Nordi dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah
JOHOR BAHRU – Seorang bapa yang pernah mendapat simpati ramai melalui kisah empat anaknya dilarikan bekas isteri ke Lampung, Indonesia sebelum tiga daripadanya berjaya dibawa pulang, dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mendera tiga zuriatnya itu minggu lalu.
Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias memerintahkan Nordi Ali, 57, menjalani hukuman tersebut selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.
Beliau memerintahkan setiap pertuduhan dikenakan hukuman 10 bulan penjara dan memutuskan supaya ia berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Disember lalu. Ini bermakna, pengawal keselamatan itu hanya menjadi penghuni tirai besi selama 10 bulan sahaja.
Mengikut kesemua pertuduhan, Nordi didakwa mencederakan Nurmasyita Amiera, 8; Nurul Safiza Fitri, 11, dan Muhammad Nurhan, 9, di rumah mereka di No. 07-03, Jalan Dataran 2/8, Flat Taman Kempas di sini antara pukul 6 pagi hingga 6 petang, 21 Disember lalu.
Nordi didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Nordi mengaku salah apabila memukul anak-anaknya menggunakan batang paip PVC dan tali pinggang.
“Saya hanya berniat untuk mendidik anak-anak. Saya bimbangkan mereka kerap keluar rumah tanpa pengetahuan dan tidur di rumah jiran yang ada anak lelaki,” katanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Sze Han dan Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan