Khamis, 27 Disember 2012

Tauke Snuker Mati Ditetak

Lokasi pemilik kedai snuker mati dibunuh

AMPANG - Seorang pemilik pusat snuker maut selepas dia yang dipercayai menjadi mangsa dendam ditetak oleh dua lelaki dalam kejadian di tingkat dua, tempat letak kenderaan di pusat beli-belah The Store, Pandan Indah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa Ng Swee Hong, 40, baru meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan di pusat beli-belah itu sebelum berjalan menuju ke pusat snuker miliknya yang terletak di aras sama. Jarak antara tempat letak kenderaan dan pusat snuker milik mangsa ialah kira-kira 10 meter.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Mohd. Nazri Zawawi berkata, mangsa yang diserang oleh dua orang lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan kanan. Dia mati sejurus tiba di Hospital Pantai di sini.

"Polis menerima laporan kejadian pada pukul 4.45 petang daripada seorang saksi lelaki berusia 20-an yang membantu menghantar mangsa ke hospital.

"Sejurus menerima maklumat itu, anggota polis yang tiba ke lokasi hanya menemui kereta Honda Civic milik mangsa dan kesan darah di kawasan itu," kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.


1 ulasan: