Sabtu, 22 Disember 2012

Dendam Punca Wanita Dibunuh

Nor Roziah menjadi mangsa pembunuhan kejam

JOHOR BAHRU - Polis percaya perselisihan faham dan dendam merupakan motif utama kes pembunuhan kejam melibatkan seorang wanita yang mayatnya dibungkus dengan plastik hitam sebelum cuba dibakar di dalam sebuah kereta di Kampung Desa Idaman, Bukit Batu, Sedenak kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dr. Hashim Haron berkata, operator kilang di Singapura, Nor Roziah Zakaria, 25, disyaki mempunyai masalah perhubungan dengan bekas teman lelakinya yang berusia 36 tahun.

"Kita minta teman lelakinya supaya tampil untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Mayat janda anak dua itu ditemui pada pukul 7.30 pagi dibungkus dengan plastik hitam di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Viva sebelum cuba dibakar berdekatan sebuah dusun di kampung tersebut.

Difahamkan, anak perempuan tunggal daripada lima beradik itu pernah membuat laporan polis baru-baru ini berhubung seorang lelaki yang tidak disenanginya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan