Sabtu, 29 Disember 2012

Empat Lagi Lemas Akibat Banjir


KUALA LUMPUR - Empat kematian akibat lemas ketika banjir dilaporkan berlaku di sekitar Terengganu kelmarin.

Di Kemaman, kegembiraan 10 sahabat bermain banjir di Kampung Hilir, Pasir Gajah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Mohd. Ezani Hakim Mohammad, 15, dan Muhammad Hafiz Mohd. Nasir, 14, bersama lapan rakan ke tempat kejadian untuk bermain air tetapi lima daripada mereka berpatah balik kerana arus semakin kuat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, lima sahabat itu dihanyutkan arus deras tetapi tiga daripada mereka sempat berpaut pada pokok.

Jelasnya, mayat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dadong itu ditemui tersangkut pada pokok pada pukul 10.30 malam.

Katanya, mayat mereka dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Di Kuala Terengganu, seorang remaja lemas ketika membasuh motosikal berhampiran sungai di Kampung Kebor Besar, Manir pada pukul 2 petang.

Mohd. Badrul Aman Abdul Rahman, 15, dipercayai tergelincir ke dalam sungai kampung berkenaan dan mayatnya ditemui tiga jam kemudian oleh anggota bomba.

Di Setiu, kanak-kanak yang hilang ketika mengikut bapanya menjala ikan di Kampung Kederang, Permaisuri kelmarin ditemui di dasar tali air kira-kira 200 meter dari tempat mangsa dilaporkan tergelincir.

Mayat Nik Mohd. Al-Fahmi Jailani, 6, ditemui penduduk kampung yang menjalankan usaha mencari pada pukul 1 pagi semalam.

Mangsa baru tiba dari Pasir Puteh, Kelantan bersama keluarga untuk menziarahi neneknya sebelum mengikut bapanya menjalan ikan.

"Bapanya terjun untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal kerana air dalam dan deras," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan