Isnin, 27 Ogos 2012

Pembunuh Kejam Dipenjara 21 Tahun

Anders Behring Breivik

OSLO, Norway - Seorang pembunuh kejam, Anders Behring Breivik tersenyum angkuh apabila sebuah mahkamah di sini semalam mendapati dia waras semasa melakukan pembunuhan dan dihukum penjara selama 21 tahun.

Breivik membunuh 77 orang dalam kejadian tembakan dan serangan bom di Norway pada 22 Julai tahun lalu.

Ketika memasuki ruang mahkamah selama beberapa minit sebelum hukuman dijatuhkan, Breivik sempat menunjukkan tumbukannya menerusi tangan kanannya.

Breivik, 33, yang merupakan anak seorang diplomat didakwa melakukan kejadian itu kerana menentang imigrasi penduduk Muslim yang menyebabkan penduduk Eropah berpecah-belah.


19 Maut Loji Penapis Minyak Meletup Di Venezuela

Keadaan loji penapis minyak di bandar Amuay yang terbakar

CARACAS - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera apabila loji penapis minyak terbesar di Venezuela meletup awal semalam.

Negara berkenaan merupakan pengeluar minyak terbesar di Amerika Selatan. Letupan berlaku di fasiliti penapis minyak di bandar Amuay dalam negeri Falcon di barat daya Venezuela.

"Antara mangsa yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun," kata Gabenor Falcon, Stella Lugo.

Menurutnya, sebanyak 53 yang lain cedera dalam kejadian tersebut dengan angka korban dan kecederaan dijangka terus meningkat.

Menteri Tenaga Rafael Ramirez berkata, letupan dipercayai akibat kebocoran gas dengan punca sebenar kejadian masih disiasat.

Jelas Ramirez, letupan itu amat kuat menyebabkan kerosakan besar bukan hanya ke atas loji berkenaan tetapi beberapa kedai dan kediaman di sekitar lokasi kejadian.


Apek Terlibat Kemalangan Di Bachok

Kereta Audi yang dipandu Apek rosak akibat kemalangan di Kampung Badak, Bachok

KOTA BHARU - Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan ketika keluar dari simpang di Kampung Badak, Bachok dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Khairul Fahmi yang memandu kereta jenis Audi milik bapanya, Che Mat Hussain hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.

Khairul Fahmi ketika dihubungi di sini memberitahu, kemalangan tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang beraya di rumah saudaranya di Bachok.

"Kemalangan tersebut berlaku ketika saya hendak keluar dari simpang dan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dan ia tidak melibatkan kecederaan serius kepada diri saya," ujarnya.


Wanita Malaysia Paling Ramai Curang

Wanita Malaysia dikatakan yang ketiga paling curang di dunia. - Gambar hiasan

ACCRA, Ghana - Wanita Malaysia adalah yang ketiga paling ramai curang di dunia, menurut akhbar laman berita GhanaWeb kelmarin yang memetik laporan akhbar China Press.

Penemuan mengejutkan itu dibuat berdasarkan satu kaji selidik yang mendapati 39 peratus wanita Malaysia mengaku mencurangi pasangan mereka.

Senarai tersebut diungguli oleh Ghana apabila 62 peratus wanitanya mengaku curang diikuti oleh Thailand sebanyak 59 peratus.

Wanita Rusia pula dianggap keempat paling curang di dunia dengan angka 33 peratus diikuti Singapura di tempat kelima dengan 19 peratus.

Kaji selidik sama turut mendapati pasangan di Thailand adalah paling curang di dunia dengan 54 peratus manakala Korea Selatan berada di tempat kedua apabila 34 peratus rakyatnya dilaporkan bermain kayu tiga. - METRO


Hanya Teringat Mati Ketika Ditahan Lanun

George dicium oleh isterinya, Bibik

SEPANG - "Rundingan ini gagal. Keluarga kamu hanya akan menerima mayat sahaja."

Demikian kata-kata daripada ketua kumpulan lanun yang masih terngiang-ngiang di telinga juruteknik petroleum, George Lipih Ambo, 42, serta tiga rakannya ketika diculik oleh lanun tersebut sehingga dia sudah terbayang saat kematian.

George yang berasal dari Sri Aman, Sarawak berkata, ketika itu dia terpaksa melupakan seketika perihal keluarganya kerana berada dalam ketakutan dan trauma.

"Hari-hari yang berlalu, saya hanya memikirkan soal hidup dan mati sahaja di samping berdoa dapat diselamatkan dengan segera," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Bagaimanapun, atas usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dengan kerjasama Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nigeria, George berjaya dibebaskan kelmarin setelah 20 hari menjadi mangsa culik lanun terbabit dan tiba di KLIA pada pada pukul 2.15 petang semalam.

Kepulangannya disambut isteri, Bibik Suntek, 42, serta tiga anaknya iaitu Natheniel Japang, 18; Bill Easter, 15, dan Aaron Jay, 11.


Dua Bouncer Mati Ditembak

Polis menjalankan pemeriksaan ke atas tompokan darah di hadapan kelab malam di Jalan Doraisamy, sema

KUALA LUMPUR - Dua ”bouncer” atau pengawal di sebuah kelab hiburan di Jalan Dooraisamy di sini mati setelah ditembak di hadapan premis berkenaan awal pagi ini, dipercayai dilepaskan oleh seorang daripada sekumpulan lelaki yang dikatakan meradang kerana dihalang memasuki kelab hiburan itu.

Dalam insiden kira-kira 4.30 pagi itu, dua ”bouncer” berumur dalam lingkungan awal 20-an dikatakan menghalang sekumpulan enam lelaki tempatan daripada memasuki kelab hiburan itu kerana premis berkenaan telah tamat waktu operasi.

Kumpulan itu bagaimanapun berterusan mendesak ”bouncer” berkenaan agar membenarkan mereka memasuki kelab tersebut namun tindakan itu telah mencetuskan pergaduhan sehingga berlaku kejadian tumbuk-menumbuk antara mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama hari ini berkata seorang daripada lelaki itu naik berang apabila melihat dua rakannya dipukul teruk, lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua ”bouncer” berkenaan.

Zainuddin berkata tembakan itu mengenai bahagian kepala mangsa pertama dan bahagian rusuk kiri mangsa kedua yang menjadi punca kematian. - BERNAMA


Apple Menang Kes Saman Paten

Telefon pintar Galaxy S (kanan) dan iPhone (kiri) 

SAN JOSE, California - Selepas setahun pertikaian di mahkamah membabitkan Samsung dan Apple, seorang juri di Amerika Syarikat (AS) kelmarin memutuskan pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan itu didapati menciplak teknologi yang digunakan untuk menghasilkan iPhone dan iPad.

Susulan keputusan tersebut, panel juri sebuah mahkamah di sini memerintahkan syarikat Samsung untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple.

Bagaimanapun, Samsung yang popular dengan telefon pintar Galaxy S dan komputer tablet Galaxy Tab akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Perkembangan itu berlaku selepas sebuah mahkamah Korea Selatan kelmarin mendapati Samsung tidak meniru telefon bimbit keluaran Apple.

Pertikaian kedua-dua gergasi elektronik tersebut bermula apabila firma Apple Inc. memfailkan saman melibatkan pelanggaran paten oleh Samsung pada April 2011.

Apple telah melantik pasukan peguam terhandal di AS bagi menuntut gantirugi AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaing terhebatnya, Samsung.

Dalam saman tersebut, firma yang diasaskan bersama oleh mendiang Steve Jobs itu mendakwa Samsung Electronics Co. meniru teknologi dan inovasinya.

Namun, Samsung melakukan saman balas dengan menuntut gantirugi AS$399 juta (RM1.24 bilion) daripada Apple Inc.

Dalam hujah penggulungannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa Samsung mengalami 'kebuntuan reka bentuk' selepas pelancaran iPhone pada tahun 2007.

Samsung, katanya, mengambil kesempatan di atas kejayaan gajet berkenaan apabila memperkenalkan jenama telefon pintar Galaxy S dengan ciri-ciri serupa.

Terdahulu, pasukan peguam Apple menyatakan, hampir tiada perbezaan pada telefon pintar iPhone dan Galaxy.

Peguam-peguam Samsung bagaimanapun berkata, beberapa inovasi seperti skrin besar pada siri telefon Galaxy yang sebelum ini terdapat pada iPhone, diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna telefon pintar.

Panel juri berkenaan yang dianggotai oleh tujuh lelaki dan dua wanita mula bersidang Rabu lepas.

Samsung setakat ini telah menjual 22.7 juta buah telefon pintar dan tablet yang didakwa Apple meniru teknologinya.

McElhinny seterusnya berkata, jualan gajet-gajet berkenaan mencecah AS$8.16 bilion (RM25.55 bilion) sejak Jun 2010.

Sehingga kini, Apple dan Samsung menguasai lebih separuh jualan telefon pintar di dunia.

Namun, Samsung muncul sebagai pesaing terbesar Apple dan mengatasi firma AS berkenaan sebagai pengeluar terbesar telefon pintar di peringkat global.

Model telefon pintar Galaxy dijana perisian Android yang diberikan percuma oleh Google Inc. kepada Samsung dan beberapa pengeluar telefon pintar lain.

Dalam samannya, Apple turut menuntut Samsung menarik kedua-dua jenama telefon dan komputer tabletnya daripada pasaran AS.

Saman serupa telah dikemukakan di beberapa negara lain termasuk Australia, Britain dan Jerman.

Pasaran telefon pintar dan komputer tablet global masa kini dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM685.79 bilion).


Ikan Paus Muncul Di Tepi Bot

Kepala seekor ikan paus muncul dekat seorang peluncur laut di San Luis Obispo

SAN LUIS OBISPO, California - Seorang jurugambar amatur, Bill Bouton merakamkan gambar kepala seekor ikan paus humpback yang muncul di tepi sebuah bot dan kayak dekat pantai di sini pada 18 Ogos lalu.

Beberapa pelancong yang menaiki bot itu turut merakamkan gambar ikan tersebut. Ikan itu kerap berenang dekat bot dan kayak semasa ia makan ikan sardin.

"Saya berasa amat bertuah," kata Bouton selepas dia berjaya menangkap gambar tersebut.