Khamis, 27 Disember 2012

Maut Semasa Beli Roti

Sejumlah orang cedera dalam serangan udara di sebuah kedai roti di Halfaya, Syria

DAMSYIK - Seramai 60 orang awam yang sedang beratur untuk membeli roti di bandar Halfaya terbunuh kelmarin dalam satu serangan udara yang didakwa pihak penentang dilakukan pesawat tentera Syria, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Untuk Syria.

Pihak Jawatankuasa Penyelaras Penduduk Tempatan (LCC) bertindak mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad itu.

Pihak LCC berkata, ketika kejadian, berpuluh-puluh orang awam sedang beratur di luar sebuah kedai roti.

Bagaimanapun, agensi berita milik pemerintah Syria, SANA semalam melaporkan, kejadian itu didalangi kumpulan pejuang penentang Bashar. Ia menafikan kejadian pembunuhan beramai-ramai itu berpunca daripada serangan udara tentera rejim.

"Satu kumpulan pengganas bersenjata menyerang bandar Halfaya, membunuh ramai wanita dan kanak-kanak," kata agensi berita itu.

Ia melaporkan tentera Syria kemudian campur tangan ketika serangan berlaku dan berjaya membunuh serta mencederakan ramai penentang.

Bagaimanapun, perikatan yang mewakili kumpulan penentang Bashar, Majlis Kebangsaan Syria menyalahkan rejim Presiden itu melakukan jenayah menentang kemanusiaan.

Sementara itu, para aktivis penentang Bashar menyatakan, enam orang yang berjuang menentang tentera Bashar mati kelmarin akibat terhidu bau gas dan asap putih di Homs.

Menurut para aktivis, tentera Bashar mungkin menggunakan bom yang mengandungi gas pembunuh.

Jet-jet tentera turut melakukan serangan di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di Ghouta Timur dekat Damsyik.

Sementara itu, Utusan Damai Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi menyatakan kebimbangan tentang keadaan di Syria semasa mengadakan mesyuarat dengan Bashar di Damsyik semalam.

"Bashar menyuarakan pandangannya tentang situasi itu dan saya memberitahunya mengenai mesyuarat saya dengan para pemimpin dan rantau ini dan di luar negera (berhubung isu Syria," katanya.

Menurut stesen televisyen pemerintah Syria, Bashar menganggap pertemuan sebagai mesra dan membina.

"Pihak pemerintah komited untuk memastikan kejayaan semua usaha dengan bermatlamatkan untuk melindungi kedaulatan dan kebebasan negara ini," kata Bashar.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 700 penduduk Palestin mati di Syria sejak konflik di negara tersebut berlaku pada Mac tahun lalu.

Maklumat itu didedahkan oleh seorang pegawai pelarian Pertubuhan Pembebasan Palestin, Zacharia al-Agha.

Lebih 43,000 orang terbunuh sejak kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan bertempur dengan tentera Bashar.

Sebahagian besar penduduk tempatan mahu Bashar dugulingkan ekoran kegagalannya membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara di negara ini. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan