Sabtu, 29 Disember 2012

Dilibas Dengan Taji

Gambar Hiasan

SIBU: Gara-gara tidak mahu bertanggungjawab terhadap seorang gadis yang mengandung, seorang lelaki menerima tujuh jahitan selepas dilibas dengan taji oleh empat orang lelaki.

Dalam kejadian yang berlaku 21 Disember yang lalu, gadis yang berumur 19 tahun telah mendedahkan kepada ahli keluarganya bahawa dirinya telah mengandung tiga hingga empat bulan.

Selepas disoal oleh ahli keluarganya, gadis tersebut telah menuduh teman lelakinya yang berumur dalam lingkungan 20-an sebagai orang yang bertanggungjawab.

Susulan itu, dua orang abang gadis tersebut, seorang saudara lelaki dan seorang lagi rakan mereka bertindak mencari teman lelaki mereka di Jalan Tiong Hua dekat sini pada malam berkenaan.

Apabila empat orang lelaki terbabit menjumpai teman lelaki gadis tersebut, satu pertengkaran tercetus sehingga mereka bergaduh.

Akibat pergaduhan itu, teman lelaki tersebut cedera di bahagian belakang, kepala dan tangan dipercayai dilibas dengan taji ayam.

Bagaimanapun, teman lelaki tersebut berjaya melarikan diri menuju ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Teman lelaki gadis tersebut kemudiannya dihantar oleh ambulans ke hospital untuk mendapat rawatan.

Pada malam 25 Disember, pihak polis telah menerima maklumat mengenai satu pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat hiburan di sini.

Polis yang membuat siasatan ke pusat hiburan tersebut telah menjumpai dan menahan salah seorang daripada abang gadis tersebut.

Salah seorang lagi abang gadis dan seorang lagi saudara lelaki juga berjaya ditahan oleh polis pada malam 27 Disember.

Dua orang abang mangsa yang ditahan berumur 27 dan 29 tahun manakala seorang saudara lelaki mereka berumur dalam lingkungan 30-an pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Seorang lagi suspek lelaki yang masih bebas berhubung dengan kes tersebut yang kini dalam siasatan polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan