Sabtu, 29 Disember 2012

Dadah: Penjawat Awam Mengaku Tidak Bersalah


MIRI: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini petang semalam terhadap tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Abdul Hamid Muhammad, 26, dari Jalan Riam di sini didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara dua tahun dan boleh menjalani pengawasan serta merta di bawah Seksyen 38B Kuasa Mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Pindaan 2002), dengan cara memasukkan bahan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.10 pagi, 1 Mac tahun ini di Pejabat Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan