PSY beraksi di konsert Jingle Ball
SEOUL - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy menyambut gembira kejayaan klip video lagu tarian kudanya, Gangnam Style yang mencecah angka satu bilion tontonan di laman perkongsian video YouTube semalam. Gangnam Style mencipta sejarah apabila menjadi klip video pertama melepasi angka 10 digit berkenaan.
Lagu Gangnam Style yang dimuat naik di laman web berkenaan pada 15 Julai lalu mencecah angka satu bilion tontonan sekitar pukul 11.50 malam waktu Malaysia kelmarin. Setakat pukul 2.30 petang semalam, lagu rap popular itu sudah ditonton sebanyak 1,010,321,921 kali.
"Gangnam Style akhirnya menjadi #BillionStyle!!!" kata Psy di laman Twitternya berhubung pencapaian tersebut.
Antara mereka yang pertama mengucapkan tahniah kepada Psy, 34, berhubung kejayaannya termasuk bintang rap era 90-an yang popular dengan lagu U Can't Touch This, Mc Hammer.
Psy mengucapkan terima kasih kepada pengurus baharunya Scooter Braun kerana membantu mempromosikan klip video lagu berkenaan.
"Saya mencipta 100 juta (tontonan) dan anda mencipta 900 juta lagi, saudaraku yang berlainan ibu (Braun)," kata Psy di laman Twitternya.
Braun turut menguruskan bintang pop kelahiran Kanada, Justin Bieber yang sebelum ini mengungguli senarai tontonan terbanyak di YouTube menerusi lagunya, Baby.
Bieber masih di tempat kedua apabila lagu popular itu mencatat lebih 813 juta tontonan setakat ini.
Laman web agensi carta lagu Amerika Syarikat, Billboard.com pula melaporkan lagu Gangnam Style menjana perolehan AS$2,000,000 (RM6.1 juta) daripada siarannya di YouTube atau pada kadar AS$2 untuk setiap 10 tontonan.
Pendapatan daripada muat turun lagu digital lagu 'panas' itu kini mencecah angka AS$6.01 juta (18.3 juta) sejak lima bulan lalu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan