namun setakat jam 2.30 pagi tadi dengan BN sudah memenangi 132 kerusi melebihi 122 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, manakala Pakatan Rakyat memperolehi 84 kerusi.

Ini merupakan saat bersejarah bagi Najib dan negara kerana anak bekas seorang perdana menteri telah berjaya menerajui 13 parti gabungan untuk memenangi pilihan raya umum kali ini yang merekodkan 13.27 juta pemilih berdaftar.

Beliau telah berkempen tanpa mengenal penat lelah di seluruh negara untuk menyakinkan pengundi mengenai transformasi yang berlaku dalam BN dan aku janji dalam manifesto BN yang mendahulukan rakyat dan untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Najib dan beberapa pemimpin parti komponen telah berkumpul di ibu pejabat BN di Menara Dato Onn di ibu negara untuk menunggu keputusan pilihan raya.

BN juga setakat ini mengekalkan kerajaan negeri di Pahang, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sabah.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 25 kerusi di Sarawak, 15 (Johor), 13 (Sabah), 12 (Perak), 10 (Pahang), sembilan (Kedah), masing-masing lima di Kelantan dan Negeri Sembilan dan masing-masing empat di Melaka dan Terengganu.

DAP menang 31 kerusi Parlimen iaitu masing-masing tujuh di Pulau Pinang dan Perak, masing-masing lima di Kuala Lumpur dan Sarawak, masingmasing dua di Selangor dan Sabah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PKR pula menang 17 kerusi Parlimen iaitu tiga di Kuala Lumpur, masing-masing dua di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, PAS memenangi 14 kerusi Parlimen iaitu enam di Kelantan, masing-masing dua di Terengganu, Perak dan Selangor dan masing- masing satu di Kedah dan Pahang.

Sementara itu di Pekan, Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan untuk penggal ke-10 dengan majoriti 35,613 undi, jauh lebih besar daripada kemenangannya pada pilihan raya umum 2008, mengalahkan lawannya daripada PKR Mohd Fariz Musa.

Pada pilihan raya umum 2008 Najib menewaskan calon PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti undi sebanyak 26,464.

Dalam keputusan yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pekan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi, Najib memperoleh 51,278 undi, jauh meninggalkan lawannya Mohd Fariz yang mendapat 15,665 undi.

Mohd Fadzli berkata jumlah undi rosak ialah 1,275, manakala jumlah pemilih yang keluar mengundi seramai 68,463 orang daripada 80,260 pengundi yang berdaftar.

Sementara itu, empat calon Barisan Nasional (BN) di kawasan dewan undangan negeri (DUN) di bawah kawasan parlimen Pekan yang diwakili dua muka baharu dan dua muka lama turut cemerlang menewaskan lawan masing-masing.

Calon BN di DUN Bebar, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff mengalahkan Mohd Jafri Ab Rashid (PKR) dengan majoriti 6,715 undi.

Calon Peramu Jaya, Datuk Mohmed Puzi Sh Ali cemerlang menewaskan dua lawannya iaitu Syed Mohamad Faiz Syed Azemmant (Bebas) dan Abu Kassim Manaf (PAS) dengan majoriti 7,627 undi, sekali gus menyaksikan calon Bebas itu hilang wang pertaruhan. - Bernama

BN Gagal Pertahan Kerusi Parlimen Miri

ADUN Pujut Fong Pau Teck (DAP) mewakili Dr Teo mengangkat tangan tanda kemenangan PKR.

MIRI: Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Miri apabila tewas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan Parti Reformasi Sarawak (STAR).

Calon BN daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting memperolehi 24,917 undi, tewas kepada calon PKR Dr Michael Teo yang memperolehi 26,909 undi.

Manakala calon STAR Chong Kon Fatt hanya memperolehi 306 undi sekali gus hilang wang pertaruhan RM10,000.

Dr Teo memenangi Parlimen Miri dengan majoriti 1,992, menjadi calon pembangkang pertama memenangi kerusi Miri, selama ini merupakan kubu kuat BN terutama bagi kaum Cina di peringkat Parlimen.

Seramai 52,813 daripada 71,170 pengundi berdaftar keluar mengundi dan hanya 52,132 undi diterima dengan 630 undi rosak dan 51 tidak dikembalikan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Monica Lenya mengumumkan keputusan rasmi bagi kerusi Parlimen Miri di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Miri di sini pada jam 10.13 malam.

Kekalahan di Miri kali ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada SUPP kerana ia juga merupakan kerusi milik Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin yang disandang beliau sejak enam penggal lalu.

Ia juga menyaksikan SUPP tewas di lima kerusi yang lain iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu dan Lanang.

SUPP hanya menang satu kerusi iaitu Parlimen Serian yang dikekalkan oleh penyandangnya Datuk Richard Riot Jaem sebagai satu-satunya kerusi majoriti Bumiputera.

Sementara itu, Dr Teo tidak kelihatan untuk meraikan kemenangan beliau di sini kerana berada di Kuching.

Manakala Sebastian, ketika ditemui pemberita selepas pengumuman berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan pilihan raya tersebut.

“Rakyat di Miri sudah bersuara dan inilah keputusan mereka, justeru saya harus menghormati keputusan penduduk Miri. Saya sudah melakukan yang terbaik.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Teo atas kemenangan beliau menjadi wakil rakyat Parlimen Miri dan saya berharap beliau dapat menunaikan janji-janjinya kepada rakyat di sini sebagaimana yang diucapkannya semasa kempen lalu,” katanya.

Ketika ditanya langkah beliau selepas ini, Sebastian berkata beliau akan berehat seketika sebelum memikirkan keputusan selanjutnya apabila kembali daripada bercuti kelak.

Beliau yang ditemani isterinya dan para penyokong serta bekas Presiden SUPP merangkap bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata walaupun gagal namun beliau bersyukur dan berterima kasih terhadap sokongan para pengundi.

“Kekalahan tipis ini menunjukkan SUPP masih ada penyokong daripada kalangan masyarakat Cina dan masih relevan,” katanya.

Ahmad Lai Pertahan Kerusi Parlimen Sibuti


BEKENU: Ahmad Lai Bujang mempertahankan kerusi Parlimen Sibuti selepas menang dengan majoriti besar iaitu 6,066 menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Robby@Muhammad Zaid Tandang.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sibuti Boniface Intang Apat mengumumkan keputusan rasmi berkenaan sekitar jam 9.05 malam.

Ahmad Lai Bujang yang mendapat undi keseluruhan 13,348 mengalahkan Robby yang hanya memperoleh 7,282 undi.

Calon Barisan Nasional (BN) terbabit yang mengekalkan kerusi itu untuk penggal kedua sekali gus menyumbang satu tiket untuk membentuk kerajaan BN di Putrajaya.

Jumlah keseluruhan undi bagi Parlimen Sibuti adalah sebanyak 28,351 undi sementara undi rosak pula sebanyak 288 undi.

Sebanyak 73.9 peratus pengundi di Sibuti menunaikan tanggungjawab mengundi di kawasan pembuangan undi masing-masing.

Keputusan tersebut telah diumumkan di pusat penjumlahan undi di Dewan Masyarakat Bekenu.

Hadir sama meraikan kemenangan Ahmad Lai ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus dan ADUN Lambir Ripin Lamat.

Bieber Henti Persembahan Kerana Menghormati Azan


ISTANBUL, Turki - Penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber mendapat banyak pujian daripada para pengguna Twitter selepas dia sanggup menghentikan persembahannya sebanyak dua kali semata-mata mahu menghormati azan yang sedang berkumandang di sini, lapor portal berita Hollywood Life semalam.

Bieber yang berusia 19 tahun menghormati azan itu semasa dia membuat persembahan dalam konsertnya pada 2 Mei lalu.

Menurut laporan portal berita E!Online, para peminat penyanyi tersebut terkejut dan berasa gembira dengan tindakan Bieber itu.

Seorang pengguna Twitter menyatakan, dia menaruh rasa hormat terhadap penyanyi itu selepas mendengar Bieber menghentikan persembahan sebanyak dua kali bagi menghormati azan.

Menurut seorang lagi pengguna laman tersebut, terdapat beberapa artis Arab yang tidak menghentikan persembahan mereka bagi menghormati azan yang sedang berkumandang.

Selepas persembahan itu, Bieber membuat kenyataan di laman Twitter dengan menyatakan, Dubai di Emiriah Arab Bersatu bakal menjadi destinasi konsertnya selepas Turki. - Agensi

Penyertaan Pertandingan ‘Kumang / Keling Gawai’

Gambar Hiasan

MIRI: Jawatankuasa sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri semalam menyeru penyertaan untuk Pertandingan ‘Kumang/Keling Gawai dan Keligit/Belawan’.

Pertandingan ‘Kumang/Keling Gawai dan Keligit/Belawan Gawai’ bagi peringkat bahagian Miri akan berlangsung pada 24 Mei ini di Eastwood Valley & Golf Country Club, bermula jam 7 malam.

Pertandingan ‘Kumang dan Keligit’ dibuka kepada golongan wanita bujang berusia 18 hingga 25 tahun manakala bagi Pertandingan ‘Keling dan Belawan’, penyertaan dibuka kepada lelaki bujang berusia 18 hingga 30 tahun. Tarikh tutup penyertaan dilanjutkan hingga Selasa depan, 7 Mei, jam 4 petang.

Sementara itu, borang penyertaan boleh didapati dari Rumah Dayak dan ahli-ahli jawatankuasa yang berkaitan.

Selain itu, mereka juga boleh memuat turun borang dari laman sosial Facebook DBNA Miri dan Facebook Jawatankuasa Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri.

Semua penyertaan yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke Rumah Dayak bersama yuran penyertaan RM15 seorang bagi setiap pertandingan.

Pusingan penyingkiran akan diadakan pada Sabtu depan (11 Mei), jam 6 petang di Bintang Megamall (sayap baharu).

Bagi mereka yang berminat dan masih belum membeli tiket menghadiri majlis makan malam sambutan perayaan Gawai Dayak ini, tiket-tiket berharga RM500 dan RM1,000 semeja (10 orang) masih dijual.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Kitty di Rumah Dayak di talian 085-435467 atau Caroline di talian 013-5682378.

Ahad, 5 Mei 2013

Daging Tikus Dijual Sebagai Daging Kambing


Shanghai: Polis mengesahkan beberapa peniaga memproses daging tikus untuk dilihat sebagai daging kambing dan dijual di pasar di China. Pihak berkuasa baru-baru ini bertindak ke atas sindiket penjenayah yang menjalankan kegiatan itu dalam satu operasi keselamatan makanan. 

Operasi itu dijalankan serentak dengan langkah memerangi selesema burung yang menyebabkan jualan daging ayam dan itik merudum di China. 

Seorang peniaga didapati menggunakan bahan campuran memproses daging tikus dan musang sebagai daging kambing di pasar di Shanghai yang sering dikunjungi pelancong.

“Selepas mencampurkan gelatin, pewarna dan bahan lain, dia menjual daging itu sebagai daging kambing di pasar,” kata sumber.

Serbuan yang dilakukan ke atas Wei dan kumpulannya di Jiangsu dan Shanghai membolehkan polis menangkap 63 suspek. 

Sebanyak 10 tan daging tikus dan musang turut dirampas. Kumpulan itu meraih keuntungan RM4.8 juta sejak memulakan operasi mereka pada 2009. 

Selain itu, pihak berkuasa juga menemui bukti campuran hidrogen peroksida yang digunakan oleh peniaga untuk membersihkan kaki ayam sebelum ia dijual kepada pembeli. - Daily Mail

Gigit Anjing Selamatkan Isteri

Henry bersama isteri, Caren di hospital

Iowa: Seorang lelaki bertindak menggigit seekor anjing untuk menghentikan haiwan itu daripada menyerang isterinya. Laine Henry bertindak demikian selepas anjing jenis Labrador itu menggigit hidung isterinya, Caren, hingga putus.

Kejadian berlaku Ahad lalu ketika pasangan berkenaan bersiar-siar bersama anjing peliharaan mereka di Madrid, Iowa.

Anjing itu yang muncul secara tiba-tiba dari kawasan semak membaham betis kanan Caren sebelum menggigit perut dan kemudian menyerang muka mangsa.

“Ia menerkam mata saya. Mujur saya memakai cermin mata. Saya percaya cermin mata itu menyelamatkan mata saya. Ia kemudian menggigit hidung saya hingga putus,” kata Caren.

Henry berkata, dia menepa ke arah anjing itu dan cuba menariknya dan menyasarkan mulut haiwan itu untuk memaksa ia melepaskan gigitannya pada muka Caren. Tindakannya itu menyebabkan anjing berkenaan membaham tangan kirinya dan kembali menyerang Caren.

Henry menggigit hidung anjing itu, menyebabkan haiwan berkenaan melepaskan cengkamannya pada Caren, kata pasangan itu kepada akhbar Des Moines Register. Pasangan itu kemudian meluru ke trak mereka dan memandu terus ke sebuah hospital berhamprian.

Henry dirawat kerana kecederaan di tangan tetapi nasib Caren lebih malang kerana terpaksa menjalani rawatan lebih lama. Sehingga ini dia sudah menjalani satu pembedahan. Doktor akan menggunakan kulit dahinya dan beberapa bahagian lain serta rawan telinga untuk membentuk semula hidungnya.

“Keadaan mungkin lebih teruk. Jika bukan kerana cermin mata itu, saya mungkin kelihatan sebelah mata. “Jika anjing itu menyasarkan leher saya, saya mungkin sudah mati,” kata Caren.

Pihak berkuasa berjaya menangkap anjing berkenaan dan kini dikurung selama enam minggu. Pemilik haiwan itu, seorang gelandangan tempatan dilapor jarang memberi anjing itu makan. - Daily Mail

Ahad, 28 April 2013

Bieber Dedah Gambar Dipeluk Gomez


Justin Bieber dan Selena Gomez

LOS ANGELES - Penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber mendedahkan sekeping gambar di rangkaian perkhidmatan sosial Instagram yang menunjukkan dia dipeluk bekas kekasihnya, Selena Gomez, lapor akhbar dalam talian Daily Mirror semalam.

Gambar tersebut menunjukkan Bieber yang berusia 19 tahun tidak memakai baju semasa dia dipeluk Gomez dari arah belakang. Gomez yang berusia 20 tahun memeluk Bieber yang sedang menggunakan sebuah komputer riba.

Gambar tersebut mencetuskan spekulasi dalam kalangan media Barat kemungkinan kedua-duanya kembali bersatu semula selepas hubungan mereka terputus. Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa kedua-duanya kembali menjadi pasangan kekasih selepas berpisah pada Januari lalu. Selepas berpisah dengan Gomez, kehidupan Bieber menghadapi pelbagai masalah.

Penyanyi itu juga terpaksa menghentikan persembahan di London selepas dia mengalami kesukaran bernafas pada Mac lalu.

Pada 25 April lalu, portal berita BBC melaporkan, dadah dan sepucuk senjata renjatan elektrik ditemui di dalam sebuah bas konsert jelajah Bieber di Globen, Stockholm, Sweden. - Agensi