Rabu, 19 Disember 2012

Diselamatkan Sekumpulan Nelayan


KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mengalum dalam kejadian bot karam tempoh hari, terselamat setelah bertarung nyawa hampir dua hari di lautan.

Berikutan insiden bot pancing karam dinaiki bersama empat lagi rakan lain, mangsa dikenali sebagai Mat Shah Asmat, 25, itu telah diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang secara kebetulan melalui perairan itu pada Selasa lepas kira-kira jam 7 petang.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata mangsa ditemui terapung-apung bersama jaket keselamatan berhampiran lokasinya ditemui hanyut, iaitu sejauh tujuh nautika dari lokasi bot karam terbabit.

“Insiden kira-kira jam 4 petang pada 16 Disember itu, mangsa dikatakan bersama empat lagi rakannya telah pergi memancing di perairan Pulau Mengalum.

“Hasil siasatan mendapati bot mereka telah bergesel dengan batu sebelum terbalik dan keempat-empat rakan mangsa sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepian pantai pulau berdekatan.

“Bagaimanapun, mangsa gagal berbuat demikian kerana dihanyutkan oleh ombak dan hanya berpaut pada serpihan bot yang karam itu.

“Mujurlah mangsa memakai jaket keselamatan dan didapati terapung sejauh tujuh nautika dari tempat kejadian sebelum diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang secara kebetulan terserempak mangsa di lautan,” katanya.

Menurut Chandra, mangsa kemudiannya dibawa naik sekumpulan nelayan terbabit ke bot mereka sebelum dihantar ke klinik untuk menerima rawatan.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Menumbok, Kuala Penyu itu kini dilaporkan stabil dan berada di rumahnya,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan