Khamis, 21 Mac 2013

Operasi Daulat Gabung Aset Tiga Cabang ATM


KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan tiga cabang perkhidmatannya iaitu udara, laut dan darat dalam Operasi Daulat bagi menggempur militan dari Sulu yang menceroboh negara ini.

Gerakan ofensif pasukan keselamatan pada 5 Mac itu dimulakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menggunakan jet penyerang F/A 18D Hornet disusuli pasawat Hawk yang menggugurkan bom.

F/A 18D Hornet yang merupakan pesawat pejuang penyerang moden mempunyai keupayaan melancarkan pengeboman dengan panduan laser ke atas sasaran yang telah ditanda di darat oleh komputer mudah alih yang dibawa unit-unit Pasukan Khas Udara (PASKAU).

Serangan udara oleh TUDM itu diteruskan pasukan tentera darat dengan tembakan bertalu-talu daripada mortar 91mm ke atas kubu pengganas bertujuan melemahkan musuh dari segi kekuatan dan juga moral mereka.

Setelah menggempur melalui udara, pasukan darat mula bergerak ke kawasan kubu musuh bagi menjalankan operasi susulan dan penggeledahan untuk memburu saki-baki pengganas.

Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar berkata, pasukan keselamatan turut menggunakan 12 kereta perisai berantai Adnan yang mampu bergerak di atas pelbagai bentuk muka bumi.

ACV300 itu dijangka memberi kelebihan kepada pasukan penggempur tentera kerana senjatanya dikawal oleh komputer dan sistem optik untuk penyelarasan tembakan lebih canggih dan stabil serta dilengkapi alat pandang malam.

Tidak kurang penting dalam Operasi Daulat ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengawal perairan negara bagi memastikan tiada penceroboh yang masuk atau meloloskan diri.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula berkata beberapa helikopter Pasukan Udara Tentera Darat dan kapal perang TLDM akan tiba di Lahad Datu secara berperingkat.

Penggunaan aset ketenteraan oleh ATM dalam menangani krisis pencerobohan pengganas dari Sulu itu memberi mesej jelas kepada musuh bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dalam soal kedaulatan negara.

Menurut seorang penganalisis pertahanan, penggunaan aset perang konvensional ke atas pengganas Sulu yang menggunakan taktik perang gerila dilihat lebih kepada ‘power projection’ atau paparan kekuatan ke atas mana-mana musuh yang mempunyai niat tidak baik terhadap Malaysia.

“Power projection dalam keadaan aman dibuat melalui latihan ketenteraan seperti ‘Eksesais Halilintar’ yang dijalankan di Langkawi membabitkan lebih kurang 10,000 tentera,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kebanyakan orang awam tidak memahami operasi tentera dan mengkritik taktik yang diguna pakai pasukan keselamatan semasa menggempur pengganas Sulu di kawasan Kampung Tanduo.

Nyawa tentera atau polis bukan murah untuk dihantar terus secara berhadapan dengan pengganas Sulu yang berjumlah antara 100 hingga 200 orang, katanya.

“ATM merupakan pasukan yang mempunyai pengalaman perang gerila yang sangat meluas, begitu juga pengganas Sulu. Kesilapan musuh adalah kerana mereka menyangka pertempuran ini sama dengan pengalaman perang mereka di tempat sendiri,” katanya.

Pengganas Sulu tidak mengambil kira sokongan rakyat terhadap kerajaan dan keupayaan TLDM untuk mengadakan sekatan-sekatan di lautan terutama bagi mengekang kemasukan bekalan senjata dan peluru untuk musuh, katanya. - BERNAMA

Misuari Dakwa Sarawak Hak Kesultanan Sulu

Nur Misuari

KUCHING: Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem semalam menyelar dakwaan Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari yang menyatakan bahawa Sarawak juga sebahagian daripada hak Kesultanan Sulu.

Beliau berkata sebagai negeri yang berada dalam negara merdeka Malaysia, tidak ada satu pun pihak boleh mempersoalkan Sarawak adalah milik Malaysia dan kedaulatannya akan dipertahankan.

Menurutnya jika benar-benar Misuari cintakan keamanan seperti yang sering diperjuangkannya selama ini, beliau seharusnya menyokong dan menyertai usaha-usaha perjanjian keamanan dalam rangka kerja yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina dengan Bangsamoro bukannya cuba mengambil kesempatan ke atas Lahad Datu.

Misuari ujarnya harus berbuat baik kepada rakyat sebangsa dengannya dan Kerajaan Filipina dengan mencurahkan kesetiaannya dalam rangka kerja perjanjian yang ditandatangani untuk keamanan berkekalan di Mindanao.

“Kepada Nur Musiari ini nasihat saya: Jangan menangguk di air yang keruh. Jangan mengambil kesempatan atas apa yang berlaku di Lahad Datu… Sarawak hak Malaysia.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata Malaysia akan mempertahankan walaupun seinci tanahnya daripada dicerobohi termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.

Riot yang juga Ahli Parlimen Serian berkata seperti status Sabah, kedaulatan tanah air Malaysia tidak harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Malaysia seperti diperkatakan Perdana Menteri katanya akan dengan bersungguh-sungguh melindungi dan mempertahankan setiap inci daripada tanah negara ini khususnya Sabah daripada diceroboh.

“Malaysia adalah negara yang cintakan keamanan. Mempromosikan keamanan salah satu daripada tonggak dasar luar negara.

“Sebab itulah Malaysia terlibat aktif dalam misi menjaga keamanan di seluruh dunia dan sanggup menaja aktiviti keamanan di negara jiran terutama di Filipina.

“Kita telah menyaksikan keadaan huru-hara dan ketidakstabilan di selatan Filipina yang ternyata tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya beban kepada Malaysia serta negara-negara jiran yang lain,” ujarnya.

Baru-baru ini, Misuari secara terbuka menyatakan Sarawak juga hak Kesultanan Sulu sama seperti bahagian timur negeri Sabah.

Kuarters Ranap Dijilat Api


MIRI: Tujuh pekerja kontrak tinggal sehelai sepinggang apabila kuarters mereka ranap dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di kawasan Piasau Utara di sini petang semalam.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan berlaku memandangkan ketika kejadian semua penghuninya keluar bekerja di kawasan berhampiran.

Menurut sumber, kebakaran berlaku sekitar jam 2.50 petang dan ia hanya disedari oleh para penghuninya setelah ternampak kepulan asap tebal datang dari arah kuarters mereka.

Serentak itu, mereka bergegas pulang untuk menyelamatkan harta benda masing-masing namun hampa kerana semasa mereka tiba, api telah marak meranapkan sebahagian besar daripada kuarters berkenaan.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penghuni yang hanya dikenali sebagai Inap, 40-an dan berasal dari Lapok, kuarters itu menempatkan empat bilik yang dihuni tujuh pekerja.

“Kami hanya menyedari kuarters terbakar apabila ternampak kepulan asap tebal datang dari arah sini dan serentak itu bergegas pulang untuk menyelamatkan harta benda namun hampa kerana api sangat marak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ditembak Mati Depan Isteri Dan Anak


SIBU: Seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 31 tahun maut selepas ditembak di depan isteri dan anaknya di bilik asrama pekerja ladang kelapa sawit yang terletak di Jalan Oya di sini, awal malam kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam itu, seorang lelaki bertopeng yang dipercayai bersenjatakan senapang patah menendang pintu bilik asrama mangsa ketika mangsa sedang beristirahat.

Menurut sumber, sejurus bersemuka dengan penceroboh tersebut yang bercakap dalam bahasa Melayu, mangsa terus diarahkan berdiam diri dan jangan bergerak.

Menyedari penceroboh mempunyai niat tidak baik dan bimbang anak dan isterinya akan diapa-apakan, mangsa dikatakan bertindak cuba membawa isteri dan anaknya melarikan diri dengan meluru keluar dari bilik sambil menjerit.

Namun, lelaki bertopeng itu melepaskan satu das tembakan yang mengena dada mangsa yang kemudiannya rebah.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail ketika dihubungi semalam mengesahkan kes tersebut dan mem- beritahu motif kes bunuh tersebut sedang dalam siasatan polis.

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Yampu, warganegara Indonesia, cedera parah di bahagian dada selepas ditembak dengan senapang patah.

“Peluru tersebut terkena dada dan tembus ke bahagian belakang mangsa,” ujarnya.

Katanya, mangsa rebah di hadapan isteri mangsa dan anak mereka berusia tiga tahun yang hanya mampu menjerit meminta tolong ketika mangsa yang tercungap-cungap dan berlumuran darah.

Shafie berkata, beberapa saksi memberitahu empat lelaki bertopeng yang menaiki sebuah Toyota Hilux Vigo terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, sebelum melarikan diri, salah seorang daripada mereka mengambil wang tunai sebanyak RM500 daripada sebuah beg yang diletakkan di dalam sebuah lori di situ.

Shafie percaya motif kes bunuh tersebut bukan rompakan, namun punca kejadian masih dalam siasatan polis.

Menurut sumber, pekerja-pekerja lain bergegas keluar dari bilik masing-masing setelah mendengar jeritan isteri mangsa yang meminta bantuan.

“Tolong, suami saya kena bunuh, rintih isteri mangsa,” kata seorang rakan sekerja mangsa ketika ditemui se- masa mengiringi isteri mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini, pagi semalam.

Katanya, mereka hanya mampu melihat empat lelaki bertopeng melarikan diri ke arah Hilux terbabit, namun tidak seorang pun berani mengejar suspek-supek bersenjata terbabit.

Sejurus itu, mangsa yang masih bernyawa ketika itu dikejarkan ke Hospital Sibu oleh beberapa rakan sekerja-nya menaiki kereta. Mangsa telah disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital pada kira-kira jam 7.30 malam.

Kes tembak tersebut merupakan kes bunuh ketujuh berlaku di bandar ini dan kes kedua pada bulan ini selepas seorang ahli perniagaan, Lee Chiew Chuan mati ditembak di luar kediamannya di Lorong 2, Jalan Aman pada kira-kira jam 4.30 pagi 5 Mac lalu.

Lapan Pengganas Didakwa


LAHAD DATU: Lapan lelaki suspek pengganas warga Filipina, yang menceroboh negeri ini pada 12 Februari lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini kelmarin, atas tuduhan melakukan keganasan dan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kelihatan empat buah lori polis diiringi beberapa kenderaan anggota keselamatan bergerak keluar meninggalkan IPD Lahad Datu kira-kira jam 1.30 petang kelmarin bagi menghantar seramai lapan lelaki warga Filipina yang didakwa.

Kesemua mereka yang berumur 17 hingga 66 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melakukan keganasan yang membawa hukuman penjara seumur hidup jika kesalahan.

Selain itu, mereka juga didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell yang bersidang sebagai Majistret di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini yang dijadikan sebagai Mahkamah Majistret Sementara.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi) Datuk Nordin Ahmad, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara Putrajaya. Turut hadir di prosiding itu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ketika ditemui selepas prosiding berkenaan, Mohd Dusuki berkata kes itu dibenarkan dipindah untuk didengar di Mahkamah Tinggi Tawau.

Kesemua tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 berikutan insiden pencerobohan dan keganasan oleh kumpulan berkenaan di Kampung Tanduo, di sini bulan lalu.

Sementara itu, kawasan IPD dikawal ketat oleh lebih 40 anggota polis bersenjata sejak awal pagi sehingga semua tertuduh dibawa keluar dengan lori polis untuk dihantar ke Tawau, kira-kira jam 1.30 petang.

Di Tawau, polis mengadakan kawalan ketat dengan anggota lengkap bersenjata serta jaket kalis peluru ketika semua lapan suspek pengganas dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, petang kelmarin.

Tinjauan mendapati kesemua tahanan terbabit tiba di IPD Tawau lebih kurang jam 3.40 petang dengan menaiki tiga trak polis Black Maria, sambil diiringi sembilan kenderaan yang dinaiki oleh pasukan keselamatan lengkap bersenjata.

Pihak polis yang menjalankan kawalan juga dilihat menutup pintu keluar-masuk di IPD Tawau dan kawalan lalu-lintas turut diadakan di sepanjang kira-kira 50 meter di Jalan Tanjung Batu di hadapan IPD Tawau.

Malah, pasukan polis yang berkawal di sekitar perkarangan dan luar pagar IPD Tawau dilihat dilengkapi senjata api selain kawalan udara dilakukan menerusi sebuah helikopter yang berlegar-legar di udara.

Sekumpulan pasukan polis turut diletakkan berkawal sekitar kawasan Mahkamah Tawau sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga.

Kesemua tahanan terbabit yang berhadapan dakwaan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang diPertuan Agong dilihat dibawa masuk ke IPD Tawau dengan kepala mereka ditundukkan serta ditutup serta memakai pakaian berwarna ungu.

Difahamkan, persidangan di Mahkamah Tinggi Tawau esok (hari ini) akan dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Ravinthran Paramaguru dan akan turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mayat 28 Pengganas Dikebumikan Dahulu

LAHAD DATU: Kesemua 28 mayat pengganas militan yang dibawa keluar dari zon merah akan dikebumikan dahulu sementara menunggu tuntutan mana-mana pihak, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Ini bagi memastikan ancaman kesihatan tidak timbul selain kekurangan bilik mayat di Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi FELDA Sahabat 16, dekat sini semalam.

Khalid berkata mana-mana pihak yang ingin menuntut mayat pengganas itu sama ada dari dalam atau luar negara boleh berbuat demikian dengan mengemukakan sampel DNA mereka dan sekiranya ia berpadanan mayat itu akan diserah kepada mereka.

“Bagi pemohon di luar negara, tuntutan boleh dikemuka menerusi Kementerian Luar, manakala bagi pemohon di dalam negara urusan tuntutan boleh dibuat terus kepada polis,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu diputuskan dalam mesyuarat Isnin lepas antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Interpol.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lokasi mayat itu dikebumikan. Zulkifeli berkata Operasi Daulat masih diteruskan dan kini di peringkat pembersihan di kawasan Tanjung Batu.

Beliau berkata, pasukan keselamatan memerlukan beberapa hari lagi untuk operasi penggeledahan dan pembersihan secara menyeluruh di kawasan itu bagi memastikan keselamatan terjamin sebelum membenarkan penduduk kampung pulang ke rumah masing-masing.

“Ia mengambil masa disebabkan faktor muka bumi dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di kawasan perumahan yang menyukarkan operasi ini selain tanaman kelapa sawit, paya dan hutan bakau.

“Kami akan menggeledah semua kawasan bagi memastikan tiada musuh berselindung sebelum penduduk boleh pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Zulkifeli berkata dalam operasi penggeledahan di Tanjung Batu kelmarin, pasukan keselamatan menemui satu lagi mayat pengganas yang dipercayai ditembak mati pada 6 Mac.

Sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu 12 Feb lepas, 10 anggota pasukan keselamatan terkorban, terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera manakala 62 militan dari selatan Filipina ditembak mati.

Pasukan keselamatan turut menahan 265 individu kerana memasuki zon merah dan pelbagai kesalahan lain. - BERNAMA

Selasa, 19 Mac 2013

Jamalul Kiram Arah Tembak Dan Lari


MANILA – Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III menyatakan para pengikutnya tidak akan berundur dari Sabah dan sekali gus mengarahkan mereka melancarkan perang gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia, lapor akhbar The Philippine Star semalam.

Jamalul Kiram kelmarin berkata, para pengikutnya di Sabah yang diketuai adiknya, Azzimuddie Kiram berada di tanah air mereka (Malaysia).

“Mereka sudah berada di tanah air mereka (Malaysia), justeru kenapakah perlu pulang?” katanya kepada wartawan di kediamannya di bandar Taguig dekat sini.

Sementara itu, jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani pula berkata, perjuangan di Sabah akan diteruskan.

Menurut beliau, gencatan senjata sebelah pihak yang diumumkan oleh Jamalul Kiram baru-baru ini telah ditarik balik dan para pengikutnya telah diarah untuk melaksanakan operasi ‘tembak dan lari’ terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Idjirani turut mendakwa Azzimuddie dan para pengikutnya masih berada di Sabah.

Perisai Berantai Sertai Ops Daulat


LAHAD DATU – Pasukan keselamatan yang masih meneruskan misi Ops Daulat di sini menerima tambahan kekuatan dengan kehadiran kereta perisai berantai dalam usaha membantu dan memperkukuhkan penguasaan di gugusan Kampung Tanjung Labian di sini.

Kereta perisai berantai jenis ACV-300S Adnan itu dilihat memasuki kawasan Felda Sahabat pada pukul 4.20 petang selepas mengharungi perjalanan jauh kira-kira 300 kilometer dari Tawau.

Sebanyak 17 buah kereta perisai berantai termasuk sebuah untuk tujuan perubatan memasuki kawasan Felda Sahabat dengan diiringi 17 buah trak tentera berkekuatan 200 anggota.

Difahamkan, kesemua kenderaan yang tiba di Tawau pada pukul 9 pagi semalam merupakan kenderaan yang berpengkalan di Pangkalan Tentera Gemas, Negeri Sembilan.

Panglima I Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Moktar berkata, kereta perisai berantai itu dibawa dari Semenanjung bagi membantu pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.

“Kereta perisai berantai juga bertujuan untuk mengawasi gugusan Kampung Tanjung Labian selepas operasi tamat kelak,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.