MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki menjalankan kegiatan mesin judi secara atas talian diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
Suspek yang berusia 25 tahun dari Kampung Blimbing, Krokong, Bau diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu menurut keterangan pegawai penyiasat Sarjan Zainal Abidin Ahmad ketika mengemukakan permohonan reman, sekitar jam 11.15 malam, 26 Disember lalu, sepasukan polis yang menjalankan Ops Dadu telah membuat pemeriksaan di premis suspek kerana dipercayai ada menjalankan kegiatan mesin judi atas talian.
Dalam pemeriksaan itu, polis telah menahan suspek yang bertugas sebagai penjaga kaunter/premis dan lima lelaki lain yang merupakan pelanggan di premis tersebut.
Selain itu, polis turut merampas sebanyak 22 unit komputer yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut serta beberapa barangan lain dan wang tunai berjumlah RM207 daripada suspek untuk dijadikan barang kes.
Dalam permohonan lanjutnya, Zainal memberitahu bahawa reman selama empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.
Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan berhemat suspek serta saksi-saksi yang terlibat. Justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.
Bagaimanapun, Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali hanya membenarkan reman selama tiga hari dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 30 Disember ini untuk sebutan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan