Rabu, 19 Disember 2012

Pesakit Meninggal Dunia

Mayat lelaki di atas kerusi roda

JASIN - Suasana tenang sebuah poliklinik di Taman Debunga, Merlimau di sini semalam bertukar kecoh apabila seorang lelaki yang dihantar untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di mulut dan kepala didapati meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke Hospital Melaka.

Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 25 tahun itu dikatakan masih hidup ketika dihantar dua lelaki ke premis tersebut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Superintendan R. Gunarajan berkata, mangsa dihantar dua lelaki dengan kereta Perodua MyVi berwarna kelabu dan sebaik tiba, kakitangan klinik terus menghubungi ambulans untuk menghantar lelaki itu ke Hospital Melaka yang terletak sejauh 20 kilometer namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia di situ.

"Mengikut keterangan pekerja poliklinik terbabit, kedua-dua lelaki berkenaan mendakwa menemui mangsa di sebuah kawasan di Merlimau Dalam lalu membawanya ke situ.

"Mangsa pula tidak dapat dirawat di poliklinik tersebut kerana doktor mempunyai kes kecemasan di luar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan