Julaihi ketika melihat keadaan rumah terbabit
SIBU: Sebuah rumah kosong di tebing Batang Igan, Kampung Hilir di sini roboh akibat ‘dipukul’ arus deras. Seorang penduduk yang tinggal berdekatan rumah roboh itu di No. 57B, Kampung Hilir, Mohd Julaihi Johan berkata, pihak berkaitan sudah dimaklumkan mengenainya, namun mereka memberitahu tidak ada kaitan langsung dengannya.
Bagaimanapun jelasnya, pihak polis sudah mengambil kenyataannya manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan hanya bertindak menyelamatkan nyawa dan tidak menangani masalah rumah yang roboh.
Menurutnya apa yang membimbangkan, rumah berkenaan jika terus dihanyut oleh air sungai yang deras mungkin boleh menjejaskan rumah berdekatan. “Justeru sebelum apa-apa kejadian tidak diingini berlaku, lebih baik kita bertindak awal.
“Kita tidak mahu kehilangan jiwa dan penduduk berdekatan mengalami kerugian besar. Dengan air sungai pasang besar sekarang dan Batang Igan dijadikan laluan bot ekspres dan perkapalan, tidak mustahil perkara tidak diingini boleh berlaku di sini,” tegas Julaihi dengan nada kesal.
Setiap kali bot ekspres, tongkang, kapal ataupun bot laju melintasi kawasan terbabit katanya, ombaknya akan membadai rumah yang roboh itu sehingga menghimpit rumahnya sekali gus menyebabkan gegaran yang sangat kuat.
Beliau berpendapat, impak daripada gegaran disebabkan ombak itu boleh menyebabkan rumah yang roboh itu menghimpit rumah lain dan tidak mustahil rumah lain boleh roboh juga jika keadaan ini berterusan.
Jelasnya, rumah yang roboh itu tumbang serta tersangkut di bahagian luar rumahnya di mana keadaannya separuh di atas manakala separuh lagi di dasar sungai.
Rumah yang roboh itu tidak didiami untuk sekian lama dan ia kepunyaan Hamzah Julai. Julaihi memberitahu rumah tersebut kosong sejak sekian lama kerana pemiliknya tinggal di tempat lain disebabkan bekerja.
Sebelum ini, rumah kosong terbabit pernah disewa oleh orang lain namun berpindah setelah jambatan rumah itu roboh.
Dalam pada itu, Julaihi memohon jasa baik pihak polis serta Jabatan Bomba agar memaklumkan perkara itu kepada pihak berkenaan sebelum perkara tidak diingini berlaku. - UTUSAN BORNEO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan