Sabtu, 22 Disember 2012

Maut Di Ambang Lokap

DSP Mohd Said Ibrahim

BINTULU: Suspek utama kes serangan yang berlaku di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew di sini pada 13 Disember lalu meninggal dunia ketika hendak dimasukkan ke lokap pada kira-kira jam 9 pagi semalam.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Dae­rah Bintulu DSP Mohd Said Ibrahim pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di sini, petang semalam.

Menurut beliau, suspek telah dibenarkan keluar dari Hospital Bintulu pada jam 8.45 pagi semalam dan dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu untuk dimasukkan ke lokap.

Sebelum itu, suspek menga­lami kecederaan di bahagian paha dan tangan kanan­nya selepas terkena dua das tembakan oleh anggota Unit Peronda Polis (MPV) semasa cuba menyerang polis dalam insiden awal pagi 13 Disem­ber lalu.

“Sebaik sampai di Balai Polis Pusat Bintulu, suspek kelihatan agak lemah dan tiba-tiba pengsan sebelum sempat masuk lokap dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 9 pagi,” ujarnya.

Said dalam pada itu tidak mahu sebarang spekulasi timbul dalam kes itu kerana suspek telah menjalani pros­edur siasatan yang sewajarnya bagi kes sedemikian.

Semasa kejadian, jelasnya, anggota polis terpaksa me­lepaskan tembakan terhadap suspek sebagai langkah kes­elamatan serta memperta­hankan diri daripada serangan suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging.

“Pihak polis melepaskan tembakan bagi memperta­hankan diri berikutan suspek yang bertindak agresif dengan mengacukan pisau setelah gagal dipujuk untuk meny­erah diri,” jelasnya.

Difahamkan sebelum itu, suspek telah memukul serta mencederakan seorang lelaki lain dengan menggunakan kayu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Suspek telah disiasat di bawah Seksyen 307 Ka­nun Keseksaan atas cubaan membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan