Sabtu, 22 Disember 2012

Sibuk Menjelang Krismas

Penumpang yang pulang meraikan Hari Krismas di kampung menaiki bot ekspres

MIRI: Orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman mereka di Baram sempena cuti Hari Krismas, mulai memenuhi terminal bot ekspres Kuala Baram dekat sini.

Tinjauan di sini kelmarin mendapati mereka yang pulang bercuti untuk meraikan Hari Krismas di kampung halaman atau rumah-rumah panjang, mulai berpusu-pusu pulang ke kampung dan jumlah ini dijangka meningkat hari ini dan esok.

“Kami menjangkakan jumlah penumpang yang ramai pada hari ini akan bertambah hingga dua kali ganda atau lebih menjelang Hari Krismas nanti, terutama pada Sabtu dan Ahad ini,” kata Huong, salah seorang pengusaha bot ekspres di sini kelmarin.

Perjalanan menaiki bot ekspres dari Kuala Baram hingga ke Marudi mengambil masa selama tiga jam, di mana kebanyakan penumpang akan singgah di rumah-rumah panjang mereka yang terletak di tebing Sungai Baram, sebelum tiba di pekan Marudi.

Manakala bagi penumpang yang kediaman mereka terletak selepas pekan Marudi, mereka akan singgah di terminal bot ekspres Marudi sebelum meneruskan perjalanan ke rumah panjang masing-masing sama ada menggunakan bot panjang atau kenderaan melalui jalan darat.

Menurut Huong, ada juga mereka menyambung perjalanan menggunakan bot ekspres dari Marudi ke Long Lama terutamanya penumpang yang kediaman mereka terletak di tebing Sungai Baram sepanjang perjalanan dari Marudi ke pekan Long Lama.

Turut kelihatan di terminal bot ekspres ialah anggota-anggota penguat kuasa Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) yang membuat pemeriksaan rutin bagi memastikan semua penumpang termasuk pengusaha bot ekspres mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan tidak membawa penumpang dan muatan berlebihan.

Sementara itu, seorang penumpang, Elizaberth Lagan, 30, yang mahu balik ke kampung halamannya di Tutoh Apoh memberitahu, beliau sekeluarga balik meraikan Hari Krismas bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain di rumah panjang mereka.

“Saya mahu balik awal untuk memberikan saya masa lebih panjang di kampung untuk bersama-sama ahli keluarga di sana,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di Bintulu.

Sementara seorang lagi penumpang, Ding Anyi, 27, berasal dari Long Lama berkata beliau hampir setiap tahun balik ke kampung halaman untuk meraikan Hari Krismas bersama keluarga.

“Malah, saya sering pulang dengan menaiki bot ekspres. Walaupun lambat namun jauh lebih murah berbanding pengangkutan lain dan menjimatkan kos pengangkutan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memberikan bonus kepada kakitangan awam dan pastinya berita gembira bagi mereka yang menyambut Hari Krismas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan