Isnin, 24 Disember 2012

Bantah Kejadian Rogol Di India

Penunjuk perasaan menolak sebuah kereta dalam tunjuk perasaan

NEW DELHI - Satu tunjuk perasaan yang membantah kejadian rogol dan pencabulan bertukar menjadi ganas di sini semalam apabila polis tertembak mati seorang wartawan semalam.

Sebelum ini seorang wanita yang berusia 23 tahun yang dirogol dalam sebuah bas pada 16 Disember lalu kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital.

Dia dicampak dari sebuah bas selepas dirogol oleh enam lelaki. Polis menyatakan, enam lelaki yang dipercayai melakukan kejadian tersebut telah ditangkap.

Bagaimanapun, ribuan orang, kebanyakannya pelajar, mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu manakala parti Kongres yang memerintah berjanji akan bertindak dengan segera terhadap kumpulan perogol itu.

Jalan-jalan raya menuju ke Istana Presiden dan ibu pejabat kerajaan disekat namun, kumpulan penunjuk perasaan cuba untuk merempuh sehingga mengakibatkan pertempuran dengan anggota polis berlaku dengan menyebabkan sejumlah orang cedera, lapor agensi berita IANS.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air ketika para penunjuk perasaan mendekati sekatan yang dibuat anggota-anggota pihak berkuasa.

"Beberapa samseng mengetuai penunjuk perasaan untuk supaya melanggar undang-undang. Kami merayu kepada para penunjuk perasaan untuk tidak bersatu dengan mereka (samseng-samseng itu) dan mengadakan tunjuk perasaan secara aman," kata seorang pegawai polis Delhi, Dharmendra Kumar.

Menurutnya, semua permintaan para penunjuk perasaan sudah dipenuhi pemerintah.

"Mereka (para penunjuk perasaan) sepatutnya membenarkan kami untuk melakukan tugas kami," tambahnya.

Sebelum ini, pihak pemerintah menyatakan perbicaraan kes rogol akan dipercepatkan mulai 2 Januari depan manakala kawalan polis dipertingkatkan bagi melindungi keselamatan wanita.

Pihak pemerintah juga menyatakan ia akan mengambil langkah-langkah untuk memperkenalkan hukuman yang lebih tegas terhadap pesalah rogol.

Kebanyakan penduduk menuntut hukuman mati terhadap pesalah rogol. Ketika ini hukuman kesalahan merogol ialah hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Presiden Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi yang mengetuai perikatan parti yang memerintah India menemui sekumpulan penunjuk perasaan dan berjanji akan mempercepatkan hukuman terhadap pesalah yang merogol wanita tersebut. Menurut data polis, sebanyak 661 kes rogol dilaporkan di New Delhi sejak Januari lalu.

Para aktivis menyatakan, sekurang-kurangnya 40,000 kes sedang menunggu untuk diselesaikan di mahkamah.

Sementara itu, Wartawan penyiaran itu tertembak selepas polis melepaskan tembakan dalam tunjuk perasaan yang diadakan di Imphal, timur laut India.

Jurucakap polis berkata, wartawan tersebut membuat liputan tentang tunjuk perasaan bagi meminta pencabul seorang aktres India ditangkap. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan